Saturday, October 27, 2007

Hantu... Apakah Benar Mereka Wujud?



oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamualaikum warahmatullah… tentu saudara saudari pernah mendengar cerita hantu. Kalau nak diikutkan semua sekolah berasrama (boarding school) pasti mempunyai versi cerita hantunya yang tersendiri. Boleh dikatakan semua sekolah menceritakan sejarahnya menjadi markas Tentera Jepun satu ketika dulu sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa sekolah tersebut berhantu meskipun sekolah yang dikatakan berhantu tersebut dibina selepas negara mencapai kemerdekaan separuh (merdeka dari segi pemerintahan, dijajah dari segi perundangan British yang masih digunapakai sehingga kini yang menggantikan perundangan Islam asal tanah ini).

Kalau anda semua perasan, tentu anda pernah mendengar cerita-cerita hantu yang diceritakan oleh orang-orang tua, ibu bapa dan kawan-kawan anda yang menyatakan bukan mereka yang menyaksikan hantu-hantu dengan mata kepala mereka sendiri, tetapi peristiwa itu disaksikan oleh rakan-rakan mereka yang atau orang-orang yang mereka kenali. Jarang sekali kita mendengar dari mulut si pencerita itu sendiri yang menyatakan dia menyaksikan hantu dengan jelas dengan matanya. Banyak juga rancangan televisyen di luar negara yang dibuat dan dinamakan sebagai rancangan pemburu hantu dan sebagainya. Tapi sampai ke hari ini, seekor hantu pun tak kelihatan dalam rakaman mereka. Yang ada cuma habuk dan serangga bergerak yang memantulkan kembali sinar infra merah kamera dalam night mode dipaparkan. Itu pun dituduhnya mereka sebagai makhluk halus yang digelar sebagai ‘orbs’. Nak tergelak pun ada kalau tengok rancangan sebegini. Kini di Malaysia pun sudah ada beberapa kumpulan yang membuat perkara yang serupa. Mereka menggunakan psikologi untuk menimbulkan ketakutan kepada peserta yang ditempatkan di dalam mana-mana rumah kosong, rumah tinggal dan kawasan kuburan supaya kesan tersebut dapat juga dirasai oleh penonton yang menonton di rumah. Dengan membekalkan alat yang boleh mengesan kehadiran hantu (kelakar sungguh!), mereka ini mengawal tumpuan minda peserta yang ditempatkan dikawasan-kawasan yang dimaksudkan dengan menyuruh peserta terbabit supaya fokus terhadap alat pengesan hantu yang dibekalkan. Maka mindset peserta tersebut yang sudahpun takut akhirnya bertumpu kepada pengharapan agar alat pengesan hantu itu tidak berbunyi. Berbunyinya alat itu menandakan kehadiran hantu berdekatan dengannya. Maka apabila berbunyi saja alat itu, maka peserta tadi yang mindanya sudah disetkan kepada pengharapan supaya alat tersebut tidak berbunyi, menjerit-jerit bagaikan histeria. Entahlah.. yang saya nampak hanyalah permainan psikologi yang dimanipulasikan oleh mereka-mereka yang bijak mengatur langkah. Wallahua’lam..

Untuk mengatakan saya tidak pernah mengalaminya, iaitu diganggu dengan perkara-perkara pelik, saya rasa saya pernah mengalaminya. Tapi dalam setiap gangguan tersebut, tak pernah saya melihat dengan mata kepala saya sendiri rupa dan wajah pengganggu tersebut. Dan yang paling saya perasankan ialah, apabila kurangnya saya bertadarus Al Qur’an di rumah atau meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama, maka muncullah perkara-perkara pelik yang pada saya kebanyakannya sangat tidak masuk akal. Malas untuk saya menceritakannya di sini, tetapi saya tidak pernah menyabitkan berlakunya perkara-perkara tersebut dengan kewujudan hantu. Begitu juga apabila kerja-kerja saya memerlukan saya membuat pemantauan kerja-kerja pembinaan di kawasan-kawasan terpencil seperti berhampiran hutan, kebun kelapa sawit, getah dan sebagainya, jika tidak kena gaya dan waktunya, maka akan berlakulah gangguan yang tidak dijangka ini. Peristiwa ini tidak hanya mengganggu saya, malah isteri saya dan termasuk ibu saya juga. Pak Wan seorang bekas warder penjara sering bercerita kepada saya pengalamannya diganggu perkara-perkara serupa terutamanya bila dia pergi memancing berseorangan di tengah-tengah hutan. Sama seperti bapa mertua saya yang beraninya mengalahkan crocodile hunter, mendiang Steve Irwin. Jika bersembang dengan orang semacam Pak Wan dan bapa mertua saya ini, cerita-cerita sebegini pasti akan terkeluar. Saya mengenali Pak Wan semasa dia menjadi Kontraktor Utama bagi sebuah kerja pembinaan sivil dibawah selenggaraan saya tidak lama dulu. Setiap kali saya membuat pemeriksaan struktur sivil yang dibina, maka setiap kali itulah saya mendengar berbagai cerita darinya. Banyak petua yang saya belajar dari Pak Wan ini, begitu juga dengan bapa mertua saya. Tapi saya masih mengamalkan surah-surah Al Fatihah, Ayat Kursi dan surah-surah yang dinamakan surah muawwiyazatun, iaitu surah Al Falaq dan An Nas, setiap kali keluar sepertimana yang selalu di pesan ibu dan bapa saya semenjak saya remaja lagi. Alhamdulillah.. tiada gangguan yang memudaratkan berlaku.

Jika melihat kepada trend pemikiran popular yang kembali menguasai masyarakat kita di sini ialah, kembalinya kepercayaan mereka kepada kewujudan hantu. Jika tidak, masakan banyak filem-filem dan drama-drama seram diterbitkan. Saya pernah berbincang mengenai perkara ini dengan seorang rakan sepejabat. Beliau seorang wanita berpangkat kakak dan aktif terlibat dengan pertubuhan politik. Bagi saya dia seorang yang mempunyai ketokohan dalam apa yang ingin dia perjuangkan. Pernah dia menjemput saya untuk berpolitik, tetapi saya menolaknya dengan baik. Pernah sekali dia menyuarakan pendapatnya bahawa muda mudi sekarang sangat berani dalam melakukan apa saja tanpa takut. Berbanding remaja dahulu yang takut hatta untuk keluar malam sekalipun disebabkan takut dengan kewujudan hantu yang sering digembar-gemburkan oleh cerita-cerita orang-orang tua. Dia menyatakan cerita-cerita hantu sebegini boleh membentuk disiplin remaja sekarang supaya mempunyai rasa takut untuk keluar malam. Saya menyanggah pendapatnya dengan mengatakan bahawa dengan menakutkan remaja dengan cerita sebegini, ianya tidak memberikan apa-apa bentuk sumbangan postitif kepada corak pemikiran mereka dewasa nanti, kelak nanti sukar untuk kita mempunyai saintis, pengkaji dan golongan professional yang berani. Disamping itu menakutkan mereka dengan perkara yang tidak wujud ini bererti kita membohongi diri mereka dengan perkara-perkara khurafat dan mendorongkan mereka supaya takut kepada hantu melebihi takut mereka kepada Allah s.w.t.. Remaja sebegini seharusnya diberikan penerangan dan dididik mengetahui apa tanggungjawab mereka sebagai remaja yang boleh disumbangkan kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat, Negara dan agama. Bukanlah ditakut-takutkan dengan cerita merepek sebegini. Persoalannya, apakah benar hantu-hantu dengan berbagai nama dan rupa ini wujud?

Kita di nusantara ini kaya dengan berbagai-bagai cerita hantu dengan berbagai nama. Antara nama-nama yang sering kita dengar sebagai watak-watak hantu ini ialah Pontianak atau Kuntilanak, langsuir, toyol, penanggalan dan pocong. Ada banyak lagi nama hantu yang boleh dinyatakan di sini, tetapi lima yang disebut disini merupakan hantu yang berada pada tahap selebriti. Long piah, mak lampir, degawan dan sebagainya tak termasuk dalam kategori ni…. Dalam golongan hantu-hantu yang dikatakan wujud, mereka inilah yang sering menjadi bualan mana-mana penduduk kampung dan bandar. Setiap kampung pasti akan ada cerita sebuah pokok yang menjadi tempat hinggapan pontianak atau langsuir yang suka menyakat penduduk. Pada setiap jalan sunyi di bandar pula pasti akan ada cerita perempuan misteri yang menahan kenderaan yang dipandu untuk ditumpanginya, kemudian keluarlah bau harum dan sebagainya yang akhirnya dia akan menunjukkan dirinya sebagai hantu kepada si pemandu tersebut, lantas si pemandu tersebut yang ketakutan akan demam selama beberapa hari atau minggu sehinggalah semangatnya dipulihkan. Mengikut pengalaman saya semasa belajar dan bekerja dan tinggal di banyak negeri termasuk Perlis, Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Singapura, perkara cerita hantu sebegini merupakan sesuatu yang lumrah. Ini termasuklah di Kota Singa dan Kuala Lumpur, walaupun moden dari segi pembangunan, tetapi tetap ada cerita-cerita yang saya maksudkan tadi diceritakan penduduk sekitar. Bukalah saja topik ini semasa bersembang di mana-mana saja. Pasti akan ada pokok di tempat itu yang dihuni hantu, rumah kosong di tempat itu yang berhantu, jalan sunyi di tempat-tempat tersebut yang berhantu dan banyak lagi.

Sebelum kita membongkar rahsia kewujudan ini, ada baiknya kita mengetahui serba sedikit mengenai sejarah hantu-hantu yang berada ditahap selebriti ini sendiri.

Pontianak :
Diceritakan dalam pelbagai versi dan dikenali dengan pelbagai nama dari Indonesia hinggalah ke Filipina. Di Malaysia ia di kenali sebagai Pontianak begitu juga di Indonesia. Di Indonesia juga pontianak ini juga digelar sebagai Matianak dan Kuntilanak. Mengikut cerita lama yang banyak versinya, sejarah pontianak ini bermula dengan kematian seorang ibu yang mengandungkan anak sulung, ada versi yang menceritakan si ibu tersebut dibunuh dan ada juga versi yang menyebut si ibu tersebut mati semasa melahirkan anak. Mayatnya dikebumikan dan kemudiannya dia bangkit kembali segabai hantu untuk membalas dendam dan membuat kacau. Ada juga versi yang menyatakan bahwa roh dan semangatnya dipuja oleh pengamal ilmu hitam untuk menjadi khadam kepada mereka untuk melaksanakan pelbagai kekacauan dalam masyarakat setempat. Ada juga versi dari Indonesia yang menyatakan bahawa Kuntilanak ini merupakan seorang wanita yang mati akibat kehilangan banyak darah samada melalui kemalangan atau melahirkan anak. Biasanya tempat pontianak ini dapat ditemui ialah pada pokok yang rimbun dan serta dijalanan yang sunyi.

Langsuir @ Langsuyar :
Langsuir atau langsuyar ini juga mempunyai latar belakang yang lebih kurang sama dengan pontianak. Ada versi yang menyatakan bahawa Pontianak itu merupakan anak kepada perempuan yang mati semasa melahirkan anak sulung, yang mana ibunya menjadi hantu yang dipanggil sebagai Langsuyar dan anak yang mati itu pula dikenali sebagai Pontianak. Biasanya hantu Langsuir atau Langsuyar ini mempunyai lubang dibelakang badannya dan mengganggu manusia untuk membalas dendam.

Toyol:
Toyol dikatakan berasal dari mayat kanak-kanak yang mati dan dipuja kembali untuk hidup dan digunakan oleh pembelanya sebagai khadam untuk mencuri dan melakukan perbuatan-perbuatan mengganggu manusia dalam sesebuah masyarakat. Toyol dikatakan juga berasal dari Mekah di mana banyak kanak-kanak yang ditanam hidup-hidup semasa zaman jahilliah sebelum Islam yang dipuja pengamal-pengamal ilmu hitam di sana dan dijual kepada mereka-mereka yang berminat untuk membelanya.

Pocong :
Merupakan jelmaan bagi mayat yang hidup semula dalam bentuk ia dikebumikan iaitu masih disaluti kain kafan.

Kesimpulan yang dapat dibuat dalam semua cerita asal usul hantu yang diceritakan di atas ialah, kesemua hantu tersebut merupakan mayat dari orang yang mati dan hidup kembali sebagai hantu untuk membalas dendam dan membuat kacau.

Islam tidak menolak kewujudan makhluk halus, malah perkara ghaib seperti kewujudan makhluk halus wajib dipercayai kerana Rukun Iman itu sendiri terdiri dari perkara-perkara ghaib yang wajib diimani. Mengatakan makhluk halus tidak wujud bermakna melakukan satu iktikad yang merosakkan akidah. Malaikat, Jin dan beberapa makhluk halus yang lain di sebut dengan jelas dalam Al-Qur’an. Ini akan saya jelaskan di dalam posting lain. Perbuatan sihir juga di sebut dengan jelas oleh Allah dalam Al-Qur’an dan ia memang mampu dilakukan oleh mereka-mereka yang melampaui batas. Menolak kewujudan mereka bermakna menolak ayat-ayat Allah dalam Al-Qur’an. Menolak ayat Al-Qur’an bermakna kita beriktikad bahawa kandungan Al-Qur’an itu tidak betul. Dengan iktikad ini, kita mencampakkan diri kita dalam perbuatan tidak beriman kepada Allah.

Tetapi di dalam posting ini, saya ingin menjelaskan mengenai kewujudan hantu yang sudah lama menghantui pemikiran hamba-hamba Allah di seluruh dunia terutamanya di nusantara ini. Pengaruh cerita ini mungkin bermula dengan kepercayaan animisme yang merupakan kepercayaan asal penduduk di sini sebelum diselamatkan oleh kedatangan agama Islam. Jika Islam tidak di bawa oleh pedagang-pedagang Arab, India Muslim dan Cina Muslim yang bertanggungjawab, tentulah sehingga ke hari ini kita masih dibelengu segala kepercayaan karut dan menyembah objek-objek lemah yang tiada kuasa hatta untuk membantu diri mereka sendiri. Mengikut apa yang dijelaskan tadi, dapat disimpulkan bahawa hantu-hantu dengan pelbagai nama tersebut dikatakan berasal dari roh-roh atau mayat-mayat orang yang mati yang kembali hidup untuk membuat kacau dan membalas dendam.

Apa Kata Islam Mengenai Hantu Dalam Kategori sebegini?
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Hadis Sahihnya.


Dari Abu Hurairah r.a. katanya : “Ketika Rasulullah s.a.w. menyabdakan : “Tidak ada penularan, Tidak ada yang tabu di bulan Safar, dan tidak ada hantu mayat gentayangan.” Maka bertanya seorang Arab Dusun, “YA Rasulullah! Bagaimana seandainya sekelompok unta yang sihat dipadang pasir, kemudian didatangi seekor unta yang berkudis, kemudian unta yang sihat itu, berkudis pula semuanya?” jawab Rasulullah s.a.w., “Siapakah penular yang pertama-tamanya?”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)


Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda : “Tidak ada penularan, tidak ada mayat gentayangan yang menjadi hantu kuburan, tidak ada binatang tetentu muncul yang menyebabkan hujan, dan tidak ada tabu di bulan Safar”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)


Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Tidak ada penularan, tidak ada pengaruh atau tanda bahaya suara burung, dan tidak ada hantu.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. sedang memberikan penjelasan mengenai beberapa perkara tahyul dan khurafat yang menjadi kepercayaan Arab Jahilliah pada satu ketika dulu. Pertama yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. ialah, tidak semua penyakit itu penyakit berjangkit. Jika ada penyakit berjangkit sedang menular, terdapat satu hadis daripada Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan amalan kuarantin yang harus dipatuhi penduduk setempat yang mengalami penyakit tersebut dan penduduk luar yang dilarang masuk ke tempat tersebut. Rasulullah s.a.w. juga memberikan penjelasan terhadap kepercayaan karut yang diperkatakan oleh golongan Arab Jahiliah satu ketika dulu seperti siulan burung-burung tertentu yang dikatakan mereka sebagai alamat atau petanda kejadian tidak elok bakal berlaku. Rasulullah s.a.w. mendidik mereka dengan hadis ini yang mengatakan semua perkara tersebut adalah tidak benar dan karut. Begitu juga dengan kepercayaan Arab Jahiliah satu ketika dulu yang mengatakan bahawa mayat seseorang itu boleh kembali hidup dan menjadi hantu yang bergentayangan (merayau-rayau) di kawasan perkuburan. Dengan ini jelas sekali dari Hadis baginda Rasulullah s.a.w. bahawa apa yang dikatakan hantu itu tidak wujud sama sekali. Ini kerana kebanyakan dari mitos yang menyatakan asal usul hantu-hantu dengan berbagai-bagai nama ini adalah karut marut amalan jahiliah dan animisme belaka.

Jika hantu itu tidak wujud, bagaimana pula ada orang mendakwa diganggu dengan pelbagai jenis lembaga?
Hadis hadis di atas dengan jelas menyatakan bahawa hantu itu tidak wujud. Tiada mayat yang hidup kembali menjadi hantu dan tidak ada hantu-hantu yang merayau rayau di mana-mana termasuk kawasan perkuburan. Maka dengan ini, mitos mengenai pontianak, toyol langsuir, hantu bungkus atau pocong, penanggalan atau sebagainya memang tidak wujud kerana dalam mitos itu sendiri menyatakan bahawa mereka ini berasal dari mayat manusia yang mati dan hidup kembali.

Memang selalu kita dengar ada orang yang terserempak dengan berbagai jenis lembaga yang cuba menganggu mereka. Lembaga ini datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang datang dalam bentuk haiwan, ada juga datang dalam bentuk manusia malah ada juga yang menghadirkan dan menzahirkan diri mereka dalam bentuk rupa-rupa yang menakutkan manusia. Dalam hadis Rasulullah s.a.w juga ada menyebut mengenai perihal makhluk-makhluk ini yang menzahirkan diri dalam pelbagai bentuk yang membuat beberapa kekacauan dan gangguan ke atas sahabat-sahabat baginda s.a.w.

Jika hantu itu tidak wujud, siapakah pula makhluk-makhluk ini yang dikatakan mengganggu sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dan baginda Rasulullah s.a.w. sendiri?
Beberapa hadis daripada sumber yang sahih menceritakan mengenai perihal gangguan ini. Berikut antara hadis-hadis tersebut :

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. katanya : “Tadi malam, Ifrit dari bangsa Jin datang kepadaku hendak menggangguku solat. Tetapi Allah memungkinkan aku untuk mengatasinya. Aku bermaksud untuk mengikatnya pada sebuah tiang di masjid, sehingga pagi-pagi anda semua dapat melihatnya. Namun aku ingat doa saudaraku, Nabi Sulaiman, yang memohon, “Ya Allah, Tuhanku! Ampunilah aku, dan berikanlah aku satu kerajaan yang tidak akan pernah engkau berikan kepada seorang jua sesudahku.” Kata Rauh, lalu Jin itu diusir oleh Nabi.”
(Hadis Riwayat Bukhary)

Dalam sahih Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ r.a. juga meriwayatkan satu peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. diganggu pula oleh syaitan yang mengacah-acahkan obor api ke muka baginda semasa baginda s.a.w. sedang mengimami solat jemaah. Baginda s.a.w. juga ingin menangkap syaitan tersebut untuk diikat, tetapi akhirnya baginda melepaskannya kerana teringatkan kembali doa Nabi Sulaiman a.s. seperti yang tersebut dalam hadis riwayat Imam Bukhary di atas.

Begitu juga dengan hadis-hadis berikut yang dipetik dari mukasurat 51 – 56 buku karya Dr. Amran Kasimin dan Prof. Dato’ Dr. Haron Din yang bertajuk ‘Fadilat Ayat Al-Kursi Untuk Mengatasi Sihir’ terbitan Percetakan Watan Sdn. Bhd. Cetakan tahun 1995.

Dari Abi Ayyub ia telah berkata: Aku telah menangkap satu jin betina. Maka Ia berkata kepada aku; lepaskan daku nescaya akau akan ajarkan dikau sesuatu. Apabila engkau baca akan dia, tidak akan memberi mudarat akan dikau oleh salah satu daripada golongan kami! Aku berkata: Apa dia? Ia menjawab: Ayat Al Kursi. Maka aku pun memberitahu Rasulullah s.a.w. akan dia. Lalu dijawab oleh baginda: Benarlah, walaupun dia pembohong.


Dari Abi Ayyub, bahawa ketika ia berada di rumah kecil kepunyaannya, satu lembaga datang lalu ditangkap… ia mengadu kepada Nabi s.a.w. Baginda berkata: Kalau dia datang lagi dikatakan (dengan nama Allah aku akan hadapkan dikau kepada Rasulullah). Ketika lembaga itu datang, Abi Ayyub pun berkata demikian kepadanya… lalu ditangkapnya. Lembaga itu berkata: Sesungguhnya aku tidak akan datang lagi… lalu ia melepaskan dia. Maka ia pun datang kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bertanya kepadanya: Apa yang dilakukan oleh tawananmu. Jawab Abi Ayyub: Aku tangkap dia. Lembaga itu berkata: Sesungguhnya aku tidak akan datang lagi… lalu aku lepaskan dia. Baginda berkata: Sesungguhnya ia akan datang… Abi Ayyub telah menangkapnya dua tiga kali.. setiap kali ditangkap lembaga itu berkata: Aku tidak akan datang lagi. Lalu ia datang kepada Nabi s.a.w. Baginda bertanya: Apa yang telah dilakukan oleh tawananmu. Lalu ia menjawab: Aku telah tangkap dia… lembaga itu berkata aku tidak akan datang lagi.. maka jawab Nabi: Sesungguhnya ia datang. Lalu aku tangkap dia. Lembaga itu berkata:… Lepaskan daku, aku akan ajarkan dikau sesuatu, apabila engkau baca bacaan itu nescaya tidak ada sesuatu akan menghampiri akan dikau, iaitu ayat Al Kursi. Lalu ia datang kepada Nabi s.a.w. dan memberitahu akan dia. Jawab baginda: Benarlah… walaupun dia pembohong.


Dari Abu Hurairah ia berkata: Rasulullah s.a.w. telah mempertaruhkan daku untuk menjaga hasil zakat ramadhan. Maka datang kepadaku satu lembaga mengambil sedikit daripada makanan tersebut lalu aku tangkap akan dia seraya berkata: Aku akan hadapkan dikau kepada Rasulullah s.a.w. Ia menjawab: Lepaskan daku, sesungguhnya aku ini amat berhajat. Aku mempunyai keluarga dan amat kesempitan. Lalu aku lepaskan dia. Di pagi hari Nabi s.a.w. telah bertanyakan kepadaku: Wahai Abu Hurairah apa yang telah dilakukan oleh tawananmu malam tadi?Aku jawab: Ya Rasulullah, ia telah mengadu mempunyai hajat yang sangat bersangatan dan mempunyai keluarga lalu aku merasa belas dan melepaskannya. Baginda menjawab: Sesungguhnya dia telah menipu kau. Dia akan datang lagi… Aku tahu dia akan datang lalu aku hendap. Maka ia datang mengambil sedikit makanan tadi lalu aku tangkap.. Aku berkata: sesungguhnya aku akan hadapkan dikau kepada Rasulullah. Ia menjawab: Lepaskan aku: Sesungguhnya aku ini amat berhajat. Aku mempunyai keluarga. Aku tidak akan datang lagi. Aku merasa belas lalu melepaskannya. Baginda menjawab: Sesungguhnya dia telah menipu kau dan ia akan datang lagi. Aku hendap dia buat kali ketiga. Ia telah datang dan mengambil sedikit makanan lalu aku tangkap akan dia. Aku berkata: Sesungguhnya aku akan hadapkan dikau kepada Rasulullah s.a.w. Ini adalah akhir kali ketiga engkau berjanji tidak akan datang. Maka ia pun berkata: lepaskan daku… aku akan ajrkan dikau dengan kalimah-kalimah.. Allah akan memberi manfaat dengan kalimah itu.. Aku tanya: Apa dia? Dia menjawab: Apabila engkau baring atas tempat tidurmu… hendaklah engkau baca ayat Al Kursi hingga akhir ayat. Sesungguhnya engkau tidak henti-hentinya bersamamu penjagaan dari Allah. Tidak akan menghampiri dikau syaitan hingga subuh. Lalu aku pun melepaskan dia. Waktu pagi Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku: Apa yang telah dilakukan tawananmu malam tadi? Aku jawab: Wahai Rasulullah, ia telah berjanji hendak mengajar aku kalimah-kalimah yang memberi manfaat oleh Allah dengan ayat tadi lalu kulepaskan dia. Baginda bertanya: Apa dia? Aku jawab: Ia berkata kepadaku: Apabila engkau baring atas tempat tidur, engkau hendaklah membaca ayat Al-Kursi dar awalnya hingga tamat. Ia juga berkata kepadaku: Tidak berhentinya bersamamu penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan menghampiri dikau sehingga subuh. Awak sentiasa dapat perlindungan. Nabi s.a.w. menjawab: Sesungguhnya ia telah berkata benar kepadamu walaupun dia pembohong. Adakah awak tahu siapa yang bercakap sejak tiga malam lepas wahai Abu Hurairah? Ia menjawab: Tidak. Kata Rasulullah s.a.w. Itulah syaitan.

Begitu juga dengan hadis hadis berikut yang di petik dari Sahih Muslim.


Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun di antara kamu melainkan telah ada jin (Qarin) yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya.” Tanya para sahabat, “Anda juga, ya Rasulullah?” Jawab beliau, “Ya, aku juga. Tetapi Allah selalu melindungiku dari godaan mereka, sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam(menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)


Dari A’isyah r.a. Isteri Rasulullah s.a.w., dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. pergi dari rumahnya (rumah A’isyah). Kata A’isyah, “Kerana aku cemburu kepada beliau. Setelah beliau kembali, beliau memperhatikan tingkah lakuku lalu beliau bertanya, “Mengapakah engkau hai A’isyah, cemburukah?” jawabku, “Bagaimana wanita seperti aku tidak cemburu terhadap lelaki seperti anda?” Tanya beliau, “Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab A’isyah, “Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab beliau, “Ya!”. Tanyaku, “ Apakah setiap orang begitu?” Jawab, “Ya!”. Tanya, “Anda sendiri juga?” Jawab, “Ya! Tetapi aku dilindungi Tuhanku sejingga aku selamat.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Jin pendamping yang dikenali sebagai Qarin ini juga ada disebut kewujudannya di dalam budaya orang Jerman. Ianya dikenali sebagai Doppelganger (kembar seiras dalam bentuk roh dan jahat yang berjalan). Banyak penemuan dan peristiwa yang melibatkan Doppelganger ini dicatatkan dalam sejarah mereka.

bersambung di bahagian dua KLIK….

© Oktober 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Thursday, October 25, 2007

Memperbetulkan Persepsi Salah Cara Pengurusan Jenazah Yahudi...


oleh Muhammad Ibn 'Az
Assalamualaikum w.r.t., otaiRock77 (nama user name yang digunakan) telah menghantar satu email yang pernah saya terima satu ketika dulu melalui yahoogroups. Email ini berkisar tentang cara pengkebumian yang dipraktikkan oleh golongan Yahudi. Cuba baca kandungan email tersebut di bawah :


Oleh ****k Y**

Dalam pekerjaan saya, saya terpaksa berkecimpung dan bertemu dengan segala macam manusia dari segala macam bangsa dan ugama. Timbul pula satu kesempatan saya berbual2 dengan seorang lelaki yang berugama Yahudi. Dia rajin pergi ke synagogue-nya seperti kebanyakan orang kita juga rajin ke mesjid. Saya bertanya kepadanya bagaimana mayat seorang Yahudi dikebumikan. Di bawah ini adalah keterangannya:


Kebanyakan orang Yahudi tidak menyimpan mayatnya berhari-hari seperti mayat2 ugama Keristian, Buddhist, Hindu, dan lain penganut ugama kafir. Ada yang menyimpan mayatnya hanya sehari dan ada juga yang menyimpan mayatnya sampai tiga hari. Kematian seorang Yahudi merupakan "family affair" saja dan amat jarang diumumkan di suratkabar untuk pengetahuan sahabat-handai atau masyarakat sekelilingnya (kecuali kalau si mati itu adalah seorang pembesar synagogue atau pembesar negara). Begitu juga pengebumian mayat itu merupakan
"family affair" yang sangat private.

Bila mayat akan kebumikan, disiapkan sebuah lemari cermin yang berdiri, tidak sebuah peti mayat (coffin) seperti ugama2 lain. Mayat ini dibersihkan dan diberi pakaian yang bagus dan didandankan: rambutnya disikat rapi dan dibedakkan supaya wangi baunya. Mayat di-injek dengan obat yang mengeraskan tubuhnya. Selepas itu mayat itu di-berdiri-kan di dalam lemari cermin itu dan diikat di beberapa bagian tubuhnya supaya tubuh mayat dapat berdiri tegak dalam lemari cermin itu. Jadi, mayat Yahudi tidak dibaringkan dalam "coffin" seperti mayat2 ugama lain.

Di tanah perkuburan Yahudi sudah digali sebuah lobang empat persegi dengan lebar kira2 dua kaki setengah (two and half feet square) dan dalamnya kira2 enam kaki. (Tidak seperti kubur Islam yang biasanya (rectangle) panjangnya 6 kaki, lebarnya sekitar 3 kaki dan dalamnya kira2 enam kaki.) Ini kerana cermin lemari yang digunakan sebagai "peti mayat" itu akan ditanam berdiri tegak. Waktu meng-kuburkan mayat biasanya pada waktu senja (kalau kita ?kira2 waktu maghrib) apabila matahari hampir akan terbenam ? tidak begitu terang dan tidak pula terlalu gelap. Mayat dibawa ke tanah perkuburan dengan "special trailer" yang dapat mengangkut lemari mayat itu dengan keadaan "berdiri" (maksudnya tidak perlu "dibaringkan" walaupun dalam kereta mayat. Apabila lemari mayat tiba di tanah perkuburan, lemari itu di-transfer ke sebuah trolley (beroda dua) dengan keadaan lemari itu berdiri. (Trolley ini sama seperti kita kadang2 melihat pekerja2 Pepsi atau Cocacola menolak trolley minuman dari lori masuk ke kedai). Apabila tiba di lobang kubur, lemari cermin itu dimasukkan ke dalam lobang "vertical" itu dengan menggunakan tali. Yang memasukkan mayat ke dalam lobang adalah anggota keluarga saja.

Setelah lemari cermin itu dapat berdiri tegak dalam lobang, maka disendalkan tanah2 agar lemari itu tidak memiring ke mana2 apabila lobang itu ditimbus dengan! tanah. Kerja2 mengebumikan mayat ini semuanya dilakukan dalam keadaan cahaya samar2, tidak terang dan tidak begitu gelap. Biasanya tidak sampai satu jam, bereslah urusan pengebumian ini. Yang ikut menghantar mayat ke kuburan hanya anggota keluarga. Mereka yang tidak ada hubungan darah dengan si mati tidak digalakkan ikut bersama. Ini agar sikap "family affair" dalam urusan mayat dapat terpelihara.

Jadi, dalam upacara mengebumikan mayat Yahudi, tidak banyak yang ikut ke cemetary. Biasanya tidak lebih dari 10 orang, dan tidak ada rabbi (bunyinya "rabai" paderi Yahudi) yang mengantarinya ke kubur. Maka tidak adalah do'a mantera yang dibacakan Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah. Mereka duduk di kursi dalam bentuk "circle" dan bertafakkur mengingatkan mayat yang di dalam kubur dan nasibnya di dalam kubur. Biasanya tafakkur ini berlaku sepanjang malam dari saat mayat dikebumikan sampailah hari esoknya. Mereka yang bertafakkur tidak tidur sepanjang malam. Mereka semua duduk diam membisu tanpa ada pembacaan mantera. Impression: Sangkaan saya (repeat hanya "sangkaan"), kaum Yahudi sangat takut diketahui orang apabila seorang daripadanya mati kerana masyarakat Yahudi menjadi kurang seorang akibat kematian itu.

Kenapa mayat Yahudi ditanam berdiri mungkin melambangkan "enggan tunduk" kepada Tuhan Allah walaupun sudah habis hayatnya di dunia. Apakah ini satu "kesombongan melulu" terpulanglah kepada yang ingin men-interpretasikan .

Wallahu a'lam.


Sumbangan artikel daripada: ****k Y**


Pada mulanya, saya membaca email tersebut sekadar untuk mengambil tahu isikandungannya. Langsung saya tiada niat untuk mempercayai atau pun tidak percaya. Bagi saya, ini cuma artikel yang disumbangkan saudara seagama yang ingin berkongsi cerita. Tak apa lah, tetapi apabila saya mendapat satu lagi email yang serupa dari Zach, yang meminta pendapat saya mengenai perkara tersebut, lalu saya membalas emailnya dengan menyatakan bahawa saya tak akan memberikan apa-apa komen tentang perkara yang saya tiada pengetahuan mengenainya. Kemudian apabila posting saya berkenaan pembohongan audio azab kubur diterbitkan, Sasha Kowalski (nama yang diguna pakai olehnya) pula menghantar email yang sama kepada saya. Lalu, saya pun mula terfikir untuk mencari kepastian. Saya membuka beberapa buku, kitab tanakh, Talmud dan membuat carian di internet bagi mendapatkan maklumat. Terlalu sukar untuk mendapatkan maklumat bergambar untuk dijadikan bukti bagi mengesahkan atau menafikan kandungan email tersebut. Entah kenapa, jika maklumat mengenai perkara lain sangat mudah diperolehi, tetapi maklumat bergambar mengenai cara pengurusan jenazah Yahudi inilah yang paling sukar untuk saya perolehi. Berjam-jam saya menghabiskan masa mencari maklumat, akhirnya usaha tersebut diubati dengan berbagai informasi yang tiba-tiba muncul sebaik saja saya hampir mengambil keputusan untuk menghentikan carian pada hari tersebut.
Alhamdulillah, akhirnya informasi yang saya perlukan dan fakta-fakta tepat bersama gambar-gambar cara pengendalian jenazah Yahudi akhirnya saya perolehi. Berikut merupakan cara bagaimana kaum Yahudi menguruskan satu-satu kes kematian dikalangan mereka.

Ketika seorang Yahudi menghampiri atau berada dalam sakaratul maut, orang-orang disekelilingnya dinasihatkan supaya mengajarnya lafaz taubat dan doa persaksian (sebagai orang Islam, kita biasanya akan mengajar lafaz dua kalimah Syahadah iaitu persaksian Tiada Tuhan Yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah). Lafaz taubat dan doa persaksian diajarkan sambil membaca doa dari Book of Psalms 23. Lafaz taubat dan persaksian itu berbunyi seperti di bawah :

Sh’ma Yisrael Adonai Eloheinu, Adonai Ehchad.

Terjemahan Inggerisnya
Hear, O Israel, the Eternal One is our God, the Eternal God Alone.

Terjemahan Bahasa Melayunya,
Dengarlah Wahai Israel, Satu-Satunya yang Kekal ialah Tuhan, Tuhan Yang Kekal dan Bersendiri.

Bunyinya lebih kurang lafaz Syahadah pertama bagi umat Islam. Amalan mengajarkan kalimah persaksian ini dikenali sebagai Viddui.

Golongan Yahudi juga mempunyai ‘khairat kematian’ bagi masyarakat mereka sendiri. Golongan yang dilantik menguruskan khairat kematian ini digelarkan sebagai Chevrah Kaddisha. Mereka inilah yang akan menguruskan segala aspek tradisi pengkebumian dan adat-adat yang perlu dipatuhi.

Sebaik Sahaja terjadi Kematian: SHMIRAH – menemani mayat si mati
Sebaik sahaja terjadi kematian, mengikut tradisi Yahudi, mayat si mati tersebut hendaklah ditemani oleh seorang atau beberapa peneman yang digelarkan sebagai Shomer atau juga Shomrim dari masa kematiannya sehingga ke waktu ianya dikuburkan. Biasanya Shomer ini adalah di kalangan ahli keluarga si mati itu sendiri. Mayat ini tidak langsung boleh ditinggalkan walaupun seketika. Shomer-shomer ini akan mengambil giliran menemani mayat tersebut sambil membaca kandungan Book of Psalms dalam kitab mereka sepanjang menemani mayat tersebut. Mengikut hukum yang telah ditetapkan, mayat seorang Yahudi harus segera dikebumikan tidak kira masa kematiannya. Lebih elok dikebumikan dengan seberapa segera.

TAHARAH Memandikan dan membersihkan mayat
Hanya individu yang mempunyai jantina yang sama dengan si mati boleh menguruskan urusan pemandian mayat atau lebih dikenali sebagai Taharah ini. Ini sebagai simbolik kepada si mati agar dia dapat meninggalkan dunia ini dengan cara yang sama dia dilahirkan iaitu bersih dan suci. 


TACHRICHIM - Kafan
Mayat seorang Yahudi diharamkan daripada diawet atau dilakukan bedah siasat ke atasnya. Pendermaan organ si mati adalah diharamkan dalam agama Yahudi ini (kecuali bagi pengikut Yahudi Reformis). Mayat si mati juga tidak boleh diubah bentuk samada dari segi kosmetik atau pembedahan atau disuntik bagi mengeraskannya. Pengawetan mayat diharamkan kerana ia melambatkan proses pereputan mayat untuk menjadi tanah. Dalam tradisi yang diamalkan oleh golongan Yahudi lebih 2000 tahun lamanya, mayat seorang Yahudi akan dipakaikan pakaian yang diperbuat dari kain linen putih atau kain kapas putih yang sederhana sebagai symbol yang menunjukkan bahawa semua manusia itu tidak kira miskin atau kaya adalah sama di depan Allah. Selepas siap proses Taharah (penyucian atau pemandian mayat), mayat tersebut kemudiannya dikafankan menggunakan tachrichim (sejenis kain kafan) dan kemudiannya mayat tersebut dimasukkan ke dalam keranda dan keranda tersebut terus saja ditutup dan akan kekal ditutup kecuali jika ada keperluan mendesak bagi tujuan pengecaman oleh waris. Membuka keranda dan mempamerkan mayat di dalamnya merupakan satu tindakan yang dianggap sebagai tidak menghormati si mati, keluarganya dan Chevrah Kaddisha yang menguruskan mayat terbabit.

ARON - Keranda
Undang-undang dan hukum-hukum Yahudi menetapkan bahawa badan mayat tersebut hendaklah dikembalikan ke dalam tanah seberapa segera yang boleh, jadi keranda yang boleh digunapakai ialah dari jenis kayu yang paling mudah reput. Tiada keranda logam, plastik dan kaca dibenarkan kerana semua bahan ini sangat lambat proses pereputannya dan ini sangat bertentangan dengan ayat yang di ambil dari Five Book of Moses iaitu Taurat

Genesis fasal 3 ayat 19
..for dust thou art, and unto dust shalt thou return.

Terjemahannya
…Dari tanah asalmu, dan kepada tanah kamu harus kembali.

Keranda yang diperbuat dari kayu yang mudah reput ini, dilubangi pada beberapa tempat dibahagian bawahnya supaya mudah tanah meresap masuk dan menghancurkan mayat.

LEVAYAHMenyembahyangkan mayat
Upacara ini kebiasaannya dilakukan di synagogue atau rumah pengurusan mayat atau di tapak perkuburan. Upacara ini biasanya dilakukan dengan sederhana dan sambil melaungkan Eyl Malei Rahamim (Tuhan Yang Maha Mengasihani). Jambangan bunga dan permainan alat muzik amat tidak digalakkan.

PALL dan PALLBEARERS – Pengusung keranda
Kebiasaannya Pallbearers ini dilantik dikalangan saudara mara (bukan ahli keluarga paling dekat si mati) si mati. Enam hingga lapan orang akan ditugaskan mengusung keranda sehingga ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

K'VURAH - Pengkebumian
Hukum-hukum Yahudi menetapkan bahawa mayat tersebut hendaklah segera dikebumikan tanpa berlengah. Sepatutnya pengkebumian dilakukan segera dalam tempoh 24 jam selepas kematian. Pengkebumian diharamkan daripada dilakukan pada hari-hari kebesaran Yahudi seperti Sabbat, Yom Kippur dan hari-hari suci Yahudi yang lain. Kebiasaannya keranda akan diturunkan ke dalam kubur yang telah sedia di gali dan kemudian, ahli-ahli keluarga si mati dan mereka yang hadir pada pengkebumian tersebut bersama-sama memenuhkan liang yang di gali tersebut dengan tanah untuk menimbuskannya sebagai penghormatan terakhir kepadanya. Menurut tradisi, sebaik melakukan perkara tersebut dan menuju pulang, mereka digalakkan membasuh tangan sebagai symbol mereka inginkan kehidupan selepas berurusan dengan kematian tadi.


SE'UDAT HAVRA'AH - Jamuan Sejurus Pulang Dari Pengkebumian
Ini merupakan makanan pertama yang dijamah sebaik pulang dari pengkebumian di tanah perkuburan. Menurut tradisi, makanan yang melibatkan daging haruslah dielakkan. Kebiasaannya mereka akan dijamukan dengan telur goreng atau apa saja makanan dalam bentuk bulat sebagai simbolik kepada roda kehidupan yang sentiasa berterusan berputar.

SHEVAH - Berkabung Seminggu
Dalam hukum Yahudi, tujuh (7) orang ahli keluarga terdekat si mati dikehendaki mematuhi perkabungan yang dinamakan Shevah ini.Mereka ini ialah ibu bapa si mati, anak isteri atau suami si mati, adik abang si mati. Dalam tempoh perkabungan, mereka tidak dibenarkan memakai kasut yang diperbuat dari kulit, bersolek, memakai wangi-wangian, mandi, bercukur, menggunting rambut dan mempunyai hubungan kelamin. Semua cermin di dalam rumah mereka yang terlibat dengan perkabungan ini akan ditutup. Semua yang terlibat dengan perkabungan ini juga hanya akan duduk di atas kerusi yang rendah atau duduk di atas lantai sahaja sepanjang tujuh hari perkabungan ini. Mereka juga tidak dibenarkan bekerja dalam tempoh ini. Perbuatan berkabung selama tujuh hari ini di gelar sebagai Shevah , atau bermaksud tujuh dalam bahasa Hebrew. Ini kerana mereka akan berkabung dalam tempoh tujuh hari selepas pengkebumian si mati. Pada waktu Shevah ini, mereka yang terlibat dengannya, iaitu 7 orang yang dimaksudkan tadi hanya akan menunggu dirumah. Mereka ini akan dilawati oleh pelawat-pelawat yang akan menyampaikan ucapan takziah kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan menyediakan apa-apa pun kepada mana-mana tetamu yang menziarahi mereka, sebaliknya tetamu-tetamu dan masyarakat Yahudi disekelilingnyalah yang dipertanggungjawabkan untuk membantu mereka menyediakannya. Sebagai mengingati si mati, sejenis lilin khas akan di nyalakan sepanjang tempoh perkabungan ini. Perkabungan ini dimulakan pada hari pengkebumian.


K'RIAHMemakai pakaian perkabungan
Mereka yang terlibat dengan perkabungan ini, satu ketika dulu akan mengoyakkan bahagian baju mereka (kebiasaannya pada bahagian lengan sebelah kiri) atau memakai pakaian yang lama atau buruk. Pemakaian perkabungan ini dilakukan sepanjang tempoh Shevah kecuali pada Hari Sabbat dan hari-hari kebesaran Yahudi yang lain. Dalam tradisi yang lebih moden pula, mereka yang terlibat dengan perkabungan ini akan memakai riben berwarna hitam yang disematkan menggunakan pin ke pakaian mereka. Bagi ibu bapa si mati, riben hitam tersebut akan disematkan ke bahagian jantung dan bagi selainnya pada bahagian kanan pakaian mereka dan kemudiannya riben itu di potong atau dikoyakkan sebagai mengikut simbolik tradisi lama. Doa selamat akan dibacakan semasa K'riah ini dipraktikkan, kebiasaannya ianya dilakukan sejurus sebelum upacara pengkebumian dan di bawah seliaan Rabbi atau mana-mana orang yang dipertanggungjawabkan melakukannya.

MINYAN dan KADDISH - Pembacaan Doa
Setiap hari dalam tempoh Shevah ini, sekumpulan lelaki (lebih kurang sepuluh orang) Yahudi yang sudah mencapai akil baligh (13 tahun ke atas menurut tradisi Yahudi) yang dikenali sebagai minyan akan menziarahi keluarga ini bagi membantu keluarga ini dalam membaca Kaddish iaitu doa dari Book of Psalms, sehingga tempoh Shevah ini selesai. Pembacaan Kaddsih ini sebagai menghormati pemergian si mati. Ianya menjadi tanggungjawab bagi kariah tersebut untuk membantu meringankan beban keluarga si mati (jika kumpulan minyan ini tidak hadir, keluarga si mati di mestikan membaca Kaddish bersama kumpulan minyan yang ada di Synagogue terdekat). Sekurang-kurangnya minyan ini akan diadakan sehari sekali dirumah keluar si mati.

NICHUM AVEILIM - Membantu Ahli Keluarga Yang Berkabung
Ianya menjadi satu yang amat digalakkan kepada masyarakat Yahudi di sekelilingnya untuk melawat keluarga yang berada dalam tempoh Shevah ini kecuali pada hari Sabbat biarpun keluarga tersebut kurang dikenali jiran-jirannya.
Selepas selesai menghiburkan hati keluarga si mati yang sedang berkabung dengan lawatan yang dilakukan, menjadi satu tradisi dalam Yahudi untuk mengucapkan perkataan berikut sebelum meminta diri untuk pulang:

Ha-makom y'nakhem etkhem b'tokh sh'ar avelei Tziyon Virushalayim.
Terjemahannya, Semoga Tuhan memberikan kelapangan dan ketenangan kepada kamu dan juga semua yang berkabung seperti kamu di Zion dan Jerusalem.
Tradisi ini bagi mengingatkan mereka dengan asal mereka dari Israel dan semua yang seagama dan sebangsa dengan mereka adalah bersaudara dan akan sentiasa sedia membantu mereka dalam kesusahan.

TZEDAKAH - Amal Kebajikan dan Sedekah
Tradisi Yahudi tidak menggalakkan penghantaran bunga sebagai ucapan takziah apabila adanya kematian. Apa yang digalakkan oleh tradisi Yahudi ialah bersedekah kepada badan-badan amal kebajikan, rumah-rumah anak yatim, sekolah, hospital-hospital dan mana-mana prtubuhan kebajikan di atas nama si mati sebagai simbol penghormatan dan cara yang paling positif dalam mengingati si mati.

Perkabungan Selepas Tempoh SHIVAH
Kaddish akan terus di baca selama sebulan selepas hari pengkebumian (11 bulan tempoh yang dibaca oleh ibu bapa si mati pula)

SHLOSHIM – Perkabungan 30 hari selepas Shevah
Shloshim yang membawa maksud tiga puluh dalam bahasa Hebrew, juga membawa maksud perkabungan 30 hari bermula dari hari si mati dikebumikan. Selepas Shevah iaitu tujuh hari pertama perkabungan, Shloshim ini sebagai satu simbolik bagi keluarga yang berkabung tadi utnuk kembali kepada aktiviti kehidupan asal mereka. Inilah ketikanya mereka yang berkabung kembali ke sekolah, kerja dan melakukan semua aktiviti biasa dan kembali tinggal bersama mereka yang disayangi setelah mereka setelah berkabung selama tujuh hari. Cuma sewaktu perkabungan dalam tempoh Shloshim ini, keluarga si mati tadi akan mengelakkan sebarang aktiviti yang melibatkan muzik, hiburan atau perayaan.

YAHRZEIT – Ulang Tahun Pemergian si Mati
Ulang tahun pemergian si mati dikenali sebagai Yarzheit dan dikira menggunakan calendar Hebrew. Ulangtahun ini disambut dengan menyalakan sejenis lilin yang dapat bertahan 24 jam. Lilin ini mula dinyalakan pada petang sebelum tarikh Yarzheit. Kaddish dibaca sewaktu sambutan ini. Jemaah sewaktu Sabbat di kariah tersebut akan diperingatkan dengan menyebut nama si mati dan Yarzheitnya yang menghampiri berdekatan dengan hari Sabbat tersebut.

MELETAKKAN BATU NISAN atau MATZAVA
walaupun tidak ada dalam mana-mana tradisi Yahudi yang menggalakkan mengadakan apa-apa upacara semasa meletakkan batu nisan, kebanyakan Yahudi akan mengadakan sedikit upacara sebagai penghormatan semasa meletakkan batu penanda atau batu nisan. Yahudi diwajibkan meletakkan batu nisan sebagai penanda kubur dan menurut tradisi mereka, waktu yang berdekatan dengan Yarzheit merupakan waktu paling sesuai untuk meletakkan batu nisan. Tetapi bagi kebiasaannya, sehabis tempoh Shloshim (30 hari perkabungan) batu nisan itu sudah pun diletakkan. Batu Nizan atau Matzava ini seharusnya dibuat sesederhana mungkin dan dituliskan nama si mati dalam bahasa Hebrew bersama dengan tarikh lahir dan matinya.

Setelah puas melakukan rujukan dengan berbagai-bagai jenis upacara dan cara seorang menguruskan satu-satu kematian di kalangan Yahudi, maka semua yang di atas ini merupakan cara dan upacara standard bagi mana golongan Yahudi.

Sekarang kita bandingkan cara pengurusan mayat yahudi ini dengan kandungan email tadi.

1. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Kebanyakan orang Yahudi tidak menyimpan mayatnya berhari-hari seperti mayat2 ugama Keristian, Buddhist, Hindu, dan lain penganut ugama kafir.

Kenyataan penulis artikel tersebut adalah benar kerana sememangnya Yahudi tidak akan menunggu lama untuk mengebumikan si mati dari kalangan mereka.

2. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Kematian seorang Yahudi merupakan "family affair" saja dan amat jarang diumumkan di suratkabar untuk pengetahuan sahabat-handai atau masyarakat sekelilingnya (kecuali kalau si mati itu adalah seorang pembesar synagogue atau pembesar negara). Begitu juga pengebumian mayat itu merupakan "family affair" yang sangat private.
Kenyataan ini tidak mengandungi kebenaran kerana masyarakat Yahudi disekelilingnya dipertanggungjawabkan untuk membantu keluarga yang baru menghadapi peristiwa kematian ahli keluarga mereka. Seluruh kariah mereka akan bekerjasama bagi membantu semua urusan berkaitan kematian tersebut.

3. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Bila mayat akan kebumikan, disiapkan sebuah lemari cermin yang berdiri, tidak sebuah peti mayat (coffin) seperti ugama2 lain.

Kenyataan ini tidak mengandungi kebenaran kerana agama Yahudi melarang keras sebarang penggunaan material yang lambat mereput sebagai bahan buatan keranda mereka. Ini termasuklah penggunaan keranda kaca kerana keranda dari jenis ini sangat lambat proses pereputannya.
4. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Mayat ini dibersihkan dan diberi pakaian yang bagus dan didandankan: rambutnya disikat rapi dan dibedakkan supaya wangi baunya.
Kenyataan ini ada kebenarannya dan ada yang tidak benarnya. Pertama, yang benar, mayat Yahudi tersebut memang wajib dibersihkan dengan memandikannya. Proses ini dikenali sebagai Taharah. Kedua, yang tidak benarnya ialah, penulis tersebut mengatakan bahawa mayat tersebut akan didandankan, diberi pakaian yang bagus dan dibedakkan supaya wangi. Perkara sebegini amat dilarang dalam tradisi dan agama Yahudi dan perbuatan mendandan atau menyolek mayat si mati amat dilarang sama sekali. Pakaian yang dipakai hanyalah baju biasa dari kain kapas atau linen berwarna putih yang hanya dipakai oleh si mati dan dipakai oleh semua golongan tak kira samada kaya atau miskin dan kemudian mayat tersebut akan dikafankan dengan Tachrichim. Cara mayat dikafankan dan dimandikan adalah sama dengan cara bagaimana Islam menguruskan, memandikan dan mengkafankan mayat. Rujuk video di atas.
5. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Mayat di-injek dengan obat yang mengeraskan tubuhnya.
Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Perbuatan sebegini diharamkan oleh agama Yahudi kerana ianya melambatkan proses pereputan mayat sebagaimana yang dikehendaki agama mereka.
6. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Di tanah perkuburan Yahudi sudah digali sebuah lobang empat persegi dengan lebar kira2 dua kaki setengah (two and half feet square) dan dalamnya kira2 enam kaki. (Tidak seperti kubur Islam yang biasanya (rectangle) panjangnya 6 kaki, lebarnya sekitar 3 kaki dan dalamnya kira2 enam kaki.) Ini kerana cermin lemari yang digunakan sebagai "peti mayat" itu akan ditanam berdiri tegak
Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Kubur seorang Yahudi digali sebagaimana kubur seorang Islam digali. Si mati Yahudi ini akan ditanam dengan cara yang sama seorang Islam di tanam. Rujuk video. Jika ada sumber sahih yang menyatakan mereka di tanam secara menegak dan ada bukti bergambar menunjukkan perbuatan tersebut, sila emailkan kepada saya.
7. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Waktu meng-kuburkan mayat biasanya pada waktu senja (kalau kita ?kira2 waktu maghrib) apabila matahari hampir akan terbenam ? tidak begitu terang dan tidak pula terlalu gelap.
Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Seorang yahudi akan ditanam tidak kira masa samda gelap, samar-samar atau pun cerah. Yang penting bagi mereka ialah mayat itu ditanam seberapa segera yang boleh. Cuma mereka dilarang menanam mayat pada hari Sabbat dan hari-hari kebesaran Yahudi.
8. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Mayat dibawa ke tanah perkuburan dengan "special trailer" yang dapat mengangkut lemari mayat itu dengan keadaan "berdiri" (maksudnya tidak perlu "dibaringkan" walaupun dalam kereta mayat. Apabila lemari mayat tiba di tanah perkuburan, lemari itu di-transfer ke sebuah trolley (beroda dua) dengan keadaan lemari itu berdiri. (Trolley ini sama seperti kita kadang2 melihat pekerja2 Pepsi atau Cocacola menolak trolley minuman dari lori masuk ke kedai). Apabila tiba di lobang kubur, lemari cermin itu dimasukkan ke dalam lobang "vertical" itu dengan menggunakan tali. Yang memasukkan mayat ke dalam lobang adalah anggota keluarga saja.

Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Mayat seorang yahudi akan diusung oleh 6 hingga lapan orang yang digelar sebagai PallBearer. Baca penjelasan di atas berkenaan dengan Pallbearer.
9. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Biasanya tidak sampai satu jam, bereslah urusan pengebumian ini.

Kenyataan ini memang benar kerana mereka digalakkan melakukan proses pengkebumian ini sesederhana yang mungkin.
10. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Yang ikut menghantar mayat ke kuburan hanya anggota keluarga. Mereka yang tidak ada hubungan darah dengan si mati tidak digalakkan ikut bersama. Ini agar sikap "family affair" dalam urusan mayat dapat terpelihara.

Kenyataan ini ini tidak benar kerana mereka digalakkan mengikut Pallbearer tersebut dibelakangnya sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati dengan berjalan kaki mengiringinya ke tanah perkuburan.
11. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Jadi, dalam upacara mengebumikan mayat Yahudi, tidak banyak yang ikut ke cemetary. Biasanya tidak lebih dari 10 orang, dan tidak ada rabbi (bunyinya "rabai" paderi Yahudi) yang mengantarinya ke kubur. Maka tidak adalah do'a mantera yang dibacakan Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah..

Kenyataan ini ini tidak benar kerana mereka digalakkan mengikut Pallbearer tersebut dibelakangnya sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati dengan berjalan kaki mengiringinya ke tanah perkuburan.
12. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah. Mereka duduk di kursi dalam bentuk "circle" dan bertafakkur mengingatkan mayat yang di dalam kubur dan nasibnya di dalam kubur.

Kenyataan ini adalah benar kerana mereka diharuskan duduk di dalam rumah tanpa melakukan apa-apa bentuk aktiviti kecuali membaca Kaddish dan berkabung. Mereka ini diharuskan untuk duduk di atas kerusi bulat yang rendah kedudukannya atau pun duduk hanya di atas lantai sebagai menghormati tempoh Shevah.
13. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Biasanya tafakkur ini berlaku sepanjang malam dari saat mayat dikebumikan sampailah hari esoknya. Mereka yang bertafakkur tidak tidur sepanjang malam. Mereka semua duduk diam membisu tanpa ada pembacaan mantera.

Kenyataan ini adalah tidak benar kerana mereka diharuskan duduk di dalam rumah tanpa melakukan apa-apa bentuk aktiviti kecuali membaca Kaddish dan berkabung serta menerima tetamu yang melawat.
Hanya itu sahajalah pencerahan mengenai perkara ini. Barangkali mungkin ada pengunjung diluar sana bertanya kenapa disibukkan memperbetulkan kenyataan silap yang dibuat dalam email tersebut sedangkan yang diperkatakan itu hanyalah mengenai cara pengurusan jenazah Yahudi. Tetapi kita seharusnya ingat bahawa Allah s.w.t. memanggil mereka ini dengan gelaran Ahli Kitab dalam Al-Qur’an. Ahli kitab bermakna mereka ini merupakan golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah melalui kitab-kitab yang Allah turunkan kepada Nabi-Nabi di kalangan mereka yang wajib bagi kita sebagai umat Islam imani. Sayangnya banyak perkara telah mereka selewengkan. Tetapi dalam perihal pengurusan jenazah ini, kelihatan hampir 80% cara yang digunakan mereka hampir menyamai apa yang dipraktikkan oleh umat Islam. Menuduh mereka melakukan yang bukan-bukan seperti dikebumikan secara berdiri, samalah juga memfitnah mereka sedangkan Nabi s.a.w. juga bangun memberikan penghormatan terakhir semasa satu mayat Yahudi yang meninggal dunia melalui tempat baginda berehat bersama para sahabat. Jangan kita dengan senang menuduh apa saja yang dilakukan mereka tidak betul atau memberikan apa-apa persepsi sebelum kita sendiri mempunyai pengetahuan mengenainya, takut-takut apa yang kita katakan dan cela-kan itu merupakan ibadat-ibadat atau cara-cara khusus yang Allah s.w.t. perintahkan kepada mereka yang masih mereka amalkan sehingga kini walaupun banyak juga kesesatan yang telah dicampur adukkan. Saya juga menjawabnya disini disebabkan oleh pertanyaan oleh beberapa pengunjung ke email saya. Saya harap Zach, otairock77, Sasha Kowalski dan anda semua berpuashati dengan penjelasan yang diberikan. Jika masih ragu-ragu, bolehlah membuat pencarian sendiri bagi memuaskan hati yang gusar supaya diisi ketenangan dan keyakinan. Kebenaran itu akan datang bila di cari... memasukkan Wallahua’lam dalam sesuatu posting bukan satu tiket disclaimer untuk menyelamatkan diri apabila fakta dan apa yang diperkatakan itu tidak benar... wallahua’lam hanya diucapkan setelah kita berusaha mencari kebenaran dan menyerahkan kembali pengetahuan tersebut kepada Yang Maha Mengetahui kerana Dia saja yang Mengetahui Mengenai segala-galanya...
Wassalam

© Oktober 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)



Tuesday, October 23, 2007

Pembohongan Audio Azab Kubur...


Sebelum membaca artikel di bawah, sila tonton video ini sampai habis dulu... jika ada masalah dengan video, anda boleh downloadnya dari youtube melalui link kawan saya ini...
http://www.youtube.com/watch?v=IqIgqlsogf4

Assalamualaikum warahmatullah. Baru-baru ini, sebelum bercuti hari raya, seorang sahabat pengunjung setia satuhala yang sering berutus email telah mengemailkan kepada saya sebuah file mp3 dengan tajuk azab kubur. Sesudah membuka email kirimannya, lantas saya save-kan di dalam sebuah folder untuk saya meneliti kandungan di mana-mana masa yang terluang nanti. Disebabkan sibuk dengan berbagai perkara, saya cuma sempat meneliti kandungannya dengan mendengarnya di dalam kereta semasa memandu untuk ke sebuah gedung membeli belah di Pulau Pinang.

Semuanya seperti biasa dengan keindahan melodi pujian kepada Pencipta dan rasa kasih dan rindu kepada Rasulullah s.a.w. yang diungkapkan dengan bait-bait lirik di dalam lagu-lagu yang dikongsi rakan tersebut dengan saya. Terima kasih atas pemberian tersebut, ianya sangat menyenangkan hati dan akal fikiran yang sepanjang Ramadhan ini diasak dengan pelbagai ujian. Tetapi keasyikan itu tidak lama, sebaik saja melompat ke track yang dinamakan dengan azab kubur, terdengar ungkapan kata-kata seseorang seperti sedang menyampaikan kuliah agama. Tanpa mengetahui siapa si penceramah itu dan tempat mana dia berceramah, saya terus menguatkan volume untuk mengetahui butir-butir apa yang cuba disampaikan penceramah tersebut. Dari gaya pertuturannya, berkemungkinan si penceramah tersebut berasal dari Indonesia dan khalayak yang mendengarnya juga berkemungkinan berasal dari negera yang bersaudara dan serumpun dengan Malaysia.

Di dalam ceramah tersebut, diceritakan mengenai satu penemuan yang agak mengejutkan oleh seorang Ahli Kaji bumi bernama Dr. Azzacove. Dengarkan butirannya di dalam audio yang dilampirkan di atas.

Selepas saja mendengar petikan audio selama 38 saat yang dimuatkan di dalam ceramah tersebut, serta merta satu perasaan gerun menyelubungi hati, minda dan perasaan saya. Mendengarkan jeritan jutaan manusia sepertimana yang dikatakan di dalam petikan ceramah tersebut segera mengingatkan saya dengan satu babak dalam filem Event Horizon lakonan Sam Neil yang menggambarkan kapal angkasa tersebut terlajak masuk ke dimensi yang tak sepatutnya dilaluinya. Dimensi tersebut digambarkan sebagai ‘neraka’. Begitu juga dengan babak dalam filem Constantine lakonan Keanu Reaves semasa watak tersebut menjelajah ‘neraka’ untuk mengambil tag tangan kembar kepada wanita yang cuba di tolongnya. Sangat menggerunkan babak yang digambarkan, sedangkan itu baru hanya gambaran babak yang divisualkan melalui khayalan manusia yang cuba menggambarkan apa itu neraka. Neraka sebenarnya tak tergambarkan. Semua yang diimaginasikan oleh akal manusia tidak sekelumit pun dapat menyamai dashyat apa yang dinamakan neraka itu sendiri. Sedangkan api neraka ciptaan Allah sendiri mengadu sakitnya diri mereka dimakan saudara-saudara mereka yang juga api neraka yang panas membakar. Seksaan Allah sangat pedih dan amat dashyat kepada mereka yang menerima kemurkaanNya. Lebih menyeksakan lagi ialah, tiadanya jalan keluar dari penderitaan yang bakal ditanggung oleh penghuninya. Di dunia, kebanyakan manusia yang tidak beriman, apabila dia menghadapi sesuatu masalah yang tak sanggup dihadapinya, dia akan mencari jalan untuk menamatkan riwayatnya sedangkan dia tidak tahu bahawa dengan membunuh diri itu sendiri, akan membuka masalah yang lebih dashyat iaitu kemurkaan Allah.

Disebabkan amat terganggu dengan ‘jeritan-jeritan’ yang masih terngiang-ngiang di dalam kepala, saya menutup rakaman tersebut dan memberhentikan kereta seketika. Perkara tersebut membuatkan saya terfikir untuk menyiasat akan kebenaran perkara ini kerana ianya sangat mengganggu minda saya.

Maka apabila sampai saja ke rumah, terus saya mengambil laptop dan membuat sedikit pencarian di internet. Akhirnya setelah menghabiskan masa di depan laptop hampir sehari suntuk, kebenaran yang saya cari-cari saya ketemuinya. Memang tidak mengejutkan apa yang saya temui itu kerana dari awal lagi saya sudah mempunyai persepsi bahawa perkara ini merupakan antara jutaan pembohongan yang saban hari di telan bulat-bulat oleh muslimin dan muslimat yang tidak mahu berfikir dulu sebelum mempercayai sesuatu.

Lantas teringat saya dengan peristiwa fitnah yang menimpa Saiditina Aishah r.a. isteri Rasulullah s.a.w.. Fitnah tersebut hampir menggoncangkan rumahtangga Rasulullah s.a.w. Sehinggalah wahyu dari Allah membersihkan tohmahan yang dilemparkan kepada isteri Rasulullah s.a.w. Wahyu dari Allah tersebut termuat di dalam surah An Nuur ayat 11 – 20.

Meskipun ayat-ayat tersebut berkisar tentang berita fitnah yang dilemparkan ke atas Saiditina Aishah r.a., Allah s.w.t. menegur perbuatan sampai menyampaikan berita tanpa usul periksa dan tidak tahu kebenarannya. Ini kerana ramai yang akan terkesan dengan akibat dari penyebaran berita sebegini.

An Nur 11
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

An Nur 14
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu;

An Nuur 15
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.


Allah s.w.t. juga menegur perbuatan penyebaran berita yang tidak diketahui kesahihannya terlebih dahulu. Berita-berita sebegini seharusnya diperhalusi dahulu oleh mereka-mereka yang arif dan mempunyai kuasa ke atas sesuatu supaya kebenarannya dapat dipastikan.

An Nisaa’ 83
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).


Sebagai Muslim kita seharusnya beringat kerana kita telah pun diperingatkan berulang kali dalam Al-Qur’an dan Hadis-Hadis Rasulullah s.a.w. tentang perkara ini. Jangan terus menyebarkannya sebelum kebenaran diperolehi. Perkara-perkara sebegini bukannya kecil kemudaratannya, tetapi sangatlah besar. Jika api perkauman yang dicanangkan, porak perandalah negara nanti akibatnya dari penyebaran berita berunsur fitnah ini. Jika kita menyebarkan sesuatu yang tidak betul mengenai Kekuasaan Allah, ianya membawa erti kita memfitnah Allah dengan mengatakan bahawa kawalanNya ke atas alam barzakh amat lemah dan dapat ditembusi dengan teknologi yang diusahakan oleh manusia. Sedangkan sepanjang pengetahuan saya cuma Rasulullah s.a.w. sahaja yang pernah mendengar azab kubur yang ditimpakan ke atas seorag pemuda yang tidak membersihkan dirinya dengan betul setiap kali dia membuang air. Padahal ketika itu, baginda dikelilingi oleh para sahabatnya yang tahap iman mereka antara yang tertinggi dalam umat Islam. Apakah Dr. Azzacove dalam cerita itu tadi lebih tinggi kasyafnya sehingga layak diperdengarkan tentang azab kubur (didakwa oleh penceramah tadi) atau pekikan ahli neraka sebagaimana yang didakwa media-media Kristian Televengalist.

Berbalik kepada cerita disebalik audio rakaman yang dikatakan sebagai suara ahli neraka (ini asalnya) dan versi yang diIslamkan iaitu suara ahli kubur (sepertimana yang didakwa oleh penceramah tadi). Setelah saya membuat carian di Internet, akhirnya saya menemui beberapa laman yang membincangkan tentang perkara ini. Cerita ini asalnya bermula apabila Trinity Broadcasting Network (TBN) pada akhir 1989 atau awal 1990 menyiarkan dalam siaran TV mereka rakaman audio ini yang dikatakan mereka diperolehi dari seorang Kristian Evangalist (Kristian Yang dilahirkan semula sama seperti pegangan George W. Bush dan golongan mereka inilah penyokong kuat rejim Zionis Israel) R. W. Schambach yang berasal dari Texas, Amerika (juga sama seperti tempat asal George W. Bush). Rangkaian TBN ini merupakan sebuah rangkaian fundamentalis Kristian yang bergerak cergas diseluruh dunia. Kini mereka bercawangan pula di Baghdad, Iraq. Menurut sumber tersebut, Schambach ini memperolehi cerita ini dari sebuah jurnal yang dikatakan oleh beberapa sumber sebagai Jurnal Saintifik yang diterbitkan di Finland malah ada juga sumber yang menyatakan bahawa cerita ini diperolehi dari sebuah ‘akhbar Finland yang masyhur dan amat disegani’. Kedua-dua sumber itu bersepakat dalam nama penerbitan akhbar tersebut dan menamakannya sebagai akhbar dengan nama Ammennusastia. 

Apabila sebuah laman web dengan nama truthorfiction.com melakukan penyiasatan mendalam mengenai perkara ini, mereka mendapati bahawa ‘akhbar Ammennusastia’ ini bukanlah sebuah jurnal saintifik atau akhbar ternama seperti yang dinyatakan melalui sumber yang diperolehi sebelum ini. Tetapi Ammennusastia ini hanyalah merupakan sebuah risalah bulanan yang diedarkan kepada penganut-penganut Kristian di Finland.

Mereka, Ammennusastia , pula mengatakan mereka memperoleh cerita dan rakaman audio ini dari sebuah ‘artikel berita utama’ yang dimuatkan dalam akhbar Etela Sourmen. Siasatan selanjutnya menunjukkan bahawa cerita ini bukanlah sebuar ‘artikel berita utama’ dalam surat khabar Etela Sourmen sepertimana yang di dakwa. Ianya cuma merupakan surat pembaca kepada editor akhbar tersebut yang disiarkan dalam ruangan surat pembaca.

Lelaki yang menulis surat tersebut kepada editor Etela Sourmen pula memperolehi cerita tersebut dari seorang mubaligh Kristian Finland yang bernama Vaeltajat. Mereka kemudian menyatakan bahawa mereka memperolehi sumber cerita tersebut pula dari sebuah surat yang di tulis oleh orang Yahudi Kristian dari California, Amerika. Truthorfiction.com hanya dapat mengesan asal cerita ini sejauh ini sahaja.

Semenjak dari penyiaran yang dibuat oleh TBN itu, semakin banyak pertubuhan Kristian menggunakan rakaman audio tersebut bagi tujuan dakwah mereka bagi membuktikan bahawa Kitab Bible itu benar dalam membicarakan mengenai perihal api neraka dan seksaannya. Ramai yang telah terkesan dengan pembohongan ini akibat takut mendengar bunyi audio yang dirakamkan tersebut. Ianya sehingga kini dimuatkan dalam banyak laman web Kristian bagi tujuan dakwah. Sebagai contoh anda boleh lawati laman Godtube dengan klik linknya dibawah ini untuk memastikannya.
Terdapat banyak lagi laman web Kristian yang menyiarkan rakaman audio tersebut bagi tujuan dakwah mereka. Ini bagi mereka sebagai membuktikan bahawa kandungan Kitab Bible mereka yang menyatakan bahawa neraka itu terletak di lapisan bawah bumi sebagai benar.



Jika sumber artikel itu dikatakan sebagai rekaan, bagaimana pula dengan fakta berkenaan Dr. Azzacove dan ekspedisi pasukannya dalam penggalian lubang terdalam di bumi? Setelah membuat beberapa carian lagi, saya mendapati bahawa ekspedisi penggalian yang dimaksudkan itu memang wujud. Tujuan ekspedisi tersebut ialah untuk menggali sebuah lubang paling dalam sehingga mencecah 15,000 meter atau 15 km ke dasar bumi sehingga mencapai lapisan sempadan lapisan kerak bumi paling dalam yang bersempadan dengan lapisan Mantel. Sempadan ini dinamakan juga sebagai Mohorovičić discontinuity, atau "Moho." Pihak Russia telah membuat beberapa inovasi baru bagi membolehkan penggalian dengan kedalaman sedemikian rupa dapat dibuat. Bermula pada tahun 1962, projek ini dilakukan dibawah seliaan USSR's Interdepartmental Scientific Council for the Study of the Earth's Interior and Superdeep Drilling (Majlis Saintifik Antara Jabatan Bagi Penyelidikan Bahagian Dalam Bumi dan Penggalian Terdalam USSR). Projek ini dimulakan serentak dengan projek penerokaan angkasalepas USSR dalam pelumbaan mereka dengan Amerika Syarikat bagi menguasai angkasa. Setelah selesai membuat tinjauan tempat penggalian paling ideal, tahun 1965 menyaksikan Semenanjung Kola di Russia di pilih sebagai tapak kepada penggalian yang bakal dilakukan. Persediaan dari segi pembinaan tapak projek bagi membolehkan penggalian tersebut dibuat mengambil masa sehingga lima tahun dan disiapkan hanya pada tahun 1970. Tapak projek tersebut dilindungi oleh binaan setinggi 200 kaki. Kebiasaan yang digunakan dalam mana-mana penggalian sebelum dari itu terutamanya di tapak carigali minyak, kaedah yang digunakan ialah dengan menggunakan shaft penggerudi yang disambung-sambung dan ditambah bila kedalaman penggalian meningkat. Keseluruhan shaft yang disambung tersebut akan berputar bersama dengan mata penggerudi tersebut. Pihak Russia mendapati bahawa kaedah sebegini adalah tidak boleh digunapakai bagi penggalaian terdalam yang mereka rancangkan di Semenanjung Kola ini. Maka mereka mencipta satu inovasi baru iaitu dengan menggunakan kaedah di mana cuma mata penggerudi yang mencecah dan memecah batuan sahaja yang berputar manakala shaftnya kekal statik. Beberpa lubang penggalian telah di buat dan lubang yang paling dalam dicatatkan ialah lubang yang dikenali sebagai ‘SG-3’. Lubang berkenaan berdiameter 9 inci dan mencatatkan kedalaman 12.262 km atau 7.5 batu ke dalam kerak bumi. Penggalian mengambil masa sehingga 24 tahun untuk mencapai kedalaman tersebut. 

Penggalian tersebut akhirnya dihentikan pada tahun 1994 pada kedalaman tersebut yang mana ianya kurang 2.7 km dari sasaran kedalaman asal yang mereka tetapkan iaitu 15 km. Projek ini dihentikan disebabkan oleh kelengkapan penggalian yang mereka ada tidak dapat mengatasi masalah peningkatan suhu yang cepat meningkat apabila lubang tersebut digali semakin dalam. Sebelum dari itu, pengkaji bagi penggalian tersebut telah membuat anggaran bahawa pada kedalaman sedemikian rupa, suhu batuan tersebut berkemungkinan akan mencatatkan suhu sebanyak 100°C (212°F). Tetapi apabila mata gerudi tersebut mencecah kedalaman 12.262 km tersebut, suhu yang dicatatkan ialah 180°C (356°F), lebih tinggi dari jangkaan mereka sebelum ini. Di samping itu di tambah struktur batuan pada kedalaman tersebut dan pada suhu tersebut, sifat batuan tersebut bersifat seakan-akan plastik yang mana pada setiap kali lubang dibuat dan mata penggerudi ditarik, batuan-batuan itu akan menutupi kembali lubang yang digali. Disebabkan ketiadaan teknologi yang wujud pada masa tersebut sehingga kini yang membolehkan para pengkaji tersebut mengatasi masalah yang dinyatakan tadi, maka penggalian lubang ‘SG-3’ tersebut dihentikan sehingga kini. Para pengkaji tersebut menganggarkan jika penggalain diteruskan sehingga kepada kedalaman 15 km, maka suhu batuan yang bakal dicatatkan berkemungkinan mencecah 300°C (572°F). Kedalaman 12.262 km yang dicatatkan tersebut hanya sebahagian sahaja dari kedalaman kerak bumi yang dianggarkan oleh pengkaji memiliki kedalaman antara 20 km hingga 80 km dalam. Kini tapak tersebut masih digunakan bagi kajian saintifik meskipun aktiviti penggalian kepada kedalaman seterusnya telah lama dihentikan. Tapak tersebut kini diuruskan oleh State Scientific Enterprise on Superdeep Drilling and Complex Investigations in the Earth's Interior atau dikenali sebagai Deep Geolaboratory.
Laporan mengenai kajian tersebut boleh di akses di link di bawah :

http://adsabs.harvard.edu/abs/2002EGSGA..27.3349L 

Tidak dapat dipastikan siapa itu Dr. Azzacove dan pasukan yang dinyatakan dalam ceramah tersebut. Berdasarkan fakta penggalian yang diceritakan di atas, semua yang disebut dalam terjemahan yang dibaca oleh penceramah tadi sangat tidak bertepatan dengan fakta sebenar mengenai penggalian di Semenanjung Kola tersebut. Antara fakta yang bercanggah ialah ;
1)Penceramah tersebut meyatakan bahawa kedalaman yang dicapai kerja penggalian tersebut ialah 14.4 km padahal kedalaman yang dicatatkan ialah 12.262 km. perbezaan yang dicatatkan ini bukanlah kecil tetapi hampir kepada perbezaan 2000 m.

2) Penceramah tersebut menterjemah fakta yang salah mengenai suhu yang dicatatkan pada kedalaman penggalian yang dibuat. Si penceramah tersebut menyatakan bahawa suhu yang dicatatkan ialah 2000°C padahal suhu yang dicatatkan hanya sekitar 180°C.

3) Di dalam petikan yang diterjemahkan oleh penceramah tersebut menyatakan penggalian yang dibuat pada kedalaman tersebut dihentikan kerana lapisan terakhir dibawah kerak bumi yang dipecahkan itu adalah lubang kosong atau lohong. Padahal fakta penggalian menyatakan masih terdapat batuan panas pada kedalaman yang dicatatkan.

4) Penceramah tersebut menterjemahkan petikan yang dibacanya dengan menyatakan bahawa aktiviti penggalian yang dibuat tersebut dihentikan setelah mereka mendengar rakaman jeritaan jutaan manusia yang digambarkan sebagai berada di dalam neraka padahal aktiviti tersebut dihentikan kerana ketiadaan teknologi bagi membolehkan mereka mengatasi masalah batuan yang lembut seakan plastik yang sentiasa menutupi lubang penggalian yang mereka lakukan.

5) Penceramah tersebut juga menterjemah petikan yang menyatakan bahawa rakaman tersebut dilakukan dengan menggunakan ‘super sensitive microphone’ yang dimasukkan ke kedalaman yang dicatatkan. Sepertimana yang dikatakan didalam petikan tersebut, suhu yang dikatakan pada kedalaman tersebut mencatatkan 2000°C. Tiada kelengkapan rakaman yang boleh menahan suhu sedemikian rupa wujud di dunia ini pada ketika ini.

6) Kesalahan terbesar yang dibuat penceramah tersebut ialah dengan mengIslamkan versi propaganda Kristian televengelist ini dengan menukar ‘suara ahli neraka’ kepada ‘rakaman suara ahli kubur’. Kubur siapakah yang dikorek pada kedalaman 14.4 km? Setahu saya, ukuran kedalaman standard bagi mana-mana kubur bagi mana-mana penganut apa jua agama ialah sekitar hanya 7 kaki. Siapa yang di tanam pada kedalaman sedemikian rupa? Tolonglah.. tak larat dah ni....

7) Kemudian apabila si penceramah ini membuat ulasan berkenaan asap yang keluar dari lubang tersebut yang berbentuk seperti sayap kelawar, dia cuba mengulas dengan memberikan pandangannya dengan menyatakan boleh jadi bentuk tersebut menyerupai nama Allah... come on ya sheikh!!! Jangan menyatakan sesuatu tanpa mengkajinya terlebih dahulu! Saya telah mencari banyak gambar sayap kelawar untuk dibandingkan dengan nama Allah.. tetapi satu pun tak sama! Cuba saksikan dalam video saya di atas untuk mengetahui kebenarannya.

8) Penceramah ini kemudiannya menyatakan bahawa terdengar jeritan seperti orang bertakbir. Saya telah membuat analisis audio dengan memperbaiki mutu audio tersebut. Tetapi yang hanya kedengaran ialah bunyi ramai orang sedang sibuk seperti menyerbu sesuatu atau sedang menyaksikan sesuatu. Tiada langsung jeritan takbir!


9) Dia juga menyatakan bahawa rakaman tersebut ialah suara orang di seksa dalam kubur. Saya telah memperbaiki keseluruhan rakaman yang dibuat dan hasilnya seperti yang saudara dapat dengar dalam video di atas. Rakaman dengan bunyi sedemikian rupa boleh saja didapati di mana-mana kantin sekolah, pejabat, stesen bas, majlis perasmian, rumah terbuka Pak Lah, perarakan Thaipusam, pesta Pulau Pinang, dalam kelas yang cikgu tak masuk atau cikgu hari-hari tidur, bar-bar minuman dan sessi bertemu artis terkenal (yang sekadar tempelan majalah tak termasuk..), stadium di bahagian penyokong pasukan yang menang bola (yang kalah selalunya diam…) dan banyak tempat lagi. Tak percaya? Jika anda punyai handphone atau apa jua alat perakam yang boleh merakamkan audio atau suara, cuba pergi ke tempat-tempat yang saya nyatakan dan buat rakaman sendiri. Kalau tak ada, saya ingin cadangkan beberapa link di bawah untuk anda lawati. Ada tiga semuanya. Yang pertama majlis perasmian buku Harry Porter… anda pasti akan temui persamaan dengan audio suara azab kubur yang telah saya perbaiki. Yang kedua dan ketiga ialah video wrestling. Cuba anda dengarkan jeritan penontonnya.. pasti anda akan bersetuju dengan saya bahawa ianya sama dengan jeritan ‘ahli neraka’ tersebut:

3) http://www.youtube.com/watch?v=6uSaA37cJqM (warning bagi kaum hawa, video ini melibatkan aurat lelaki yang hanya berseluar superman dalam perlawanan wrestling, pejam mata dan cuma dengar jeritan penonton tersebut…)

Sebagai penutup saya ingin catatkan kata-kata Darwin’s Beagle, salah satu sumber di mana fakta-fakta di atas saya perolehi. Dia menyatakan.. 

Evolution says that we share a common ancestor with a jackass. It does not give us license to act like one.

Terjemahannya, (Teori) Evolusi menyatakan bahawa kita berkongsi nenek moyang yang sama dengan keldai. Tapi ini bukanlah ia bermakna kita diberi kebenaran untuk berkelakuan sepertinya.

Menang menyakitkan hati... walaupun sarcastic perkataannya itu, dia cuba meyedarkan khalayak Kristiannya yang ditipu oleh Puak Televengelist. Bagi saya pula, kita jangan jadi tiMah. tiMah ialah tipikal muslimin muslimah yang bersepah di dunia yang bila saja sesuatu perkara yang mengarut dibawakan kepada mereka, terus mereka percaya tanpa usul periksa. Teringat saya satu peristiwa lebih kurang tahun lepas bila sebuah pokok pinang mengeluarkan tandan yang berbentuk wajah seorang tua menghadap kiblat, lalu berpusu-pusulah tiMah-tiMah ke sana untuk menyaksikan orang tua itu menghadap kiblat sehinggakan hanya tandan pinang itu saja yang menghadap kiblat pada waktu sembahyang, sedangkan majoriti tiMah-tiMah di situ hanya memerhatikan wajah tua tersebut menghadap kiblat tanpa mereka melakukannya. Sampai bila kita nak jadi seperti ini? Dapat saja email terus forwardkan dengan tanpa usul periksa. Ini tak termasuk dengan berita meteor bakal hentam bumi pada tahun sekian-sekian yang akan mengakibatkan kiamat (umie safa minta saya komen perkara ni.. tapi tak sempat lagi...insyaAllah jika ada kesempatan saya akan lakukan... ), gambar toyol dalam botol, gambar toyol dalam pameran hantu yang saya nampak macam wajah usop sontorian (watak kartun melayu satu ketika dulu.. takut rakan-rakan saya dari luar Malaysia tak kenal nanti..) saja, berita bunga mawar di langit yang saya hampir menyampah menerimanya setiap hari oleh member baik (sorry la ben.. terglamer hang kat sini pulak...) saya yang sudah beribu kali saya nasihatkan supaya jangan diforwardkan berita atau sesuatu yang kita sendiri tak pasti kebenarannya atau salah tafsir sedangkan surah Ar Rahman yang dipetik berkenaan peristiwa mawar merah di langit itu menceritakan sesuatu yang lain. Apa nak jadi dengan kita semua? Mungkin perkara suara azab kubur ini sesuatu yang sudah lama berlegar dalam alam cyber ini, dan saya berterima kasih kepada rakan saya tersebut kerana memberikannya kepada saya di waktu saya lapang... kalau tidak, tentulah saya juga jadi tiMah sebab tak sempat nak study dan terus percaya... memang terkejut pada mulanya, tapi alhamdulillah kebenarannya dapat saya temui.. 

Al An’aam 67
Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.
Harap artikel ini memberikan penjelasan dan manfaat kepada anda dan saya. Wallahua’lam.
Tambahan dari editor - cerita berkenaan 'Pembohongan Azab Kubur' ini tidak tamat setakat ini sahaja... pembongkaran yang saya buat ini ditentang oleh sekumpulan pengikut kepada seorang guru yang dikatakan mereka sangat Alim dan kasyaf... baca penentangan mereka dengan klik disini

© Oktober 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email