Saturday, June 30, 2007

Takrifan Baru Planet: Pluto Bukan Lagi Planet?

Tanggal 14 Ogos 2006, International Astronomical Union (IAU) atau Kesatuan Astronomi Antarabangsa telah sekali lagi mengadakan Perhimpunan Agung tiga tahun sekalinya yang kali ini bertempat di Prague, Republik Czech. Perhimpunan Agung kali ke 25 ini telah dihadiri oleh 2411 orang saintis, ahli astronomi dan cerdik pandai mengenai astronomi dari seluruh dunia. Perhimpunan kali ini mendapat liputan yang agak meluas dari media barat disebabkan oleh persoalan yang cuba dirungkaikan pada persidangan kali ini iaitu mengenai apa sebenarnya takrifan yang tepat bagi sebuah planet.

Berlangsungnya perhimpunan selama 12 hari ini bermula dari 14 Ogos 2006 hingga 25 Ogos 2006, telah merumuskan satu takrifan serta ciri-ciri baru bagi objek angkasa lepas yang boleh dinamakan atau dianggap sebagai planet. Persoalan mengenai takrifan planet ini mula ditimbulkan oleh ahli kaji bintang pada lewat 2000 berikutan penemuan beberapa objek di angkasalepas dalam sistem suria kita. Antara objek-objek yang dikenalpasti ialah Quaoar, Sedna dan Eris. Ketiga-tiga objek angkasalepas ini mempunyai ciri-ciri yang seakan-akan sama dengan Planet Pluto baik dari segi saiz atau orbitnya. Ini menimbulkan banyak persoalan berikutan penemuan lebih banyak lagi objek-objek yang mempunyai ciri-ciri yang serupa. Desakan untuk memberi takrifan rasmi baru bagi planet ini sampai ke kemuncaknya apabila saintis dan ahli kajibintang menemui kebuntuan dalam mengkelaskan objek yang dijumpai selepas orbit Planet Neptune.

Sebelum itu, sedikit pengenalan mengenai International Astronomical Union (IAU). IAU ditubuhkan pada 1919 hasil dari gabungan beberapa pertubuhan kajibintang antarabangsa yang antaranya termasuk Carte Du Ciel, The Solar Union dan International Time Bureau. Presiden IAU yang pertama ialah Benjamin Baillaud, seorang ahli kajibintang dari Perancis dan merupakan Presiden bagi Carte Du Ciel. Pada ketika ini, jumlah keahlian individu bagi IAU ialah sebanyak 9040 orang yang kesemuanya terdiri daripada Ahli Kajibintang Professional dan saintis yang mempunyai kelayakan PhD. Selain dari itu, terdapat 63 orang wakil dari negara-negara yang menjadi anggota rasmi badan kajibintang ini. Badan tertinggi dalam pertubuhan tersebut ialah Perhimpunan Agung Kesatuan yang mana ianya melibatkan kehadiran semua ahli. Perhimpunan Agung inilah yang membuat keputusan mengenai polisi kesatuan serta meluluskan undang-undang kesatuan. Pada Perhimpunan Agung ini jugalah keputusan serta proses menamakan sesuatu planet, asteroid, bintang, objek serta fenomena-fenomena angkasa lepas dibuat dan diluluskan. Tahun 1922 menyaksikan Rome, Italy menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung yang pertama bagi IAU.

Pada Perhimpunan Agung ke 26 Kesatuan baru-baru ini, cadangan untuk memberikan satu takrifan rasmi bagi planet telah dikemukakan. Mengikut cadangan asal kepada perhimpunan tersebut, takrifan rasmi bagi planet sebagai yang bakal dipersetujui akan menghasilkan satu keputusan yang mana jumlah planet-planet dalam sistem suria kita akan bertambah menjadi 12 buah. Ini mungkin bakal terjadi apabila 3 buah objek angkasa lepas iaitu Ceres, yang sebelum ini dianggap sebagai sebuah asteroid; Charon, yang dianggap bulan kepada Pluto; dan Eris akan ditakrifkan sebagai sebuah planet jika undian yang dilakukan di Perhimpunan Agung IAU menyokong draf tersebut. IAU telah membuat keputusan untuk mengembalikan hak untuk ahli-ahli mengundi bagi perkara-perkara dan perihal saintifik, yang mana hak ini telah dimansuhkan serta ditarik balik pada perhimpunan agung ke 25 sebelum ini yang bertempat di Sydney, Australia pada 2003.


Walaubagaimanapun cadangan awal mengenai takrifan baru bagi planet tersebut telah ditolak. Pada tanggal 24 Ogos 2006, satu sesi penting pengundian telah dibuat dan pada hari pengundian tersebut 2411 orang ahli IAU telah mendaftarkan diri, tetapi cuma 424 orang ahli sahaja yang hadir pada ketika sesi pengundian tersebut dibuat. Tidak semua pula ahli dari sejumlah 424 orang yang hadir mengundi. Hasil dari pengundian tersebut, IAU telah meluluskan tiga ciri penting yang perlu ada pada sesebuah objek di angkasalepas untuk ditakrifkan sebagai sebuah planet.

IAU telah memutuskan takrifan baru bagi planet dalam sistem suria kita yang mana takrifan tersebut adalah seperti yang tersebut dibawah:

Objek angkasa lepas boleh ditakrifkan sebagai planet dalam sistem suria kita apabila :

a)Objek tersebut berada di dalam orbit yang mengelilingi matahari;

b) Mempunyai jisim yang mencukupi supaya objek tersebut mempunyai graviti yang cukup bagi membolehkan ia mengatasi tekanan dalamannya bagi mencapai dan mengekalkan bentuk Keseimbangan Hidrostatik (berbentuk hampir bulat).

c) Mempunyai kawasan orbit yang jelas dan bebas dari sebarang halangan dan perkongsian dengan objek-objek angkasalepas yang lain.

Menurut kepada ciri yang pertama, sesuatu objek angkasa lepas itu mestilah barada dalam lingkungan orbit yang mengelilingi sistem suria iaitu matahari. Takrifan ini hanya terpakai kepada objek yang berada dalam sistem matahari. Bagi planet yang berada diluar sistem matahari takrifan yang dibuat bagi planet oleh kumpulan 19 ahli panel yang dilantik dikalangan ahli IAU pada 2005 adalah terpakai. Takrifan tersebut berbunyi;

‘Sesebuah objek diangkasalepas boleh ditakrifkan sebagai planet apabila:

a) Mempunyai jisim yang mencukupi supaya objek tersebut mempunyai graviti yang mencukupi bagi membolehkan ia mengatasi tekanan dalamannya bagi mencapai dan mengekalkan bentuk Keseimbangan Hidrostatik (iaitu berbentuk hampir bulat).

b) Objek tersebut berada dalam orbit yang mengelilingi sesebuah bintang, yang mana objek tersebut bukan sebuah bintang ataupun sebuah satelit bagi mana-mana planet.

Keseimbangan Hidrostatik adalah keadaan di mana wujud keseimbangan di antara tekanan terma (tekanan ke arah luar) dari dalam sebuah bahan dan berat bahan itu sendiri yang menghasilkan tekanan ke bawah (Tekanan ke arah dalam). Keseimbangan inilah yang dinamakan keseimbangan hidrostatik. Sebagai contoh, sebuah planet boleh diumpamakan sebagai sebuah belon. Di dalam sebuah belon, udara dan gas yang terkumpul didalamnya menghasilkan satu tekanan yang menolak keluar dan bahan elastik belon tersebut diluar pula memberikan tekanan ke dalam yang mencukupi untuk menyeimbangkan tekanan keluar gas tadi. Maka belon tersebut kekal dalam bentuk bulat apabila mencapai keseimbangan ini.

Dalam ciri yang ketiga, sebuah objek boleh ditakrifkan sebagai planet.jika orbit yang dilalui objek tersebut bebas dari sebarang objek lain yang menghalang pergerakannya. Mengikut takrifan ini, orbit bagi sesebuah planet mestilah bebas dari berkongsi orbit dengan apa-apa objek angkasa lepas seperti planet lain, asteroid dan apa-apa bentuk objek diangkasa lepas.

Setelah persetujuan sebulat suara dengan takrifan baru bagi planet dibuat, Pluto menjadi mangsa dan telah dilucutkan statusnya sebagai planet dan telah ditakrifkan pula sebagai Planet Kerdil (Dwarf Planet).

Sejarah penemuan Pluto bermula apabila ia ditemui oleh Clyde Tombaugh pada tahun 1930. Ia sebelum ini telah diklasifikasikan dan diterima sebagai planet kesembilan dalam sistem suria kita. Pluto terbentuk daripada batu-batuan dan ais dan orbitnya terletak diantara 29 ke 49 AU dari Matahari. AU merupakan Unit Astronomi (Astrnomical Unit) berkenaan dengan ukuran jarak/panjang. Ukurannya hampir bersamaan dengan jarak purata diantara Planet Bumi dan Matahari. Ukuran yang diterima pakai bagi AU pada ketika ini ialah bersamaan dengan 149 597 870 691 ± 30 meter (hampir 150 juta kilometer atau 93 juta batu).

Pluto mempunyai berat yang kecil jika dibandingkan dengan bumi iaitu bersamaan dengan 1/5 berat bumi. Isipadu Pluto merupakan 0.583 % daripada isipadu bumi. Ia mempunyai orbit yang agak unik, pelik dan berbentuk bujur jika dibandingkan dengan semua orbit lapan planet dalam sistem suria. Disebabkan oleh orbitnya yang pelik ini, Perihilion (Kedudukan objek angkasalepas dalam orbitnya yang paling dekat dengan matahari) Pluto berada dalam jarak yang lebih dekat kepada matahari berbanding planet Neptune semasa ia melalui perjalanan orbitnya. Pluto juga mempunyai tiga buah satelit semulajadi atau bulan-bulan yang dinamakan sebagai Charon, Nix dan Hydra. Charon ditemui oleh James Christy pada tahun 1978 manakala Nix dan Hydra pula ditemui pada tahun 2005.

Charon yang merupakan satelit semulajadi Pluto yang terbesar juga dianggap oleh sesetengah ahli kajibintang sebagai kembar kepada Pluto disebabkan saiznya yang hampir sama dengan planet Pluto itu sendiri. Ini menimbulkan sedikit kekeliruan kepada para ahli kajibintang.

Sesetengahnya menganggap Pluto dan Charon merupakan sistem DwiPlanet. IAU buat masa yang terdekat ini masih belum memuktamadkan takrifan bagi sistem DwiPlanet, dan Charon secara rasmi masih lagi dianggap sebagai bulan kepada Pluto.

Sedikit yang diketahui berkenaan dengan bulan-bulan Pluto yang lain iaitu Nix dan Hydra. Kesemua objek dalam sistem planet Pluto tergolong dalam kumpulan objek-objek yang terdapat dalam Lingkaran Kuiper yang wujud selepas dari orbit Planet Neptun dan objek-objek ini dikenali dengan nama Objek-Objek Trans Neptun(Trans Neptunian Objects). Terdapat banyak lagi objek dalam Lingkaran Kuiper yang mempunyai ciri-ciri yang seakan-akan Pluto dan inilah yang sebenarnya menimbulkan persoalan berkenaan dengan takrifan yang sepatutnya diberi kepada planet. Kebanyakan daripada objek ini mempunyai saiz yang lebih kecil jika dibandingkan dengan bulan planet Bumi.

Sehingga akhir tahun 2005, tiada misi angkasalepas dari mana-mana negara cuba meneroka Pluto. Bagaimanapun pada 19 Januari 2006, satu misi angkasalepas dilancarkan oleh pihak NASA untuk membuat kajian tentang Pluto. Misi ini dinamakan New Horizons dan kapal angkasa jelajah tanpa pemandu tersebut dijangka bakal mendekati Pluto pada 14 Julai 2015. Kapal angkasa tersebut juga dijadualkan untuk meneliti dan menghantar kembali maklumat berkenaan Charon iaitu bulan kepada Pluto ke Pusat Kajian di Bumi.

Sehingga tarikh tersebut kebanyakan dari maklumat dan imej bagi Pluto diperolehi oleh para ahli kajibintang dari Teleskop Hubble kepunyaan Amerika Syarikat yang terletak di ruang angkasa bumi.

Walaupun pihak IAU telah membuat keputusan berkenaan takrifan rasmi bagi planet, namun masih ada segolongan ahli kajibintang yang menentang bahagian-bahagian takrifan tersebut. Salah seorang daripadanya ialah Alen Stern, penyelidik utama yang bertanggungjawab dalam misi NASA New Horizon ke Pluto, secara umum beliau telah menentang takrifan yang dipersetujui IAU. Beliau menidakkan secara terbuka mengenai ciri terakhir yang perlu ada bagi sesebuah objek angkasalepas yang boleh dinamakan sebagai planet iaitu objek tersebut perlulah mempunyai orbit yang bebas dari sebarang halangan, perkongsian dan kewujudan objek angkasalepas yang lain dalam orbitnya. Beliau juga menyatakan jika ciri tersebut diambilkira, maka planet Bumi, Marikh, Musytari dan Neptun juga akan hilang kelayakan untuk diklasifikasikan sebagai planet. Ini kerana Bumi, Marikh, Musytari dan Neptune sendiri berkongsi orbit mereka dengan beberapa asteroid.

Bantahan yang dibuat oleh Alen Stern ini agak bercanggah dengan kertas kerjanya yang diterbitkan bersama Harold F. Levison yang dibentangkan di dalam Perhimpunan Agung IAU ke 23 pada tahun 2000 yang berlangsung di Manchester , UK bermula 7 hingga 18 Ogos 2000.

Di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Regarding The Criteria For Planethood And Proposed Planetary Classification Schemes”. (Berkenaan Ciri Bagi Sesebuah Planet Dan Cadangan Skima Klasifikasi Bagi Planet) beliau telah menyatakan dan menjelaskan bahawa ke lapan-lapan planet dalam sistem suria adalah bebas dari sebarang halangan dan perkongsian dengan objek angkasalepas lain dalam sistem orbit mereka sendiri.

Terdapat juga segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dengan takrifan yang di buat IAU telah melancarkan petisyen secara dalam talian internet bagi membolehkan takrifan sebelum ini digunapakai dan meletakkan kembali Pluto ke dalam senarai Sembilan buah Planet dalam sistem suria kita.

Setakat ini IAU masih lagi berpegang kepada takrifan yang telah diundi dan dipersetujui dalam Perhimpunan Agung ke 26 nya dan Pluto secara rasmi terkeluar dari senarai Planet dalam sistem suria kita. Senarai mutakhir bagi planet-planet dalam sistem suria kita adalah seperti berikut Utarid (Mercury), Zurah (Venus), Bumi, Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Satun) dan Neptune.

Kemajuan sains dan teknologi masa hadapan bakal memberikan kita lebih jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul pada masa sekarang sebagaimana yang dikatakan oleh ahli kajibintang yang menemui Eris, Mike Brown, sains akan memperbetulkan konsep dan penemuannya sendiri di akhir nanti.




Wednesday, June 6, 2007

Helmet, serban dan rempit...

Pasti kita seringkali terpandang akan kelibat segolongan mukmin yang seringkali ke masjid dengan motosikal memakai serban tanpa topi keledar dalam perjalanan menuju atau pun pulang dari masjid.

Apa yang seringkali dilihat ini merupakan satu fenomena yang biasa bagi negara kita ini. Kesedaran tentang keselamatan diri bukan hanya dipandang enteng oleh golongan muda di sini, malah lebih teruk lagi golongan yang dekat dengan masjid juga seakan-akan alpa dengan tanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri. Padahal Allah s.w.t. sendiri menyatakan dalam surah At Taubah ayat 18:

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Golongan mukmin ini sepatutnya menjadi satu contoh ikutan bagi muslimin yang lain. Mungkin pada benak fikiran mereka jarak antara rumah dan masjid yang tidak berapa jauh itu merupakan satu perjalanan yang tidak membahayakan langsung. Jadi untuk menjimatkan masa, mereka ini lebih suka memilih untuk tidak memakai topi keledar dan hanya berserban atau berkopiah ke masjid. Tanpa mereka sedari pahala sunnah yang dicari mereka itu sendiri telah dengan secara tidak langsung bercanggah dengan tanggungjawab serta kewajipan menjaga keselamatan diri.

Punca kepada perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk akal yang sihat menggarapnya. Puncanya merupakan satu penyakit iman yang menjangkiti sebahagian besar dari kita tanpa kita sedari. Penyakit malas yang telah lama berakar umbi dalam majoriti umat Islam inilah yang menyebabkan kejatuhan empayar Islam di seluruh dunia. Biarpun perkara topi keledar ini kecil kemaslahatannya di mata mereka yang malas memikirkan perkara-perkara menyusul susulan dari tindakan mereka itu, tetapi haruslah mereka ingat bahawa ramai yang memerhatikan setiap tindakan mereka. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja tanpa apa-apa petanda. Malang memang tidak berbau.

Ironinya pula, apabila melontarkan pandangan terhadap golongan mat-mat rempit diluar dari lingkungan ‘ahli-ahli masjid’, kata-kata nista dilemparkan tentang ketidakpekaan golongan mat-mat dan minah-minah rempit tentang keselamatan diri sendiri apabila merempit dijalanraya, tanpa mereka sedari golongan lebai-lebai dan haji-haji dimasjid juga setiap kali pergi dan pulang dari masjid ‘merempit’ dengan keselamatan diri mereka sendiri.

Menjadi ironi lagi pula apabila setiap kali dalam sembahyang jemaah, apabila habis sahaja tahiyyat akhir, para muslimin pasti memberikan salam ke kanan dan ke kiri. Salam yang diberikan itu sendiri merupakan satu doa kesejahteraan dan keselamatan bagi semua mukmin yang berada dikiri dan kanan bagi yang bersolat. Apalah guna mendoakan jika yang didoakan itu sendiri tidak pernah merasa bertangungjawab di atas keselamatan diri mereka sendiri.

Jadi tidak hairanlah mengapa sukar bagi orang Islam menarik orang bukan Islam untuk mendekati Islam jika semua yang diajarkan serta dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. itu sendiri tidak lebih dari hanya menjadi retorik yang keluar dari mulut-mulut ‘ahli-ahli masjid’ ini. Jika mereka ini tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menunjukkan kesempurnaan Islam kepada bukan Islam, maka siapa lagi yang boleh dijadikan rujukan. Tetapi tidak semua ahli masjid sedemikian rupa, cuma majoriti (bukan minoriti, perhatikan dan anda akan setuju) daripada mereka ini semua yang bertindak sedemikian rupa. Percayalah, kalau sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup di zaman sekarang, pastilah diwajibkannya memakai topi keledar dan baginda sendiri yang akan menunjukkan contoh terbaik bermula dengan diri baginda. Maka, golongan pewaris nabi kini bertanggungjawab bertindak sebagaimana baginda bertindak. Janganlah memalukan golongan ustaz dengan perilaku-perilaku songsang dari pekerti Islam yang diajar.

Allah s.w.t. menyatakan didalam Al-Qur’an surah Al Anbiyaa’ ayat 80 :

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur? (Al Anbiyaa’ : 80)

Allah s.w.t. dalam ayat yang tersebut diatas mengingatkan umat Islam dalam Al-Qur’an bahawa Dia mengajar Nabi Daud a.s. teknologi membuat baju besi supaya setiap mereka yang ikut serta dalam peperangan dengan Nabi Daud mendapat keselamatan diatas RahmatNya dengan memakainya. Ayat di atas disudahi dengan pertanyaan Allah s.w.t. dengan soalan “maka adakah kamu sentiasa bersyukur?

Begitu juga dengan ayat 81 dari surah an Nahl. Petikannya seperti berikut :

Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya. (An Nahl ayat 81)

Setiap jenis pakaian diberikan Allah idea penciptaannya bagi mana-mana manusia bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat-ayat di atas. Sepertimana baju tebal untuk melindungi dari hawa sejuk dan baju besi untuk pakaian di waktu perang bagi tujuan perlindungan diri dan menjamin keselamatan diri. Maka bagi golongan yang sentiasa bersyukur, nikmat Allah ini akan sentiasa digunakan dengan sebaik mungkin sebagai tanda bersyukur kepada Allah dan nikmat yang diberikannya serta beriman kepadaNya.

Begitulah juga dengan teknologi pembuatan helmet yang Allah s.w.t., di atas nikmat kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya, menganugerahkan ilmu-ilmu pembuatan helmet itu kepada hamba-hambaNya yang terpilih supaya dapat membantu sesama manusia dalam menjaga keselamatan diri sepanjang dalam perjalanan. Maka setelah nikmat yang diberikan itu tidak digunakan dengan cara yang sepatutnya, maka dengan secara tidak langsung juga kita pastinya akan termasuk dalam golongan yang sentiasa tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t.

Maka tiada apa lagi garisan atau ruang yang boleh memisahkan antara ketidaksyukuran mat-mat rempit dengan lebai-lebai rempit ini melainkan kedua-duanya sama sahaja membahayakan diri sendiri, merosakkan imej Islam dan menyusahkan orang lain apabila terlibat dalam kemalangan. Islam bukan sekadar beriktikaf dalam masjid dan bersembahyang sunat, Islam itu sebenarnya tanggungjawab individu yang perlu dimainkan dan ditegakkan sebagai amanah dari Allah s.w.t. kepada umat Islam itu sendiri supaya menjalankan fungsi mereka dalam komuniti ke arah membentuk umat yang hebat pencapaiannya dan berpaksikan kepada kecintaan kepada Allah s.w.t. dan RasulNya. Jadi tidak hairanlah mengapa isu tandas masjid kotor kini mula terdedah didada-dada akhbar, dan media sehingga melemparkan imej Islam yang suci ke tong sampah paling busuk. Apa yang nak dihairankan, keselamatan diri pun tidak pernah dipeduli, inikan pula tandas yang jijik untuk diperhati. Maaflah jika tulisan menyinggung sesiapa, tapi lebih menyayatkan hati lagi setelah terlihat paparan tandas masjid kotor dalam berita-berita utama di Malaysia ini. Sia-sialah kerja dakwah yang dilakukan jika kita sendiri yang menghancurkan kembali dengan sikap kita yang pemalas. Berubahlah, kerana Islam itu suci dan janganlah kerana tindakan yang kita lakukan membuatkan maruah Islam terhina lagi.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email