Tuesday, November 13, 2007

Siapa Sebenarnya Yang Dinamakan Syaitan...? bhg. 3/3

5

oleh Muhammad Ibn 'Az

(artikel ini merupakan bahagian ketiga dan terakhir dari siri 3 artikel berkaitan Syaitan... bagi yang belum membaca bahagian terdahulu, sila klik sini untuk ke bahagian pertama)

Bagaimana pula dengan manusia yang bekerjasama dengan Jinn dengan memohon pertolongan Jinn-Jinn dan makhluk-makhluk halus yang dinamakan dengan berbagai nama bagi membantu mereka dalam beberapa urusan?
Saya memasukkan soalan ini berdasarkan soalan yang dikemukan oleh Ana dan Nh dalam shoutbox satuhala. Pertama sekali, yang saya ingin jelaskan di sini ialah Allah s.w.t. hanya menyatakan buat pengetahuan manusia, terdapat hanya dua makhluk dari alam ghaib yang diberikan Allah keupayaan akal yang boleh berada di bumi ini. Yang pertamanya dari berbagai keturunan Jinn (Ifrit, Qarin, Syaqq dan sebagainya) dan yang kedua ialah Malaikat yang jumlahnya sepuluh kali ganda banyaknya melebihi jumlah Jinn-Jinn yang ada. Malaikat pula terdapat di seluruh alam langit dan bumi menurut kepada perintah dan tugas yang Allah s.w.t. pikulkan kepada mereka. Mereka ini merupakan hamba-hamba Allah yang taat, walaupun diberikan akal, mereka tidak bernafsu. Jadi dalam mana-mana kejadian atau peristiwa dimana seseorang mendakwa dia boleh berkomunikasi dengan malaikat, perkara tersebut adalah sangat bertentangan dengan apa yang digariskan oleh Islam. Komunikasi terus antara manusia dengan malaikat hanya berlaku bagi manusia yang diutus sebagai Nabi dan Rasul. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., tiada lagi wahyu yang disampaikan secara terus kepada mana-mana manusia. Cuma terdapat satu cabang wahyu saja lagi yang tidak dihentikan Allah s.w.t. yang dianugerahkannya kepada manusia-manusia terpilih dan juga golongan-golongan yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Apabila hari kiamat telah dekat jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim itu adalah sebahagian dari 45 cabang nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga macam. (1) Mimpi yang baik adalah khabar suka dari Allah s.w.t. (2) Mimpi yang menakutkan atau menyedihkan, datangnya dari syaitan. (3) Dan mimpi yang timbul dari angan-angan atau khayal seseorang. Maka kerana itu, jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah, kemudian solat, jangan menceritakannya kepada orang lain,"
(Hadis Riwayat Muslim)

Cabang wahyu yang dimaksudkan dalam hadis di atas bukanlah dalam bentuk wahyu membawa ajaran baru atau tugas-tugas kenabian dan Rasul yang baru, tetapi merupakan ilham serta petunjuk kepada manusia-manusia muslim yang memerlukannya sebagai sebahagian dari jawapan kepada persoalan yang bermain difikirannya dan yang meragukannya dan juga sebagai alamat-alamat perkara yang bakal berlaku atau sedang berlaku kepadanya. Maka dengan ini sangat jelas tiada lagi komunikasi terus dengan malaikat boleh berlaku bagi menyampaikan apa-apa nasihat atau pengajaran.

Kerap terjadi ialah, suara yang dikatakan malaikat itu merupakan Jinn-Jinn yang mengambil kesempatan di atas kelemahan diri manusia yang taksub secara membuta tuli tanpa mahu menggunakan akal menilaikan apa yang dialaminya. Ini kerana Jinn-Jinn dari kalangan syaitan ini, yang merupakan pengikut Iblis yang sudah berjanji kepada Allah s.w.t. akan cuba sedaya upaya menyesatkan umat manusia dari Allah dengan apa saja cara yang dirasakan perlu. Cara ini termasuklah menjelmakan dirinya dalam bentuk ahli ibadat, orang alim dan sebagainya. Terdapat hadis-hadis dari Rasulullah s.a.w. yang menceritakan mengenai perkara ini.

Berkenaan dengan orang-orang yang bersekongkol dengan makhluk ghaib untuk mencapai apa-apa tujuan dan hasrat mereka, makhluk yang bersekongkol dengan mereka merupakan dari golongan Jinn kerana hanya Jinn sahaja makhluk halus yang mempunyai akal dan dikurniakan keupayaan nafsu. Walaupun terdapat banyak lagi makhluk halus lain seperti binatang-binatang ternak dari kalangan makhluk halus yang diternak oleh Jinn, mereka ini tidak dapat memudaratkan manusia lain dari manusia-manusia yang bersekongkol dengan Jinn. Hanya makhluk halus dari kalangan Jinn sahaja yang boleh memudaratkan manusia melalui perancangan yang terancang serta, mengambil arahan. Saka, polong, toyol dan sebagainya hanyalah makhluk-makhluk Allah dari kalangan Jinn yang berbagai bangsa yang membuat perjanjian dengan manusia bagi tujuan-tujuan tertentu. Allah s.w.t. telah menjelaskan dalam Al-Qur’an dalam surah Al Jinn ayat 6:

Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara golongan Jinn, lalu Jinn-Jinn itu menambah bagi mereka kesesatan.
(Al Jinn 6)

Dalam Kitab Tafsir karangan Imam Jalaluddin Al Mahalli & Imam Jalaluddin As Suyuthi, atau dikenali sebagai Tafsir Jalalain, Terbitan Sinar Baru Algesindo, beberapa riwayat telah diketengahkan dalam kitab tersebut sebagai sebab turun ayat (asbaabun nuzul) 6 surah Al Jinn tersebut. Di sini saya cuma memetik riwayat oleh Sa’id Ibnu Jubair:

Dari Sa’id Ibnu Jubair, bahawasanya ada seorang lelaki dari bani Tamim yang dikenali sebagai Rafi’ ibnu Umar, ia menceritakan tentang keadaannya sewaktu baru masuk Islam. Untuk itu ia menceritakan, sesungguhnya pada suatu hari aku sedang mengadakan perjalanan, dan sewaktu sampai di Ramal ’Alij telah malam, perasaan mengantuk yang sangat menguasai diriku lalu aku segera turun dari unta kenderaanku, kemudian untaku itu ku tambatkan dengan kuat. Aku tidur, dan sebelum tidur terlebih dahulu aku memohon perlindungan; untuk itu aku mengatakan: “Aku berlindung kepada penunggu lembah ini dari gangguan Jinn,"
Di dalam tidurku aku bermimpi melihat seorang lelaki yang membawa sebilah tombak kecil ditangannya, ia bermaksud untuk menusukkannya pada leher untaku. Aku terbangun kerana terkejut, dan aku melihat ke kanan dan ke kiri, tetapi ternyata aku tidak melihat sesuatu pun yang mencurigakan.
Aku berkata kepada diriku sendiri, ini adalah mimpi buruk. Kemudian aku kembali meneruskan tidurku, dan ternyata aku kembali melihat laki-laki itu berbuat hal yang sama, maka aku terbangun kerana terkejut. Aku lihat untaku gelisah dan sewaktu aku menengoknya, ternyata ada seorang lelaki muda seperti yang aku lihat dalam mimpiku seraya membawa tombak kecil ditangannya, dn aku lihat pula ada seorang syekh (orang tua) yang sedang memegang tangan lelaki itu seraya melarangnya supaya untaku itu jangan dibunuh.
Ketika keduanya saling bertegang, tiba-tiba muncullah tiga ekor sapi jantan liar. Lalu orang (Jinn) yang tua itu berkata kepada Jinn yang muda: “ Sekarang pergilah kamu, dan ambillah mana saja yang kamu sukai dari binatang liar itu, sebagai tebusan dan pengganti dari unta milik manusia yang aku lindungi ini,"
Lalu Jinn yang muda mengambil seekor sapi jantan liar dan langsung pergi dari situ, selanjutnya aku menoleh kepada Jinn yang tua itu dan ia berkata kepadaku: “Hai kamu, apabila kamu beristirehat pada satu lembah, kamu merasa ngeri akan keseramannya, maka katakanlah: “Aku berlindung kepada Rabb (Tuhan) Muhammad dari keseraman lembah ini," Jangan kamu meminta perlindungan kepada Jinn sesiapa pun, kerana sesungguhnya hal itu adalah perkara yang batil,”
Aku bertanya: “Siapakah Muhammad itu?” Ia menjawab: “Dia adalah Nabi berbangsa Arab, dia bukan dari timur dan bukan pula dari barat, dan dia diutus pada hari Isnin," aku bertanya lagi: “Di manakah tempat tinggalnya?” Ia menjawab: “Di kota Yathrib yang banyak pohon kurmanya,"
Maka segera aku menaiki kenderaan untaku ketika waktu subuh telah lewat (matahari terbit) dan aku pacu kenderaanku hingga masuk ke dalam kota Madinah. Sesampainya aku di kota Madinah, Rasulullah s.a.w. melihatku dan beliau langsung menceritakan tentang perihal diriku dan apa yang telah terjadi denganku sebelum aku menceritakan sepatah kata pun tentangnya. Dia mengajak aku masuk Islam, maka aku pun masuk Islam.
Sa’id Ibnu Jubair mengatakan, kami telah memastikan, bahawa berkenaan dengan dialah Allah menurunkan firman dalam ayat 6 surah Al Jinn.

Dalam masyarakat Arab Jahiliah sebelum dari kedatangan Islam, telah menjadi satu kebiasaan bagi mana-mana orang apabila mereka melalui mana-mana lembah yang sunyi dan agak menyeramkan, mereka akan meminta perlindungan dari penunggu (Jinn) yang menghuni lembah terbabit. Perbuatan ini, bukanlah memberi manfaat kepada diri mereka, sebaliknya Jinn-Jinn yang menjadi penunggu di lembah-lembah tersebut menjadi bertambah sombong dan bongkak kerana manusia yang satu ketika dulu para malaikat dan Jinn (Iblis) diarahkan Allah supaya sujud kepada mereka, kini sujud pula kepada para Jinn kerana memohon perlindungan. Disebabkan melihatkan manusia yang dimuliakan Allah kejadian mereka ini, menghinakan diri mereka pula dengan kejahilan akal serta tunduk kepada makhluk yang satu ketika dulu sujud kepadanya, maka Jinn-Jinn tadi mengambil kesempatan dengan menyakatnya serta mengganggu dan mengacaunya disepanjang perjalanan. Begitu juga dengan kita dinusantara ini, ilmu saka, memelihara makhluk halus dan sebagainya yang diamalkan itu tidak lebih dari menghinakan diri yang sebelumnya dimuliakan Allah dengan mengagungkan bantuan dari Jinn-jinn yang entah siapa agama dan pegangan mereka (Jinn-jinn tersebut). Lupakah kita bahawa Iblis pada satu ketika dulu sanggup kufur kepada Allah semata-mata kerana mengagungkan keturunannya dari kalangan Jinn. Bagi dirinya, dia lebih mulia dari manusia dan tidak perlu baginya tunduk dan sujud kepada manusia. Kini pasti dia ketawa gembira kerana terlalu ramai pula anak-anak cucu Adam sujud dan tunduk kepadanya dengan mencampakkan diri melakukan perbuatan-perbuatan khurafat dengan meminta bantuan Jinn-jinn ini untuk menyelesaikan apa-apa perkara yang dihajatkan. Sedangkan Islam itu satu agama yang tidak langsung memerlukan medium sebagai perantara antara doa seorang hamba dengan Rabbnya. Jika berhajatkan sesuatu, pohonlah secara terus kepada Allah, dan pasti dia akan memakbulkannya. Semua doa yang dipohon kepada Allah pasti akan dimakbulkan. Saya menjelaskan perkara doa yang pasti makbul ini dengan panjang lebar dalam eBook Syahadah saya. Untuk mendapatkannya, klik sini.

Perbuatan mengunjungi pawang, dukun dan bomoh serta ‘ustaz-ustaz’ yang mendakwa dapat berkomunikasi dan bersekongkol dengan Jinn-jinn yang dikatakan Islam juga perlu dijauhi. Atas dasar apa kita dapat mengetahui yang Jinn-jinn yang berkhidmat dengan mereka itu beragama Islam. Lupakah mereka Jinn-Jinn itu merupakan antara makhluk yang banyak tipu dayanya? Lupakah mereka syaitan dan Iblis juga seringkali menjelmakan diri mereka sebagai orang-orang alim dan ahli-ahli ibadat semata-mata untuk menyesatkan manusia? Jinn-Jinn itu sama saja dengan manusia keupayaan pengetahun mereka mengenai perkara ghaib. Jika benar Jinn-jinn ini dapat meramalkan masa depan dan mengetahui perkara-perkara yang ghaib, mengapa pula mereka masih terus bekerja dengan tekun kerana takutkan Nabi Sulaiman a.s. sedangkan pada waktu tersebut, Nabi Sulaiman a.s. telah pun lama wafat. Cerita ini difirmankan Allah dalam surah Saba’ ayat 14:

(Saba’ ayat 14)
Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jinn itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

Jinn-jinn yang menjadi hamba kepada Nabi Sulaiman a.s. terus saja melakukan kerja-kerja berat yang tidak mereka suka lakukan, meskipun Nabi Sulaiman telah wafat. Hanya apabila tongkat yang baginda gunakan untuk menyokong badannya hancur dimakan anai-anai, barulah Jinn-Jinn tersebut mengetahui yang Nabi Sulaiman a.s. telah wafat. Jauhi saja mereka yang dikatakan dapat berkomunikasi dan bersekongkol dengan Jinn-jinn tidak kira samada yang kufur atau dikatakan soleh. Ini kerana sepertimana yang Allah s.w.t. firmankan dalam ayat 6 surah Al Jinn seperti yang telah dipetik tadi, Jinn-jinn itu tidak sedikit pun mendatangkan manfaat kepada manusia malahan ianya membawa kepada kesesatan dan kesusahan pula.

Ini kerana kegiatan orang-orang sebegini yang dikatakan dapat mengubat orang, dapat mencari barang yang hilang, menurunkan nombor, menarik wang, memelihara keselamatan dan sebagainya hanya akan mengundang kepada kesusahan dan merupakan antara amalan-amalan yang akan menyusahkan manusia itu sendiri. Ini kerana Jinn-Jinn yang diharapkan dapat memberikan apa yang dipinta itu sebenarnya tidak mampu melakukannya dan sekaligus menambahkan tekanan kepada mereka yang berharap, disamping disogokkan dengan maklumat-maklumat dan cerita-cerita palsu yang kelabu kerana ia tiada langsung pengetahuan mengenai perkara-perkara diluar pengetahuan mereka.

Fikirlah secara lojik, jika terdapat bomoh tarik duit yang handal, kenapakah Tan Sri Robert Kuok dan Tan Sri Ananda Krishnan pula yang menduduki tangga teratas antara orang paling kaya di Malaysia? Seharusnya bomoh tersebutlah yang patut NO. 1. Ini tidak, sudahlah pakaian pun selekeh, naik motor buruk dan berselipar buruk, tapi masih juga ada manusia yang tidak mahu menggunakan otak menyembah mereka ini untuk mendapatkan nombor dan sebagainya. Fikirkanlah... bukankah sepatutnya si bomoh tersebut yang kaya dulu sebelum dia boleh mengayakan orang lain? Budaya terlalu percayakan bomoh dan dukun sebegini sudah sebati dalam masyarakat kita dan sangat susah dikikis disebabkan masyarakat kita disini jarang mahu menggunakan akal. Tengok saja dalam surat khabar dua tiga hari lepas, kegiatan pemujaan batu nisan untuk dapatkan nombor dan peristiwa telaga yang dikatakan mengeluarkan air ‘mujarab’ di sebuah negeri di semenanjung. Entah apa lagi hendak dikata? Bila musim peperiksaan saja, berpusu-pusulah mak bapak hantar anak ke rumah dukun, bomoh dan ‘orang alim’ untuk dijampi pen, pensil, air, getah pemadam, kasut sekolah dan sebagainya yang boleh dijampi semata-mata untuk memastikan yang anak-anak mereka mendapat keputusan yang baik. Sedangkan si tukang jampi itu sendiri S.P.M. nya di ambil tiga kali dan kantoi (gagal) secara hat-trick. Apakah susah untuk berfikir? Habis tu, bagaimana kita hendak mendakwa diri kita sebagai umat Islam sedangkan Islam itu agama untuk orang yang berfikir dan menggunakan akal. Sangat menyedihkan jika melihat sikap majoriti masyarakat yang masih tidak berubah. Sukar untuk kita kembali ke zaman kegemilangan Saidina Umar dan Salahuddin Al Ayyubi jika berterusan begini sikap dan mentaliti sebahagian besar dari kita. Kemampuan saya untuk menghuraikan perkara dan perihal perkara ini buat masa ini hanya setakat apa yang telah saya paparkan disini, saya sangat berharap agar ia memberikan manfaat kepada anda dan saya juga dalam memahami siapa itu syaitan yang sebenarnya. Sekiranya ada kekurangan, tegurlah... bukankah mereka yang berpesan dengan kebenaran itu merupakan golongan yang tidak berada dalam kerugian? Sekian buat setakat ini.. insyaAllah saya akan muatkan posting-posting terbaru nanti.. wallahua’lam..

© November 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

5 comments:

Anonymous said...

Akhie, Salam.
Terimakasih diatas penerangan yang amat memberi manafaat kepada saya. Saya pohon kehadzrat Allah agar kita sentiasa hidup selari dengan ajaran yang telah ditunjukkan melalui nabi besar kecintaan kita saw. Allahua'lam
Yee

Mr Joker said...

syaitan,iblis,jin...semuanya adalah nafsu kita.nafsu yang jahat,nafsu yang sering mengajak kita melakukan perkara2 yang tak sepatutnya kita lakukan.perkara yang memudaratkan samada kita sendiri atau orang2 di sekeliling kita.wajib keatas kita mengenal nafsu,diri sendiri,akal dan Allah.carilah sampai ketemu jawapan nya.Al Qur'an bukan semata2 untuk dibaca.terlalu banyak yang tersurat.perlu dikaji...

satuhala said...

Wa'alaikumsalam Ashaari.. tq sbb menghargai dan berkunjung kesini.. Hassan.. sepatutnya ayat tu berbunyi 'terlalu banyak yang tersirat'.. kita selalu melihat kepada yg tersurat dan malas meikirkan yang tersirat disebalik keindahan Al-Qur'an.. terima kasih juga kerana ke sini...

Zam Rawkatooa said...

salam.....allah telah menurunkan Al Quran melalui muhammad s.a.w.,rahsia segala rahsia terkandung di dalamnya..namun akal yang Allah anugerahkan kepada manusia jualah yang menentukan kedudukkan manusia itu di kalangan mahluk Allah yang lain.. semoga Allah tetapkan iman kita.

ASW said...

salam. semoga Allah memberi rahmat dan keredaannya keatas diri saya dan ampunya blog. terima kasih kerana penerangan yang saya baca dari blong anda. somoga kita menjadi orang2 yang mendapat keredaannya.