Monday, November 12, 2007

Siapa Sebenarnya Yang Dinamakan Syaitan...? bhg. 2

8
oleh Muhammad Ibn 'Az

(jika anda belum lagi membaca bahagian satu dari artikel ini, sila klik sini untuk membacanya)

Jika Iblis dan Jinn bukan dari golongan malaikat, kenapa Allah s.w.t. murka terhadap Iblis? Bukankah arahan untuk sujud kepada Adam itu Allah s.w.t. perintahkan hanya untuk malaikat?
Al-Qur'an merupakan kitab terindah yang jika diamati setiap perkataan atau ayat yang digunakan Allah didalamnya, ia menunjukkan tingkat kesusasteraan tertinggi dan tidak pernah wujud sebelum darinya atau selepas daripadanya (Al-Qur'an). Struktur dan gaya Bahasa Arab itu sendiri dibangunkan berasaskan daripada wahyu-wahyu Allah dalam Al-Qur'an ini. Tidak pernah tidak ada satu hari pun dalam setiap kali saya menatapi kandungannya, kejutan-kejutan yang meruntun jiwa dan minda saya tidak hadir. Setiap kali apabila membaca kandungannya, pasti akan ada sesuatu yang agak mengejutkan saya jumpa dalam Al-Qur’an terutamanya kandungannya yang berkaitan sains dan teknologi yang melangkaui keupayaan ilmu manusia. Sekaligus semua yang dibaca dalam Al-Qur’an ini kembali mengingatkan saya kepada asal kata-kata yang terkandung dalam Al-Qur’an ini sememangnya dari Allahu Rabbul ‘Alamin.

Berbalik kepada persoalan tadi, saya pernah melihat beberapa laman web Kristian dan Atheist yang menuduh Allah s.w.t. bersikap tidak adil terhadap Iblis kerana menghukumnya sedangkan arahan awal dikeluarkan Allah s.w.t. untuk sujud kepada Adam a.s. itu ditujukan kepada Malaikat. Apakah benar dakwaan mereka ini?

Sebelum dari ini, saya telah jelaskan dengan agak mendalam mengenai siapa itu Iblis dan asal kejadiannya. Jelas sekali pada kita bahawa Iblis itu bukanlah Malaikat seperti didakwa tetapi hanyalah sejenis makhluk Allah yang dijadikan dari api. Jadi mengapakah Allah s.w.t. hanya mengeluarkan arahan kepada Malaikat untuk sujud kepada Adam dan kenapa pula Iblis dihalau kerana engkar sedangkan arahan itu seakan tidak ditujukan kepadanya?

Dr. Zakir Naik, dari Islamic Research Foundation, menyatakan bahawa di dalam Bahasa Arab terdapat satu bentuk gaya bahasa yang dipanggil sebagai Taqleeb. Taqleeb ini merupakan satu bentuk gaya kata ganti nama yang biasa dipraktikkan dalam bahasa Arab. Sebagai contoh, sekiranya dalam sesuatu majlis itu dihadiri oleh hampir 80% orang lelaki dan hanya dihadiri oleh 20% orang wanita, oleh kerana majoriti yang menghadirinya ialah lelaki, maka kata-kata aluan atau apa-apa bentuk ayat yang digunakan untuk merujuk mereka yang hadir ke majlis itu hanya akan merujuk kepada kaum lelaki yang merupakan majoriti yang hadir. Begitu juga jika hadirin yang menghadiri majlis tersebut 80% ialah wanita manakala yang selebihnya pula ialah lelaki. Maka hanya kaum wanita sahaja akan diutamakan dalam semua ucapan atau kata-kata yang menunjukkan atau mewakili kumpulan hadirin tersebut. Maka berdasarkan Taqleeb ini, kita dapat mengetahui bahawa sewaktu Allah s.w.t. memerintahkan kepada malaikat untuk sujud kepada Adam, hadir sama dalam waktu tersebut ialah makhluk-makhluk Allah yang lain termasuk Iblis, makhluk dari keturunan Jinn. Menurut sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya Allah mencipta malaikat dan jin juga manusia 10 bahagian.
Kadar malaikat 9 bahagian, jin dan manusia satu bahagian. Allah ciptakan
dari satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian. 9 bahagian
daripadanya adalah bilangan jin dan hanya satu bahagian sahaja bilangan
manusia.

Hadis ini membawa maksud bahawa makhluk Allah yang terbesar sekali bilangan jumlahnya ialah para Malaikat. Jika menurut hadis di atas, peratusan para Malaikat dalam perbandingan jumlah keseluruhan mereka jika dibandingkan dengan Jinn dan manusia ialah:

Malaikat : 90%
Jinn : 9%
Manusia : 1%

Oleh kerana Malaikat merupakan jumlah makhluk yang terbanyak sekali hadir semasa perintah Allah kepada makhluk untuk sujud kepada Adam, maka menurut cara Taqleeb, maka selayaknya, hanya nama para malaikat sahaja disebutkan. Dengan Allah s.w.t. hanya menyebut nama para Malaikat, maka sekelian makhluk lainnya yang hadir dengan sendirinya mengetahui bahawa arahan tersebut juga Allah perintahan ke atas mereka. Iblis yang berasal dari golongan Jinn juga termasuk dalam kalangan makhluk yang diperintahkan Allah untuk sujud. Maka dengan melanggar perintah Allah s.w.t. untuk sujud kepada Adam a.s., Iblis dengan sendirinya menjadi kufur kepada Allah dan selayaknya Allah s.w.t. murka kepadanya. Betapa Allah memuliakan kita sebagai manusia, walaupun dengan jumlah bilangan kita yang sedikit, tetapi tidak pernah sekalipun kita diperintahkan untuk sujud kepada lain-lain makhluk atas perintah Allah melainkan hanya sujud kepada Allah s.w.t. Tuhan sekelian alam. Jadi mengapakah perlu bagi kita mencari kehinaan dengan sujud kepada berhala-berhala, manusia-manusia, Jann (plural bagi Jinn) dan makhluk-makhluk lainnya? Bukankah bodoh tindakan sedemikian itu? Dimuliakan Allah tapi dihinakan dengan akal yang bongkak lagi bodoh, mahukah kita menjadi sedemikian rupa?

Taqleeb bukan saja digunakan dalam bahasa Arab, tetapi juga digunakan secara meluas diseluruh dunia. Kita menggunakannya tanpa sedar dalam kehidupan kita sehari-hari. Pengunaannya lebih ketara dalam majlis-majlis rasmi serta mesyuarat-mesyuarat yang biasa kita anjurkan. Cuma mungkin kita tidak sedar atau mengambil peduli, sedangkan perkara ini semua juga menunjukkan bahawa apa yang Allah s.w.t. wahyukan dalam Al-Qur’an itu sangat bertepatan dengan cara hidup dan pergaulan manusia sehari-harian. Suka saya mengambil contoh yang paling mudah supaya anda juga dapat memahami bagaimana Iblis itu seharusnya dimurkai Allah s.w.t. biarpun perintah sujud tersebut menurut Al-Qur’an diperintahkan Allah secara lisannya kepada para Malaikat yang ada bersama-sama makhluk-makhluk lain waktu itu.

Contoh pertama yang akan saya gunakan ialah ucapan pembentangan belanjawan oleh bekas Perdana Menteri Brittain, Tony Blair. Berikut merupakan sebahagian kecil dari petikan ucapannya dalam House Of Common, Brittain yang dihadiri oleh semua Ahli Dewan Rakyat Kerajaan termasuk pihak pembangkang mereka. Sila Klik gambar di bawah ini untuk membaca sebahagian dari petikan ucapan tersebut.


Di dalam petikan ucapan tersebut, Tony Blair selaku pembentang belanjawan tersebut hanya menyebut “Tuan Timbalan Speaker”, seolah-olah hanya si Timbalan Speaker tersebut sahaja sebagai orang yang bertanggungjawab untuk mendengar apa yang dibentangkannya. Padahal umum sudah mengetahui bahawa, apa yang diucapkannya itu adalah bagi keseluruhan dewan tersebut yang dihadiri oleh Ahli Dewan Rakyat Kerajaan dan Pembangkang untuk menilaikannya, meluluskan serta melaksanakannya. Oleh kerana Timbalan Spekaer merupakan orang yang dianggap paling mulia di dalam dewan tersebut, maka hanya dia sahaja yang disebutkan oleh Tony Blair dalam pembentangan belanjawan tersebut. Ahli Dewan Rakyat yang hadir selain daripada itu adalah tidak signifikan untuk disebutkan dalam pembentangan belanjawan tersebut. Ini kerana mereka sudah sedia maklum, begitulah cara rasmi yang digunakan dengan cuma menyebut yang paling dimuliakan, maka dengan menyebut “Tuan Timbalan Speaker”, ia juga membawa maksud keseluruhan Ahli Dewan Rakyat yang hadir semasa pembentangan belanjawan tersebut termasuk sama dalam menjadi orang-orang yang akan dipertanggungjawabkan mendengar, memberi kritikan, meluluskan serta melaksanakan apa yang dibentangkan itu nanti.

Begitu juga dengan amalan yang dibuat di Malaysia. Berikut merupakan petikan belanjawab Negara 2007 yang dibentangkan oleh Pak Lah dalam Dewan Rakyat. Sila klik gambar di bawah untuk membaca sebahagian dari petikannya.



Sepanjang pembentangan belanjawan itu berlangsung, Pak Lah hanya menyebut “Tuan Yang Di Pertua”. Biarpun tidak menyebut Ahli Dewan Rakyat Kerajaan dan Pembangkang, umum sedia maklum bahawa keseluruhan ucapan tersebut adalah bagi mereka untuk diambil tindakan. Selaku yang paling dimuliakan dalam Dewan Rakyat tersebut, maka memadai hanya Yang DiPertua Dewan Rakyat sahaja disebut sedangkan dalam masa yang sama hadir berpuluh lagi Ahli Dewan yang juga dipertanggungjawabkan untuk mendengar dan menilaikan belanjawan tersebut. Jadi cara Allah s.w.t. menggunakan ayat dan perkataan itu sangat bertepatan dengan cara manusia berkomunikasi secara rasmi. Jadi bagi yang memahami begitulah caranya cara berkomunikasi yang betul dan effisien, maka tidak sepatutnya timbul sebarang kekeliruan berkenaan dengan perintah Allah s.w.t. kepada sekelian makhluk untuk sujud kepada Adam a.s. Selaku makhluk Allah yang paling ramai dan paling dimuliakan, maka selayaknya hanyalah Malaikat sahaja yang disebut dalam menerima perintah tersebut. Dengan menyebut Malaikat, maka secara automatiknya, sekelian makhluk yang lain akan diheret sama ke dalam tanggungjawab untuk mematuhi arahan dan perintah Allah ini. Harap dengan penjelasan ini, tidak timbul lagi kekeliruan berkenaan persoalan di atas tadi.

Bagaimana pula dengan pendapat yang mengatakan Syaitan itu ‘diikat’ dalam bulan Ramadhan? Apakah benar Syaitan itu tidak muncul dan berkeliaran pada bulan Ramadhan?
Sebelum membentangkan pula penjelasan mengenai perkara ini, perlu saya tegaskan bahawa tidak semua Syaitan yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan hadis itu membawa maksud Syaitan (seperti Iblis dari keturunan Jinn). Syaitan pada dasar pengetahuan umum, pastinya digambarkan sebagai makhluk Allah yang dilaknat olehNya yang berwajah hodoh dan busuk serta kerjanya hanya mengganggu hamba-hamba Allah yang lain supaya lalai dari patuh kepada perintah Allah s.w.t. Sebenarnya tidak semua yang disebut Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih yang menyebut syaitan menggambarkan syaitan dalam bentuk ini. Saya akan kemukakan beberapa contoh sebagai kefahaman bagi kita untuk memahami apa maksud sebenarnya cuba disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya berkaitan syaitan ini. Yang pertama ialah sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan kepada semua muslimin dan muslimat membaca doa sebelum memasuki tandas. Maksud doa tersebut adalah seperti di bawah :

Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada syaitan
jantan dan betina.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam beberapa hadisnya bahawa antara tempat tinggal syaitan dari kalangan Jinn ini termasuklah tempat pembuangan sampah, lautan luas, di atas air, dalam hutan, bukit bukau, gunung ganang dan termasuk juga dalam tempat-tempat pembuangan najis terutamanya tandas. Hadis di atas bukan sahaja membawa maksud berdoa kepada Allah s.w.t. supaya memelihara kita dari gangguan Syaitan yang ada dalam tandas tersebut, malahan ianya turut membawa maksud memohon kepada Allah daripada serangan penyakit yang diakibatkan dari pathogen-pathogen (bakteria-bakteria jahat) yang banyak terdapat didalam tandas tersebut. Al-khubth (syaitan jantan) dan Al-khabaith (syaitan betina) adalah bakteria atau kuman-kuman penyebab penyakit yang banyak terdapat di tempat-tempat kotor seperti tandas. Maka melalui hadis ini, kita mengetahui bahawa secara tidak langsung, yang dimaksudkan syaitan itu ialah syaitan dari kalangan Jinn dan juga ‘syaitan’ dalam bentuk kemudaratan penyakit akibat jangkitan pathogen-pathogen yang banyak terdapat di dalam tandas.

Hadis berikut pula menunjukkan bahawa Syaitan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah syaitan dari kalangan Jinn yang dimaksudkan.

Dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tutuplah bejanamu, tutup tempayan, kunci pintu dan padamkan lampu (ketika hendak tidur), kerana syaitan tidak pandai membuka tutup tempayan, dan tidak pandai membuka pintu, dan idak pandai membuka tutup bejana. Jika kamu tidak mempunyai penutup segalanya, bolehlah bentangkan sepotong kayu sambil menyebut nama Allah. Lakukanlah dmikian, kerana si penjahat kecil (tikus dan sebagainya) dapat menyalakan api sehingga membakar rumah mereka.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w. dengan syaitan melalui hadis di atas ialah penyakit yang membawa kemudaratan. Ini kerana Allah s.w.t. telah pun berfirman dalam Al-Qur’an bahawa Jinn terutamanya dari kalangan Ifrit mempunyai kekuatan luar biasa sehinggakan dapat memindahkan singgahsana Putri Balqis dari negeri Saba’ ke Palestin dalam masa yang sangat singkat. Dalam Al-Qur’an juga telah Allah s.w.t. jelaskan kepada kita bahawa Jinn-Jinn ini mempunyai kemahiran bertukang dan mampu melakukan berbagai-bagai kerja lagi. Petikan ayat-ayat Al-Qur’an ini telah pun dimuatkan dalam bahagian satu artikel ini. Maka disini, sangat jelas bagi kita bahawa, Syaitan dalam hadis tersebut merupakan penyakit-penyakit atau kuman-kuman yang memudaratkan kesihatan. Sangat mustahil untuk mengaitkan syaitan dalam hadis tersebut dengan syaitan dari golongan Jinn kerana ianya bertentangan dengan apa yang Allah s.w.t. jelaskan dalam Al-Qur’an. Penutup-penutup bejana, tampayan dan pintu itu bukanlah halangan bagi syaitan dari kalangan Jinn untuk mengalihkannya. Yang tidak mampu mengalihkannya ialah ‘syaitan’ dari kalangan pathogen-pathogen (bakteria-bakteria jahat) yang memudaratkan. Bagi membuktikan hujah saya ini, saya kemukan satu lagi hadis yang menjelaskan perkara yang serupa.

Dari Jabir r.a. katanya dia terdengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tutuplah bejana, tutup tempayan kerana pada suatu malam dalam setahun penyakit menular berjangkit. Setiap bejana atau tempayan yang dilewatinya tidak tertutup, nescaya bibit penyakit itu akan hinggap ke dalam bejana itu,"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sangat jelas di sini bahawa syaitan yang disebut dalam hadis yang awal tersebut itu ialah panyakit-penyakit bawaan bakteria jahat yang memudaratkan manusia dan bukanlah syaitan dari kalangan Jinn. Jadi secara tidak langsung kita juga mengetahui bahawa perkataan syaitan itu juga membawa maksud segala apa yang membawa akibat buruk, jahat, celaka, penyakit, kepayahan dan kemudaratan.

Berkenaan perihal syaitan yang dikatakan ‘diikat’ dalam bulan Ramadhan setiap tahun, apakah benar yang dimaksudkan syaitan itu ialah syaitan dalam bentuk makhluk halus yang dilaknat Allah sebagaimana tanggapan ramai umat Islam diseluruh dunia? Tanggapan ini bermula dari silap fahaman terhadap beberapa hadis Rasulullah s.a.w. dalam kategori sahih yang yang ditafsirkan dengan pendekatan literasi. Berikut hadis-hadis dari Rasulullah s.a.w. yang menyatakan pada setiap Ramadhan syaitan akan ‘diikat’.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Bila bulan ramadhan telah datang, maka dibukakan pintu syurga, dikunci pintu neraka, dan dibelengu semua syaitan,"
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bila Ramadhan telah datang, maka dibukakan pintu rahmat, dikunci neraka Jahannam, dirantai semua syaitan,"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis tersebut ialah keupayaan nafsu Jinn dan manusia untuk mencetuskan keinginan melakukan perkara-perkara terlarang dan tidak disukai Allah akan dapat dikawal (diikat) serta dilemahkan dengan berpuasa dibulan Ramadhan. Ini kerana demi menjaga pahala puasanya supaya tidak dikurangkan, maka setiap Jinn dan manusia yang berpuasa akan memastikan setiap perkara yang boleh membatalkan serta merosakkan puasanya dijauhi sedapat mungkin. Disamping itu dengan berpuasa juga nafsu dilemahkan dengan perut yang kosong serta akal yang dicerdaskan. Percayalah.. ketika berpuasa dan perut kosonglah akal manusia berada dalam keupayaan paling optimum dan cerdas. Hanya terdapat satu cara sahaja untuk meningkatkan keupayaan akal dan otak, iaitu dengan banyak berpuasa dan zikrullah. Cubalah... terutamanya kepada student seperti saudara Syafwan dan kawan-kawan di Jerman sana. Perut yang kenyang hanya mengundang kemalasan dan kelembaban otak sehingga meningkatkan keupayaan nafsu. Bila keupayaan nafsu sudah mengatasi akal yang semakin lembab disebabkan kekenyangan, maka dorongan untuk melakukan pekara yang dibenci dan diharamkan Allah s.w.t. akan semakin memuncak. Ini kerana punca kekuatan nafsu itu tadi tidak ‘diikat’ dan dibiarkan saja kekuatannya bertambah dari masa ke semasa. Dengan berpuasa, ianya tidak secara langsung membelengu dan mengikat keupayaan nafsu untuk melakukan kejahatan dan perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

Dari ’Abdullah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hai, para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi,"
(Hadis Riwayat Muslim)

Jelas sekali hadis ini membuktikan bahawa puasa itu dapat mengikat dan membelengu nafsu berahi untuk melakukan dosa. Untuk memberikan kejelasan supaya kita meyakini bahawa yang dimaksudkan dengan ‘syaitan yang diikat’ dalam bulan Ramadhan itu bukanlah syaitan atau Iblis dari kalangan Jinn, saya bentangkan sebuah firman Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an:

Al An'aam ayat 112
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.

Allah s.w.t. dengan jelas menunjukkan dan menyatakan kepada kita bahawa syaitan ini bukan sahaja terdiri dari kalangan pengikut Iblis dari kalangan Jinn, tetapi juga dari kalangan manusia. Manusia juga sebahagiannya merupakan angkatan-angkatan tentera bagi syaitan yang sentiasa cuba menjauhkan serta menyusahkan mukminin dan mukminat untuk beribadat serta menjalani kehidupan yang diredhai Allah s.w.t. Sekiranya semua syaitan dibelengu dan diikat sebagaimana dakwaan majoriti Muslim yang memberikan tafsiran kelabu terhadap hadis Syaitan di bulan Ramadhan tadi, maka kenapa pula si George Bush masih boleh bergelak ketawa semasa tentera pengganasnya menyerang negara-negara Islam semasa bulan Ramadhan? Begitu juga dengan Salman Ruhdie dan Hirsi Ali yang terus bebas menghina Allah dan Islam sepanjang tahun dalam kehidupan mereka dan mereka juga tidak diikat dalam bulan ramadhan? Kenapa pula si Benjamin Stephen itu masih bebas menghina agama Islam tanpa dibelengu? Bukankah mereka ini juga merupakan syaitan-syaitan yang Allah s.w.t. maksudkan dalam surah Al An’aam 112 tadi? Kenapakah pula si pembunuh Nurin itu masih bebas dalam bulan Ramadhan sekiranya semua syaitan dibelengu? Jika syaitan terbelengu mengikut tafsiran kelabu tadi, mengapa pula pada Ramadhan yang baru berakhir ini, ramai remaja ditahan oleh pihak polis dan jabatan agama kerana tidak berpuasa dan melakukan maksiat dan jenayah? Tak percaya..pergilah ke balai dan rujuk statistik mereka. Saya dan isteri yang berurusan dengan balai polis semasa Ramadhan lepas, melihat dengan mata kepala saya sendiri ramai orang masuk keluar lokap dengan tangan yang bergari kerana jenayah yang dilakukan mereka. Majoritinya melayu Islam. Terdapat juga pasangan yang ditangkap berkhalwat yang ditahan di balai tersebut semasa saya menunggu untuk berurusan dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Komersil. Jadi apakah yang menghasut mereka sekiranya syaitan itu semuanya terbelengu jika menurut tafsiran kelabu terhadap hadis tersebut. Sangat jelas bahawa yang dimaksudkan oleh hadis itu tadi ialah keupayaan nafsu Jinn dan manusia untuk mencetuskan keinginan melakukan perkara-perkara terlarang dan tidak disukai Allah akan dapat dikawal (diikat) serta dilemahkan (dibelengu) dengan berpuasa dibulan Ramadhan. Bagi yang tak berpuasa, syaitannya dan nafsunya tetap berkuasa penuh ke atas dirinya.

Bagaimana pula dengan manusia yang bekerjasama dengan Jinn dengan memohon pertolongan Jinn-Jinn dan makhluk-makhluk halus yang dinamakan dengan berbagai nama bagi membantu mereka dalam beberapa urusan?

bersambung di bahagian 3.. klik sini

© November 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

8 comments:

Anonymous said...

jin,iblis,syaitan semua tu nafsu(yang berlawanan dgn kebaikan)kita yang tak dapat kita kawal kecuali dengan kekuatan "Iman".jadi,kenalah kita mengenali diri,nafsu,akal dan Allah supaya kita tak dikuasai nafsu(jin,iblis dan syaitan).fikir-fikirkanlah...

satuhala said...

tq atas komen... kenapa pakai anonymous?

Anonymous said...

Sangat pelik pendapat saudara mengenai syaitan di belenggu di bulan Ramadhan,sesungguhnya telah berijmak para ulamak dan ummat di sebelah timur dan barat dunia Islam bahawasanya syaitan itu benar2 di rantai,mankala syaitan2 dari kalangan manusia mereka tidak la sama seperti syaitan yang di rantai,kerana syaitan yang di rantai adalah yang di cipta dari api,dan lafaz syaitan di guna bagi musuh2 agama Allah adalah kinayah.

Adapun perlakuan maksiat di bulan Ramadhan adalah dr nafsu syahwat manusia itu sendiri.

satuhala said...

anonymous.. terima kasih kerana mengemukakan pendapat.. telah saya jelaskan dalam artikel tersebut siapa itu syaitan dan siapa yang dirantai dibulan ramadhan...

Anonymous said...

Dari Surah An-Naml

[39] Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".
[40] Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"

Surah ini tak menyatakan siapa yang membawa singgahsana tu, sama ada Ifrit ke atau 'seorang yg mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah'.

Tapi apa yang pasti dari surah ini ialah - manusia lebih power dari Ifrit i.e manusia boleh bawa singgahsana dalam sekelip mata, sebaliknya Ifrit ambil masa lebih sedikit dari 'sekelip mata'.

Surah ini sebenarnya 'memberitahu' bahawa manusia lebih berilmu dari Ifrit. Justeru, manusia tidak perlu berguru dengan Syaitan.

Sekian. Semoga dirahmati Allah.

Anonymous said...

Dari Surah Al-Jinn 72: Ayat 6

`And verily, there were men among manking who took shelter with the males among the jinn, but they (jinn) increased them (mankind) in sin and transgression

Jika kita perhatikan ayat tersebut, ada di sebut "rijallu minal insan" ... dan "bir rijalim minal jin". Perkataan rijal dalam bahasa arab adalah merujuk kepada lelaki ~ maskulin.

Tafsiran Melayu:
Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat

Kesimpulan ~ Jin memang terdiri dari jantan dan betina. Sesuai dengan firman Allah dalam surah Yasin: 36, "Maha suci (Tuhan) yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui."


Sekian. Semoga beroleh manfaat, dan semoga sentiasa dibawah cucuran rahmat Allah

PEMIKIR said...

jika benar apa yg dikatakan saudara Nizam maka x hairanlah saya kenapa time bulan ramadan hati saya tetap was2 ketika mengambil wuduk. sama seperti sebelumnya iaitu sebelum bulan pose padahal syaitan sudah diikat..hmmm. wallahua'alam.

Anonymous said...

Bagi saya artikel ini sangatlah bagus. Motivasi untuk berpikir dan sebagai tambahan bahan dan data untuk lebih mempelajari dan mencari kebenaran itu sendiri. Tidak ada manusia sempurna tanpa turut campur tangan Allah. Demikian pula dalam beribadah dan memahami segala pengetahuan tentang petunjuk Allah, sepatutnya kita saling berbagi dan mengisi. Sebagaimana makna surat An-Nas dalam Alquran, sesungguhnya manusia itu dalam merugi. Kecuali orang2 yg beriman dan yg bekerja sama dalam mengerjakan kebaikan, serta saling ingat mengingatkan dalam menetapi kesabaran.

Sungguh indah dan tepat sekali firman Allah itu. Saya tidak akan menyanggah ataupun mendukung ataupun support pada artikel sahabat ini, tapi ucapan terima kasih. Karena, dengan bahan artikel ini yg didukung juga dengan referensi ayat Alquran. serta penjelasan yg menurut saya mudah dimengerti. Uraian anda bisa saya terima. Bukanlah pilihan yg bijak untuk saya menyalahkan orang2 yg berbeda paham/pendapat. Hanya akal dan pikiran sehat saja untuk dapat mengerti atas masih banyaknya tanda tanya akan ilmu dan firman Allah dalam Alquran. Untuk itulah kita diwajibkan belajar dan bertanya dengan kerendahan hati. Artikel ini adalah sebatas bahan/data yg disampaikan, namun ia akan berguna jika kita mau menindak lanjutkan untuk ditela'ah bagi diri pribadi. Hanya orang2 yg mau berpikir yg memandang baik akan hal2 yg memang baik. Pendapat boleh berbeda, tapi kebenaran itu akan tetap jadi kebenaran hingga kita mampu untuk memahaminya.

Saya sudah baca artikel ini, bisa dikatakan pikiran saya sejalan dengan pendapat anda.
Bravo satuhala.blogspot !
Kita satu pemahaman, maybe...