Tuesday, November 6, 2007

Siapa Sebenarnya Yang Dinamakan Syaitan...?

3
oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung satuhala. Terlebih dahulu, terima kasih saya ingin ucapkan kepada Zach (Zachary Zainal), saudara Narizal, dan Ben (walaupun dia marahkan saya berkenaan posting Pembohongan Azab Kubur, tapi selepas diberi penjelasan dia terus OK dan gelakkan saya.. Alhamdulillah…) yang banyak membantu saya mempromosikan blog ini. Begitu juga dengan ramai lagi yang membantu menyalurkan maklumat, berita, fakta, sokongan dan membantu memperkenalkan blog ini kepada ramai pihak. Semoga Allah membalas usaha murni anda biarpun saya tak pernah mengenali secara dekat anda semua.

Baru-baru ini, saya telah membeli sebuah buku terbitan tempatan yang kandungannya mensasarkan kepada pengukuhan akidah bagi para Ibu bapa bagi menjawab persoalan berkaitan akidah yang mungkin suatu hari nanti dikemukan anak-anak mereka. Cara penyampaian kandungan buku tersebut agak santai bagi membolehkan sesuatu persoalan itu dijawab menggunakan lojik akal. Buku ini bagi saya amat baik kandungannya dan sesuai bagi para ibu bapa dalam mendidik anak-anak kecil mereka. Sama seperti eBook tulisan saya, Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist (kini sudah diterbitkan dalam bentuk novel dengan tajuk Syahadah Gadis Ateis, maklumat lanjut sila klik sini atau klik gambar cover buku tersebut di atas sebelah kanan skrin), yang mensasarkan golongan dari awal remaja hingga ke professional dalam menangani isu serta soalan-soalan yang menggoncangkan akidah. Bentuk-bentuk soalan yang dijawab dalam eBook saya boleh di dapati di sini, KLIK.


Semuanya sempurna di dalam buku yang saya beli tersebut kecuali beberapa kesalahan fakta yang dimuatkan secara mengelirukan. Mungkin penerbit dan penulisnya terlepas pandang akan isu yang cuba dihuraikan mengenai Iblis dan satu lagi isu lain. Saya telah menghubungi penerbit bagi buku tersebut bagi memperbetulkan kesilapan yang tidak disengajakan itu melalui email. Saya juga terpanggil untuk menulis berkenaan dengan syaitan ini oleh kerana Kniels telah bertanyakan saya di dalam shoutbox pada ramadhan lalu berkenaan perkara ini. Oleh kerana hanya sekarang saya mempunyai kesempatan, maka saya akan bentangkan sebentar lagi teantang perihal siapa itu syaitan? Saya juga sedang berdialog dengan seorang pemuda yang menggunakan nama samaran rockbebeh dan kakaknya yang dikatakannya boleh berkomunikasi dengan ‘malaikat’. Kakaknya dan dia menuduh saya berdamping dengan syaitan kerana menafikan kandungan rakaman audio suara azab kubur yang menjadi video yang disiarkannya dalam akaun youtubenya. Saya telah menjelaskan bahawa rakaman tersebut memang palsu dengan dua posting artikel bagi menyokong dakwaan saya berserta bukti dari sejarah cerita tersebut, penggunaan teknologi bagi memperbetulkan rakaman audio tersebut dan juga mengambil jalan merujuk Al Qur’an dan hadis-hadis sahih. Alhamdulillah email terbaru yang dikirim ke pemilik akaun youtube yang saya tumpang video saya, saudara rockbebeh menyatakan dengan jelas bahawa rakaman audio azab kubur itu memang satu penipuan dan dia menyatakan bahawa dia terkhilaf dalam mempercayai kandungannya. Syukur Alhamdulillah... Tetapi oleh kerana dia masih berkeras mengatakan bahawa suara yang berkomunikasi dengan kakaknya itu merupakan suara ‘malaikat’, dan dalilnya bahawa syaitan tidak akan muncul pada bulan ramadhan, maka suara yang di dengarnya oleh kakaknya itu merupakan ‘malaikat’ yang membimbing kakaknya, maka saya dedikasikan posting ini juga untuk tatapannya untuk dinilaikan. InsyaAllah posting akan menjelaskan siapa itu syaitan yang sebenarnya dan asal usulnya serta memperbetulkan semua persepsi yang telah lama membelengu masyarakat Islam terutamanya Melayu di Malaysia.

Asal Usul Syaitan
Ini bukanlah kali pertama saya bertemu dengan silap fahaman mengenai siapa itu Iblis dan Syaitan. Saya dapati ada juga kalangan ustaz dan pengendali blog yang membawa fahaman yang saya kira bermula dengan salah faham mengenai tafsiran ayat-ayat Al-Qur'an di bawah ini.

Al Baqarah 34
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Al A'raaf 11
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.

Al Hijr 28 - 31
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. "Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.

Al Isra' 61
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"

Taha 16
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.

Ramai yang memberikan penjelasan yang agak kelabu terhadap tafsiran ayat-ayat di atas tadi. Mereka menilaikan bahawa Iblis itu terdiri dari kalangan Malaikat berdasarkan tafsiran secara terus mereka dalam memahami konteks ayat ini. Allah s.w.t. berfirman di dalam ayat-ayat di atas yang berupa perintahNya yang nampak bagaikan ditujukan kepada para malaikat yang mana perintah itu akhirnya ditentang oleh Iblis dengan keangkuhan dan kesombongan dirinya yang akhirnya membawa kepada kekufurannya terhadap Allah. Setelah kemurkaan Allah ditimpakan keatasnya, Iblis langsung digelar sebagai syaitan oleh Allah dalam ayat-ayat yang menceritakan perihal-perihal perkara yang berlaku sesudah kekufurannya. Namanya tidak lagi dipanggil Allah sebagai Iblis, tetapi syaitan sesudah dari itu.

Riwayat yang mengatakan syaitan itu merupakan dari golongan malaikat yang dilaknat juga terdapat dalam riwayat-riwayat Israeliyyat dan terpahat kukuh dalam beberapa doktrin agama Yahudi dan Kristian, di mana salah seorang ketua malaikat yang dimuliakan disyurga dengan nama Azael, dengan angkuhnya memulakan pemberontakan terhadap Allah. Pemberontakan yang digagalkan itu akhirnya membawa kepada Azael dan pengikutnya yang dikatakan hampir 1/3 daripada jumlah penghuni syurga dihalau dan dipaksa tinggal di bumi. Azael juga dikenali sebagai Lucifer, dalam bahasa latin yang membawa maksud pembawa obor atau cahaya. Ini berdasarkan bintang kejora yang muncul pada waktu pagi dan petang sebelum maghrib juga digelar sebagai Lucifer oleh barat.

Apa pula kata Islam mengenai siapa itu Syaitan?
Beberapa ulama dan sajana Islam pula berpendapat bahawa Iblis ini merupakan golongan malaikat dari sejenis keturunan Malaikat yang dikenali sebagai Jinn.

Setelah membuat beberapa penilitian ke atas ayat-ayat Al-Qur'an yang berkenaan dengan peristiwa kekufuran Iblis ini dan merujuk hadis-hadis sahih dan hukama'. Maka saya mendapati bahawa menyamakan asal usul Iblis dengan keturunan Malaikat adalah tidak berasas sama sekali.

Kenapa pula ianya tidak berasas sama sekali sedangkan Allah sendiri menyebut dalam Al-Qur'an yang perintah itu Dia tujukan kepada golongan malaikat dan Iblis juga termasuk dalam perintah tersebut?
O.k… memang pada asasnya pertanyaan sebegitu pasti akan dikemukakan. Ini bagi mereka yang ingin mendalami serta memahami tafsir ayat-ayat tesebut dan masih belum dapat memahami sepenuhnya cara Allah s.w.t. mengatur bicaraNya yang sangat indah di dalam Al-Qur'an. Begitu juga dengan golongan pewaham Islam yang mengambil kesempatan dengan cuba mengelirukan akidah umat Islam dengan mengatakan bahawa Al-Qur'an mengandungi kekeliruan berdasarkan beberapa contoh yang cuba diputarbelitkan mereka termasuk contoh ayat-ayat ini. Saya pernah ketemu beberapa tulisan dari golongan evangelist Kristian dan golongan Atheist serta Muslim-muslim yang telah murtad yang cuba menyerang akidah umat Islam dengan mempamerkan 'kekeliruan' yang dikatakan ini. Mereka menafsirkan ayat-ayat Allah mengikut suka hati mereka dengan niat untuk menyesatkan umat Islam yang kurang mahu menggunakan akal. Percayalah, Allah s.w.t. telah menjelaskan segala-galanya dengan jelas di dalam Al-Qur'an.

Al Israa' ayat 12
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.


Oleh kerana segala-galanya telah jelas dalam Al-Qur’an, maka saya mengambil pendekatan mencari bukti dan penjelasan melalui Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih yang mana sumber ini sangat saya yakini kebenarannya dan tidak akan memesongkan arah trajektori pencarian asal usul syaitan dan siapa yang dinamakan sebagai syaitan ini.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al Kahfi ayat 50 dan surah Ar Rahman ayat 15

Al Kahfi ayat 50
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jinn, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.

Allah s.w.t. telah menjelaskan kepada kita melalui ayat di atas bahawa Iblis itu berasal dari golongan Jinn. Penerangan Allah dalam ayat ini menunjukkan bahawa Jinn itu telah sudah sedia lama dicipta sebelum Adam a.s. Di sebut Allah juga bahawa Iblis itu berasal dari kalangan Jinn. Ini membawa maksud bahawa Iblis itu bukanlah Jinn yang pertama sebagaimana Adam a.s. yang pertama bagi manusia. Tetapi Iblis itu adalah dari kalangan Jinn yang dimuliakan Allah disebabkan ketaatan dia dalam melakukan amal ibadah kepada Allah. Jadi jelas dalam ayat ini, Allah s.w.t. memberitahu kita umat Islam bahawa Iblis itu berasal dari bangsa Jinn.

Bagaimana pula dengan pendapat yang mengatakan bahawa Jinn itu merupakan salah satu dari berbagai bangsa-bangsa malaikat?
Memang terdapat sebahagian sarjana Islam, ulama’ bloggers (pinjam terminology yang digunakan oleh saudara Faizan dari JAKIM dalam jawapan emailnya kepada saya) dan penulis-penulis buku yang berpegang dengan pendapat ini. Mereka yang berpegang kepada fahaman ini adalah mengikut ijtihad mereka masing-masing. Bagi saya, adalah lebih baik bagi kita untuk mengkaji dan belajar sendiri melalui sumber-sumber yang sah dan dari ustaz-ustaz bertauliah mengenai sesuatu perihal yang kita tak pasti akan kebenarannya. Berkenaan dengan kemusykilan ini, terdapat satu ayat dalam Al-Qur’an di mana Allah s.w.t. telah menjelaskan kepada kita dari mana asal-usul Jinn ini. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al Hijr 27 Ar Rahman ayat 15:

Al Hijr 27
Dan jinn pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

Ar Rahman 15
Dan Ia telah menciptakan jinn dari lidah api yang menjulang-julang;

Ayat di atas secara jelas menyatakan kepada kita bahawa asal Jinn itu diciptakan Allah dari api. Begitu juga dengan ayat di bawah ini :
Saad 76
Iblis menjawab: “ Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah “.

Al A’raaf 12
Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah,"

Jelas dalam ayat di atas pula Allah s.w.t. menceritakan perihal dialog Iblis yang menderhaka kepada Allah dengan mengungkitkan asal usul kejadiannya yang disifatkannya sebagai lebih mulia dari Adam a.s. Dia dengan bongkak menyatakan bahawa dia lebih mulia kerana dijadikan dari api. Maka atas kesombongan dan penderhakaan terhadap perintah Allah inilah, Allah melaknatnya dan menukar wajahnya menjadi hodoh, busuk dan dipanggil Iblis itu tadi sebagai syaitan. Iblis merupakan makhluk pertama yang Allah gelarkannya sebagai syaitan. Bagi memastikan kejelasan dan kebenaran dalam hal yang menyatakan bahawa Jinn itu merupakan salah satu dari bangsa-bangsa malaikat, maka kita perlu pula mengetahui samada kejadian malaikat itu bersamaan dengan kejadian Jinn ataupun tidak. Di dalam Al-Qur’an, tidak ada dinyatakan asal kejadian malaikat, tetapi terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang diambil dari Saidatina A’isya r.a.

Dari A’isya r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Malaikat dijadikan dari nur (cahaya). Jinn dijadikan dari marij (api). Dan Adam telah diterangkan kepadamu (iaitu dari tanah),”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis di atas jelas kepada kita bahawa asal kejadian Malaikat adalah dari nur atau cahaya. Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya dalam hadis tersebut, dengan jelas membahagikan ketiga-tiga makhluk yang disebutnya itu menurut asal kejadian dan secara tidak langsung membawa maksud bahawa ketiga-tiga makhluk ini bukan dari satu bangsa yang sama. Ini sekaligus menyangkal pendapat yang menyatakan bahawa Jinn itu merupakan salah satu dari bangsa-bangsa malaikat yang dijadikan Allah. Ayat Al-Qur’an berikut boleh dikatakan sebagai ultimatum yang memisahkan terus pendapat ini dari kebenaran.

At Tahrim ayat 6
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Allah s.w.t. menyatakan dengan jelas dalam ayat ini bahawa malaikat-malaikat yang diciptakan oleh Allah s.w.t. (dalam ayat ini diceritakan mengenai malaikat penjaga neraka) tidak akan menderhaka hatta walau sekalipun terhadap Allah dan akan patuh di atas segala perintah Allah terhadap mereka. Mereka merupakan makhluk-makhluk Allah yang paling taat, tidak pernah merungut dalam beribadat kepada Allah dan sentiasa menjunjung perintah Allah tanpa banyak soal. Ini sangat berlainan dengan sikap Iblis sebagaimana yang dapat kita baca dalam beberapa ayat dari beberapa surah yang dinyatakan diawal artikel ini tadi. Oleh kerana kesombongan dan sifat meninggi dirinya, Iblis telah menderhaka kepada perintah Allah dan akhirnya menjadi kufur. Ini sangat jelas menunjukkan bahawa Iblis itu bukanlah dari kalangan malaikat. Jika Iblis bukan dari kalangan malaikat, maka sekelian bangsa Jinn juga bukanlah tergolong dalam golongan malaikat.

Jika Iblis dan Jinn bukan dari golongan malaikat, kenapa Allah s.w.t. murka terhadap Iblis? Bukankah arahan untuk sujud kepada Adam itu Allah s.w.t. perintahkan hanya untuk malaikat?
Bersambung di bahagian kedua (klik sini)....

(ed- bagi persoalan berkenaan kenapa Allah memerintahkan malaikat dan iblis sujud kepada Adam, sedangkan perbuatan sujud kepada selain dari Allah merupakan perbuatan syirik telah dijelaskan secara penuh di dalam eBook saya Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist.. untuk mendapatkannya sila Klil banner penjualannya seperti dibawah...)

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)




Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

3 comments:

Anonymous said...

barulah saya faham

Health Info

doden said...

kadang2 tu kan saudara, kita nie belajar agama islam itu baik.Tetapi menyalah tafsirkan islam ikut kepala kita sendiri itu berdosa sama sekali apatah lagi menceduk ayat al-quran sana sikit sini sikit untuk menyokong apa yang kita nak katakan itu.Berdosa saudara..Janganlah kita terpengaruh dengan fahaman sesat ini...Semoga Allah memberi perlindungan kepada kita daripada terjebak dengan fahaman sesat ini

Musa said...

Saya dah lama faham tentang hal ni. Maklumlah dulu sekolah arab. Tapi persoalan saya, betulkah ada ulama yang berpendapat iblis tu dari keturunan atau golongan malaikat ? Orang yang punyai fahaman macam tu belum layak lagi digelar sebagai Ulama.