Thursday, November 15, 2007

Kebesaran atau Sindiran dari Allah?

8
oleh Muhammad Ibn 'Az



Assalamulaikum dan salam sejahtera kepada semua…Harap semuanya dalam keadaan sihat dan tenang fikiran pada setiap masa.. Saya terpanggil untuk menulis artikel ini setelah saya mengambil sekeping gambar pokok duit-duit yang membentuk nama Allah dibahagian belakang rumah saya. Gambar seperti di bawah..

Sambil membelek-belek gambar tersebut, teringat saya kepada ratusan keping gambar yang lebih kurang serupa tujuannya yang banyak tersebar dalam internet. Saya pernah menyaksikan banyak gambar nama-nama Allah yang muncul pada kaki langit, pada buah kurma, pada tumbuh-tumbuhan, api, badan manusia, tompokan kulit lembu, sarang lebah, permukaan bulan dan sebagainya. Pada kebiasaannya saya kurang mengambil perhatian dengan gambar-gambar sedemikian. Bagi saya, ia hanyalah gambar-gambar yang menyatakan kekaguman bagi mereka yang menilaikannya sebagai hebat dan bukti kekuasaan Allah. Biarpun kurang memberikan perhatian, gambar-gambar sedemikian jelas mencuri juga tumpuan saya untuk menyaksikan kelainan dan keunikan setiap satu dari gambar-gambar tersebut. Tetapi yang lebih mengharukan ialah, pada setiap kali gambar tersebut dipaparkan, pasti ianya akan disertakan dengan kalimah sebegini… “Kebesaran Allah!” atau pun “Bukti KeAgungan Allah”. Benarkah gambar-gambar sebegini boleh dijadikan hujah untuk menunjukkan Kehebatan, Keagungan dan Kebesaran Allah? Sedangkan pada saya, kita tidak langsung perlu akan gambar-gambar sebegini untuk mengetahui serta menyedari akan kehebatan Allah terutamanya dari segi cara Dia menciptakan makhluk-makhlukNya. Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 190-191:

Ali Imran 190 -191
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi Ulil Al Bab (orang-orang yang berakal); (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Allah s.w.t. menyatakan bahawa hamba-hambaNya yang digelarkanNya sebagai Ulil Al Bab merupakan antara golongan hamba-hambaNya yang sentiasa melihat, merenung dan mengkaji serta cuba memahami persekitaran mereka. Mereka menilai semua yang diciptakan oleh Allah dan mengambil pengajaran daripada pemerhatian mereka itu dan sekaligus mendekatkan diri mereka kembali dengan lebih rapat bersama keimanan yang teguh berpaksikan tauhid hanya kepada Allah. Ini kerana kekaguman yang hadir dalam hati mereka setelah pemerhatian tersebut dibuat, hanya menuju kepada satu kesimpulan yang menunjukkan semua ciptaan Allah itu mengandungi kehebatan yang tak terjangkau oleh kemampuan dan keupayaan minda manusia. Allhuakbar! Allah Maha Besar!

Jika kita merujuk Al-Qur’an, terdapat banyak ayat-ayat dari Pencipta seluruh alam ini sendiri yang menyuruh hamba-hambaNya yang muslim memerhatikan sekeliling mereka dengan menggunakan akal supaya apa yang diperhatikan oleh mereka itu kelak akan mendatangkan manfaat kepada keimanan mereka kepada Allah serta membawa kebaikan kepada kemanusiaan sejagat. Oleh kerana timbul satu perasaan kurang senang yang menerjah hati dan minda saya apabila saya menatapi gambar kalimah Allah yang terhasil dari bentuk-bentuk susunan daun pokok duit-duit tersebut, lantas timbul beberapa persoalan dalam minda kenapakah Allah membentuk rupa pokok tersebut sedemikian rupa dan mentakdirkan saya terpandang kepadanya. Begitu juga dengan kalimah Allah yang saya perasankan terbentuk pada jari telunjuk tangan kanan semasa dalam kedudukan tahiyyat dalam solat satu ketika dulu. Saya pernah menerbitkannya dalam posting saya sebelum ini. Ianya merupakan posting saya yang paling banyak sekali tersebar dalam internet, bagi yang jujur, mereka menyatakan dengan jelas bahawa artikel tersebut diambil dari blog saya. Ramai yang meminta keizinan untuk memasukkannya ke dalam blog mereka dan saya izinkan dan mereka sebenar-benarnya jujur dengan saya, tidak kurang juga yang kurang amanah dengan membuat beberapa pengubahsuaian dan menyatakan itu garapan mereka sendiri. Terpulanglah... posting tersebut boleh dibaca di sini. (Klik)

Tetapi semenjak dari saya mengambil gambar pokok duit-duit tersebut baru-baru ini, ada semacam rasa kurang senang dalam hati dan minda saya dengan perkara tersebut. Apakah saya telah tersalah tafsir akan motif dan maksud disebalik beberapa peristiwa pelik tersebut? Apa maksud semua ini? Kenapakah sejak akhir-akhir ini terlalu banyak peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian seumpama itu yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri? Jika akhbar tabloid antara bahan bacaan anda sehari-hari, pasti anda akan bersetuju dengan saya bahawa sejak akhir-akhir ini terlalu banyak dan kerap kejadian dimana individu-individu menjumpai atau memiliki sesuatu yang terpampang kalimah Allah padanya. Dan pada setiap kali berita itu dimuatkan dalam akhbar-akhbar sedemikian rupa, pastinya mereka tidak lupa untuk menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan satu tanda yang menunjukkan kebesaran Allah. Tidak salah menyabitkan peristiwa yang dikatakan istimewa itu dengan Keagungan Allah dan Kebesaran Allah. Tetapi yang saya kerap perhatikan ialah kebanyakan kita lebih terpana dengan keajaiban kosmetik perkara-perkara tersebut, tetapi kita terlupa kepada saranan sebenar oleh Allah Yang Menciptakan setiap satu dari makhluknya penuh dengan kehebatan. Tidak kira sebesar mana pun atau sehalus mana pun ciptaanNya, ianya terlalu hebat untuk digarap oleh pemikiran manusia kecuali bagi yang lembab akal.

Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, Ketua Pengarah IKIM, menulis sebuah rencana dalam akhbar Mingguan Malaysia dalam ruangan Cetusan Pemikiran yang diterbitkan pada Ahad 18 Ogos 2007. Mengambil kata-katanya dalam rencana tersebut,

“Agama Islam bukanlah agama untuk kalangan orang bebal dari segi akal fikiran....”

Kebetulan kenyataannya itu diterbitkan dikala saya ingin menjelaskan isu dalam artikel ini. Apa yang dkatakannya itu sangat benar. Allah s.w.t. sendiri sentiasa mengingatkan manusia terutamanya kita yang Muslim ini agar sentiasa mengutamakan akal dalam apa jua perbuatan dan tingkah laku. Setiap apa yang dibawa kehadapan kita perlu ditangani dengan kebijaksanaan akal berbekalkan panduan kepada Al-Qur’an dan As Sunnah. Tiada ibadat dalam Islam boleh dilakukan tanpa kehadiran akal yang waras. Akal diletakkan ditempat yang tertinggi dalam Islam. Hanya yang berakal sahaja dapat menilaikan antara kebodohan, kepura-puraan, ikut-ikutan dan sembrono. Setelah merujuk kepada Al-Qur’an, amat jelas apa yang yang kita war-warkan serta agung-agungkan sebagai ‘Kebesaran Allah’ atau ‘Keagungan Allah’ itu, tidak hanya sekadar menunjukkan betapa kita sebagai hamba-hamba Allah yang Muslim sangat jarang atau tidak pernah menggunakan akal dalam melihat ‘Kebesaran’ sebenar Allah s.w.t. sebagaimana yang Allah s.w.t. mahukan kita menggunakannya. Tidak percaya? Mari kita lihat satu persatu gambar-gambar dibawah dan kita tengok sendiri apa yang Allah s.w.t. wahyukan kepada kita:

LEMBU & TERNAKAN:

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.
(An Nahl : 66)


-Tidak langsung tercatat yang Allah s.w.t. menyuruh kita memerhatikan mana-mana tompokan yang ada pada kulit lembu itu supaya dapat kita mengagumi Kehebatan serta Keagungan Allah. Yang disuruh Allah ialah, memerhatikan sains disebalik kehebatan Ilmu Allah yang menukarkan darah lembu dan makanan yang dimakannya sehingga menjadi susu-susu yang membawa manfaat kepada manusia. Apakah perlu sehingga tompokannya membentuk nama Allah, barulah kita tersedar dari lamunan dan baru hendak sibuk mencanangkan kebesaran Allah hanya berdasarkan sesuatu yang kosmetik sebegini? Cuba bayangkan sekiranya Allah tidak langsung mentakdirkan berlakunya tompokan-tompokan di badan lembu tersebut membentuk nama Allah, maka selamanya Muslim yang tidak langsung mahu menggunakan akal tidak akan nampak ‘Kebesaran Allah’ pada penciptaanNya tersebut. Perlukah sehingga Allah membentuk tompokan pada badan lembu tersebut sehingga membentuk Kalimah Allah, barulah kita sibuk mencanangkan, memalukan kompang, mendabik dada serta berebut-rebut menghantar email berantai ke seluruh dunia menyatakan ‘Kebesaran Allah telah muncul pada badan seekor lembu.. lihatlah dunia!!! Allahuakbar!!! Kembalilah semua ke jalan Islam!!!!!!!’... Lembab sangatkah otak kita sehingga perlu bagi Allah membentuk Kalimah-kalimah namaNya pada badan lembu-lembu terbabit supaya memudahkan muslim yang malas menggunakan otak untuk menyedari akan KehebatanNya? Apakah Allah ingin membantu kita yang malas menggunakan otak atau pun kita disindir dengan sindiranNya kerana malas menggunakan akal? Sekiranya seseorang menghantar kepada kita gambar seperti dibawah dan menyatakan dalam tajuk email tersebut, ‘Kebesaran Allah’, pasti tiada yang akan menjadikannya sebagai email berantai dan silap-silap akan dihamun pula penghantar email tersebut kerana seolah-olah bagi mereka sipenghantar email tersebut cuba mempermainkan mereka. Sedangkan sangat cukup gambar tersebut bagi para ‘Ulil Al Bab’ untuk mencetus kekaguman dalam minda mereka mengagumi dan melihatkan kepada ‘Kebesaran Allah dan KeagunganNya’. Tak percaya? copy dan paste gambar lembu dibawah ini kedalam email anda dan forwardkan kepada saudara-saudara atau rakan-rakan anda yang tidak lagi membaca artikel ini, dan tengok akan apa reaksi mereka? Letakkan tajuknya ‘Kebesaran Allah’ dan lihat cara mereka menggunakan akal, samada menurut apa yang Allah mahukan atau perlu bagi Allah untuk menyindir mereka juga?



Tamar @ Kurma :
 
Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya. (An Nahl 67)


-Gambar tersebut merupakan antara banyak gambar yang diwar-warkan dan dicanangkan sebagai ‘Kebesaran Allah yang ditunjukkan pada bulan Ramadhan’. Benar, ia sebahagian kecil dari tanda-tanda kebesaran Allah... Persoalannya, jika sehingga kiamat, kalimah-kalimah yang dikatakan sebagai ‘Kalimah-kalimah Allah’ tidak muncul pada buah tamar tersebut, apakah kita akan sedar yang kurma dan semua buah-buahan yang ada dimuka bumi ini merupakan tanda-tanda kebesaran Allah? Apakah itu yang Allah s.w.t. suruh kita perhatikan? Jika nama kita Doraisamy atau Ah Peng atau Benjamin Stephen, dan kita tak pernah nampak semua buah-buahan ciptaan Allah itu sebagai tanda-tanda kebesaran Allah, itu kes yang lain. Tapi kita sebagai Muslim dari berbagai bangsa dan rupa ini, kenapakah kita sangat buta dalam memerhatikan dan menyedari bahawa buah-buahan yang Allah s.w.t. ciptakan untuk kegunaan kita, dan kita gunakan untuk pelbagai tujuan termasuk perubatan dan minuman itu merupakan Keagungan dan Kebesaran Allah yang Dia sendiri suruh perhatikan? Apakah kita golongan yang tidak mahu menggunakan akal? Atau apakah kita kaum yang tak mahu berfikir? Tidak cukupkah gambar sebagaimana di bawah ini untuk mencetuskan kesedaran kepada kita tentang tanda-tanda Kebesaran Allah pada buah Tamar/Kurma dan manfaat yang boleh kita perolehi dan gunakan untuk kebaikan manusia dari Penciptaan Allah ini?


Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.
(Ar Ra'd 4)

Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
(An Nahl 11)

Lebah , sarangnya dan madu :
 
Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (An Nahl 68 & 69)

Apakah kita sebagai muslim terlalu buta untuk memperhatikan kehebatan Allah pada setiap pekerjaan yang dilakukan oleh lebah-lebah ini dan segala manfaat yang kita perolehi darinya, sehinggakan perlu pula bagi Allah menyindir kita dengan mengilhamkan kepada lebah-lebah itu tadi supaya membentuk sarangnya seakan nama-nama Allah, barulah kita hendak sedar akan kebesaran Allah itu hanya pada namaNya yang terbentuk? Sedangkan apa yang disuruh Allah untuk diperhatikan ialah sistem hidup lebah, manfaat yang ia bawa kepada pertumbuhan flora, kehebatan dan ketepatannya dalam keluar dan mencari jalan pulang, bekerja keras tanpa henti-henti, membentuk sarang-sarangnya dalam bentuk heksagon dan ada yang oktagon, keupayaannya mempertahankan diri dan koloni, sarangnya yang mendatangkan manfaat kepada haiwan dan manusia dan sebagainya yang merupakan ciptaan Allah yang penuh kehebatan yang dianugerahkanNya kepada lebah untuk manfaat khalifah muka bumi ini. Inilah tanda yang dicari dan ternampak oleh orang-orang yang berfikir. 

Bukan hanya menunggu sehingga sarangnya terbentuk seakan-akan nama-nama Allah barulah kita sibukkan dengan mencanangkan kehebatan Allah! Apakah kita terlalu bebal atau terlalu lembab akal? Melihat yang kosmetik dan melupakan yang fantastik? Tidak terasakah kita disindir Allah dengan kejadian-kejadian seperti dalam gambar ini? Tidak cukupkah hanya sekadar gambar biasa lebah dan sarangnya untuk membuka minda kita mengagumi Keagungan Allah dan Kehebatan CiptaanNya itu? Apakah perlu sehinggakan ia mengukir sarangnya sehingga membentuk nama-nama Allah barulah kita tersedar dari lamunan dan sekadar terpana hanya dengan sesuatu yang kosmetik? Tidak langsung tercatat dalam mana-mana ayat dalam Al-Qur’an yang Allah s.w.t. ajukan kepada semua muslim supaya memerhatikan nama-namaNya terpapar pada ciptaanNya untuk mengagumi akan kebesaranNya. Sebaliknya apa yang dianjurkan oleh Allah kepada kita ialah memerhatikan kehebatan disebalik penciptaan makhluk-makhlukNya itu. Apakah kita ini golongan yang tak mahu berfikir?


Tanda-tanda Kekuasaan Allah pada Penciptaan Langit dan Bumi:
Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.
(Yusuf 105)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
(Ali Imraan 190)

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri?
(An Nahl 44)

"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
(Nuh 15)

Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
(Ar Ra'd 3)

Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.
(An Nuur 44)

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.
(Az Zumar 21)

Sukar sangatkah bagi kita untuk memikirkan akan kebesaran Allah dengan hanya merenung kepada awan dan langit di atas kita. Tidak nampakkah kita dengan kebesaran Allah dengan hanya melihat dan merenung gambar awan dan langit seperti di bawah ini?
 
Kenapakah sehingga perlu kepada Allah untuk mengaturkan gerakan awan-awan tersebut sehingga membentuk Kalimah Allah, barulah kita sibukkan dengan mencanangkan ‘Kebesaran Allah’ dan ‘Keagungan Allah’? Apakah kita kaum yang tidak menghiraukan dan memikirkan? Atau apakah kita orang-orang yang tidak berakal? Atau boleh jadi kita kaum yang tidak mahu berfikir? Atau pun kita ini orang-orang yang buta mata hatinya sehingga menghalang kita dari berfikir? Apakah kita semua hamba-hamba Allah yang tidak sempurna akalnya? Tidak terasakah kita disindir Allah dengan Kalimah-Kalimah yang mempamerkan namaNya ini? Menunggu yang kosmetik dan melupakan yang fantastik! Bayangkanlah jika nama-nama Allah itu tidak muncul di kaki langit, pada buah tamar, pada sarang lebah, pada tompokan lembu tersebut sehingga kiamat, apakah kita sanggup untuk menghantar dan mencanangkan kepada dunia dengan hanya gambar-gambar biasa lembu tanpa nama Allah, sarang lebah tanpa nama Allah dan gambar awan-awan biasa tanpa kalimah Allah dan mendabik dada mengatakan itu semua merupakan kebesaran Allah? Hanya yang menggunakan akal sahaja yang sanggup untuk berbuat demikian sepertimana suruhan Allah... fikir-fikirkanlah... apakah kita mahu berfikir dan menggunakan akal sebagaimana yang Allah s.w.t. mahukan atau pun kita kekal menunggu kemunculan kalimah-kalimah Allah pada mana-mana objek supaya dapat kita sedari bahawa objek tersebut merupakan tanda kebesaran Allah....? 

Sesungguh apa yang Allah s.w.t. suruh kita perhatikan itu, adalah supaya kita sendiri akan dapat mengambil banyak manfaat dari apa yang kita perhatikan dan fikirkan. Bukan hanya setakat mendekatkan diri kita kepada Allah, malah kita juga akan menjadi antara hamba-hamba Allah yang paling maju kehadapan. Sekiranya sikap kita yang hanya tersedar apabila sesuatu yang kosmetik berlaku, maka selayaknyalah kita di bom setiap hari oleh kuffar laknat dengan segala teknologi yang telah mereka perhatikan, selidiki dan ambil pengajaran setelah semua muslim yang sepatutnya bersikap demikian hanya menunggu kalimah-kalimah Allah muncul. Entahlah.. tepuk dada tanyalah iman... 

Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
(Ar Ruum 8)

wallahua’lam....

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

8 comments:

Anonymous said...

bagusla memberi kesedaran.

Anonymous said...

assalamualaikum..
pada pendapat sy,xpayah la kite nk hebah2kan,adakah ini sindiran atau keagungn Tuhan.Semua org tahu,ape yg Tuhan jadikan ade hikmahnye.Bg org muslim yg mmpu berfikir dgn rasional,semue kejadian ni mngingatkn kite kembali pada Allah.kpd yg terlupe,apabila beliau melihat perkara2 ini,insyaallah akan terdetik di hatinya bahawa wujudnya Tuhan yg patut disembah.kpd yg beriman,apabila terlihat perkara2 ini,maka akan terkeluarlah perkataan Subhanallah dari mulutnya.Bukankah bgus sedemikian?Kebesaran,Keagungan Allah itu Maha Luas,jauh dr sudut akal kite.maka x perlulah kite mmpersoalkannye.cukup sekadar kite beriman dan beramal soleh.

Anonymous said...

SALAM..

1stly congrate co's berani dengan satu statement yang membuka minda pembaca untuk berfikir..

bagi saya, andai kita berani berfikir dan mencari jawapan, pasti jawapan yang kita dapat...andai kita cuba mencari kesalahan, salah yang kita dapat..

alhamdulillah, masih ada seorang muslim yang mahu berfikir dan mahu berkongsi ilmu dengan semua orang yang kadangkala langsung tak terfikir apa yang berlaku..

Terima Kasih

Anonymous said...

Assalammualaikum W.B.T,

Semua yang kita nampak itu merupakan kebesaran Allah S.W.T.. Saya belum nampak lagi ayat Al-Quran yang mengatakan wujudnya Sindiran Allah S.W.T melalui kejadian / ciptaan.

Ingatlah apa yang berlaku, akan berlaku hanya melalui izinNya.

Ikut "Logik", samakah orang yang menulis nama Allah S.W.T di atas batu dan pokok (sengaja) dengan pernyataan di bawah ini:
1. Batu itu sendiri tiba-tiba memaparkan nama Allah S.W.T secara semula jadi tanpa buatan Manusia..
2. Pokok-Pokok yang dengan sendiri membentuk kalimah Allah S.W.T tanpa buatan Manusia
3. Dan macam-macam benda yang membentuk kalimah Allah S.W.T tanpa buatan Manusia

Tidak akan berlaku dalam pernyataan nombor (1), (2), dan (3) di atas tanpa keizinanNya.

zul said...

memang satu sindiran dari ALLAH SWT. banyak kali dia tunjuk nama dia.tapi tak ramai yg ambil peduli.masih buat tak tau dan takmau ambik tau siapa kah Dia iaitu Tuan dunia dan Tuan akhirat.kebanyakan hanya tau 'alif lam lam ha' atau huruf A L L A H.siapa Dia = tuhan ..itu saja yg kita tau.kalau begini lah iktikat atau pengetahuan kita terhadap ALLAH SWT, maka samalah kita dengan kafir.org kafir pun tau mcm mana yg kita tau di atas ni.islam dgn kafir kena lah ada beza.islam sebenar ialah tahu siapa tuhan nya dan tahu siapa dirinya.p mengaji tauhid untuk lebih tahu.tapi sayang tak banyak guru yg boleh kupas secara terperinci dan betul.kalau betul2 ingin jadi islam sebenar p la cari guru yg mursyid di tempat pengajian pondok.

Anonymous said...

memang satu sindiran dari ALLAH SWT.banyak kali Dia tunjuk nama Dia.tapi masih ramai yg buat tak tau dan tak mau ambik tau siapakah Dia ALLAH SWT.kalau setakat tau ALLAH ni tuhan atau alif lam lam ha atau huruf A L L A H, sama lah kita dgn kafir.kafir pun tau ALLAH ni tuhan.islam dgn kafir kena la berbeza.islam sebenar ialah tahu atau mengenal siapakah ALLAH SWT dgn sebenarnya dan tahu siapakah kita.p cari guru yg mursyid di pengajian pondok dan blajar tauhid.tak semua guru yg boleh kupas secara terperinci siapakah ALLAH dan siapakah kita.alhamdulillah aku bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberi ilmu tauhid yg ku pelajari dari guru ku.

nur damia said...

Assalamualaikum..
pada pendapat saya,ini semua petunjuk dan peringatan Allah, agar kita hamba tidak alpa dan terlupa akan Nya.
ia mungkin terasa satu sindiran bagi mereka yg terlupa pada Tuhan Nya..tp pada mereka yg sentiasa mengingati Allah akan mganggap ia satu kebesaran.
Yang penting kita perbaiki diri dan jgn lupa Allah.

Anonymous said...

salam... bg sye, post anta ni hnye akan mngelirukan umat Islam mahupun bukan... Allah Maha Besar.. Tiada satu rugi pun pada Allah jika kita tidak mengendahkan Dia... jadi, dr segi tajuk saudara yg mnyatakan ini adalah sindiran Allah seolah2 Allah ingin mnarik perhatian hmbanya smata2 untuk beribadat kpd-Nya... mohon anta mengubah sdikit post ini mnjadi lbih molek....