Thursday, October 11, 2007

Jika Allah itu Maha Adil, Kenapakah Dia menciptakan sesetengah manusia itu sempurna dan sesetengah manusia itu penuh dengan kekurangan dan kecacatan?

oleh Muhammad Ibn Az

Ramai juga yang mempersoalkan keadilan Allah dalam perkara sebegini. Antara pertanyaan yang sering dibisikkan syaitan ke dalam hati ialah kenapakah Allah menciptakan sesetengah manusia itu sempurna dan sesetengah manusia itu penuh dengan kekurangan dan kecacatan jika Allah itu Maha Adil. Sebenarnya tiada kekurangan yang Allah s.w.t. berikan kepada semua manusia. Semuanya diberikan Allah dengan samarata. Setiap kekurangan yang Allah berikan akan Allah s.w.t. tampung dengan nikmat yang kita tak pernah sedar pun. Kekurangan hanya kelihatan pada mata yang melihat dengan hati, tapi keistimewaan dan nikmat yang tinggi hanya dapat dilihat oleh mata yang melihat dengan akal dan iman. Sebenarnya, kecacatan itu sendiri ditampung Allah dengan kelebihan-kelebihan yang tak ternampak. Tak percaya? InsyaAllah saya akan buktikan sebentar lagi.

Suka saya mengambil contoh orang buta. Ini kerana pernah satu ketika saya melihat seorang buta berjalan-jalan setiap hari di jalanan yang sering saya lalui ke tempat kerja. Lalu syaitan pun berbisik, 'kasihan orang itu… apa yang boleh dilakukannya dengan tidak dapat melihat..bagaimana dia dapat melakukan kerjanya.. bagaimana dia dapat mencari nafkah untuk membela anak isterinya… adilkah Allah membiarkan dia hidup dengan tidak dapat melihat?'. Lamunan sedemikian membuka lebih ruang kepada syaitan untuk membisikkan bermacam perkara lagi ke dalam hati. Apa yang mampu saya buat ketika itu ialah, cuma memohon perlindungan dari Allah dari bisikan syaitan ini. Cuma apabila saya pulang ke rumah, barulah Allah s.w.t. membuka pintu akal supaya melihat bahawa apa yang saya lihat itu dan bisikan syaitan ke atas saya itu terdorong dari mata yang memerhati dengan hati, hati pula tempat nafsu bersarang dan nafsu pula ialah sahabat karib Iblis dan syaitan. Maka apabila Allah s.w.t. membukakan akal saya untuk memerhati, maka barulah terlihat oleh saya betapa Allah menggantikan nikmat mata yang tidak diberikanNya kepada orang buta tersebut dengan nikmat-nikmat yang lebih besar. Subhanallah.. Maha Suci Allah dari segala kekurangan.

Benar.. Allah s.w.t. menukarkan nikmat mata yang tak diberikannya kepada mereka yang buta dengan berbagai-bagai nikmat yang nampak dan tak ternampak oleh kita. Pertama sekali ialah, mereka ini walaupun mata mereka tidak berfungsi, tetapi hati mereka seakan melihat. Ini dari pengalaman saya sendiri, pernah satu ketika ketika hendak keluar untuk membeli belah dengan isteri, kereta yang saya pandu melintasi seorang pemuda buta di Seberang Jaya yang cuba untuk melintas jalan. Isteri saya yang sedar akan perkara tersebut memberitahu saya supaya dibantu pemuda tersebut. Lalu saya pun memberhentikan kereta dan berjalan ke arahnya. Apabila ditanya kepadanya apakah dia memerlukan bantuan untuk melintas jalan, pemuda tersebut menolak dengan baik pelawaan saya untuk membantunya. Kagum dengan keyakinannya, saya menunggu di dalam kereta sehingga dia melintas jalan tersebut. Yang saya perhatikan ialah cara yang digunakannya untuk melintas jalan besar yang sibuk di depan kedai Key's Char Koay Teow. Dia mulakan langkah dengan berhati-hati kemudian mengangkat tongkatnya dengan melintangkannya separas kepala seakan memberikan isyarat bahawa dia akan melintas. Kemudian dia melintas dengan selamat menuju ke perhentian bas berhadapan jalan tersebut. Subhanallah.. tak dapat saya bayangkan ketidakupayaan saya untuk melakukan perkara yang serupa jika ditutup mata saya. Dari sini baru saya sedar bahawa Allah s.w.t. melengkapkan mereka yang buta ini dengan hati yang celik. Lalu saya kembali terfikir, saban hari saya membaca akhbar, setiap hari lah juga saya membaca banyak berita mengenai kemalangan yang berlaku samada melibatkan kenderaan yang dipandu atau pun melibatkan pejalan kaki. Mengikut statistik polis, kebanyakan dari kemalangan jalanraya adalah melibatkan penunggang motosikal dan pejalan kaki. Yang menakjubkan, dalam setiap berita kemalangan yang saya baca dalam akhbar tersebut, tiada yang buta terlibat. Sedangkan mereka ini sentiasa ada bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan tak dapat melihat. Sentiasa mereka ini sentiasa ada saban hari melintas jalan dengan tidak berpandukan daya penglihatan. Tetapi pernahkah kita terfikir semua yang terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan setiap hari dalam akhbar itu boleh dikatakan semuanya celik dan boleh melihat? Bukankah ini menunjukkan Allah s.w.t. menggantikan nikmat mata yang tak dapat digunakan mereka dengan nikmat keselamatan sedangkan mereka ini juga melakukan aktiviti yang serupa di jalanan dengan kita? Hebat bukan? Dengan menggunakan contoh orang buta ini, saya berani membuka satu cabaran kepada semua pengunjung blog ini untuk membuktikan apa yang dikatakan saya ini salah. Saya cabar semua pengunjung blog ini supaya dapat mengemukakan kepada saya dalam tempoh seminggu ini mana-mana keratan akhbar tempatan (berbahasa Melayu atau Inggeris saja… Tamil Nesan, Sin Chew Jit Poh dan sebagainya terpaksa ditolak kecuali jika ada yang boleh menterjemahkannya) yang melaporkan berita kemalangan yang melibatkan orang-orang buta sebegini. Jika ada emailkan kepada saya dan saya akan membalas usaha anda dengan CD ROM World Religious Scriptures dan eBook Syahadah secara percuma. Sahut cabaran saya dalam tempoh tujuh hari ini bermula malam ini dan berakhir pada 17 Oktober 2007 1200 tengah malam. InsyaAllah, saya pasti yang amat sukar untuk kita ketemu dengan berita kemalangan yang sedemikian rupa. Bukankah ini menunjukkan mereka mempunyai kelebihan berbanding kita yang celik ini?

Perlu diingat, kekurangan dalam bentuk kecacatan sebegini bukanlah bermakna ianya tidak setaraf dengan manusia lain yang lebih sempurna, tetapi merupakan nikmat Allah yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya supaya apa saja yang biasa dilakukannya, akan membawa impak pada skala luar biasa. Sebagai contoh, seorang pelajar yang buta dan berjaya sehingga mendapat 10 A 1 dalam keputusan S.P.M.nya. Di sekolah yang sama, ada seorang lagi pelajar yang celik mendapat keputusan yang sama. Pada fikiran anda, siapakah yang akan menjadi tajuk perbualan dan tajuk utama muka depan akhbar-akhbar tempatan? Tentulah pelajar yang buta tersebut kan?… ini menunjukkan daya usaha biasa yang mereka ini lakukan akan memberikan hasil atau pulangan dalam bentuk nikmat yang berkali-kali ganda. Itu tak dikira lagi berapa selamatnya dia dari dosa-dosa mata yang saban hari kita yang celik ini menanggungnya. Buka saja mata, terus berdosa, keluar saja rumah terus terpalit dengan dosa. Ini tak dapat dielakkan terutamanya bagi kita yang tinggal di negara majmuk sebegini. Kita tak boleh memaksa yang bukan Islam untuk menutup aurat demi semata-mata untuk menjaga dosa pahala kita, kerana itu hak mereka selagi tidak melampaui batas. Tapi yang turut menjadi masalah ialah yang Islam juga berkelakuan dan berpakain seperti bukan Islam. Firman Allah dalam surah An Nur ayat 30 dan 31, Allah s.w.t. menyuruh kita menundukkan pandangan. Betapa beruntungnya orang-orang yang buta ini yang tak tertanggung dengan dosa-dosa buta yang kita tanggung. Tapi Allah s.w.t. itu Maha Pengampun, bagi setiap solat dan amal kebajikan yang kita lakukan, dosa-dosa buta atau kering ini gugur sebagai satu dari Rahmat Allah kepada kita. Itu bagi yang sembahyang, bagi yang tak sembahyang, sahamnya dalam dosa akan bertambah dan terus bertambah kerana tak pernah disucikan melalui jalan-jalan yang sudah tersedia.




Perhatikan saja mereka-mereka yang termasuk dalam golongan istimewa ini yang berjaya. Terlalu banyak contoh yang boleh dikemukakan. Suka saya mengambil contoh Prof Datuk Dr. Ismail Md. Salleh, yang buta semenjak kecil tetapi dia kini antara orang yang berpengaruh di negara ini. Dia juga pernah dilantik menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (Mapen II) bagi memastikan ekonomi negara selamat dari segala bentuk serangan dan menjanakan ekonomi supaya rakyat hidup makmur. Beliau juga pernah menjadi Deputy Director-General di ISIS (Institut Pemikiran Strategik Negara) dari tahun 1993-1994. Kini beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor sebuah kolej di tanah air. Betapa besar sumbangannya kepada kita yang celik ini. Apakah majoriti dari kita yang celik ini berupaya melakukan perkara yang serupa? Berapa ramai yang celik terutamanya majoriti lelaki-lelaki melayu yang buta hatinya tak mahu memperdulikan bakal nasib bangsa dengan tidak langsung peduli tentang persekolahan. Jangan harap akan menjadi sebagai Naib Canselor Universiti jika untuk melangkah kaki ke universiti pun tidak dipedulikan. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w., di akhir zaman nanti nibah wanita kepada lelaki ialah 50 kepada 1. Setiap seorang lelaki bagi setiap 50 wanita. Benar … sabda Rasulullah s.a.w. ini sedang menjadi kenyataan sedikit demi sedikit. Mungkin ramai yang akan mempertikaikan ini dengan mengambil contoh nisbah jantina di Malaysia yang sekarang ini dalam keadan hampir setara iaitu 1.04 lelaki kepada 1 wanita. Tapi sebenarnya mereka lupa untuk membuka mata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. ini telah pun berlaku. Lihat saja peratusan kaum wanita yang layak ke IPT iaitu sebanyak 80 % dari mereka merupakan pelajar wanita. Bukankah perangkaan ini menunjukkan peratusan pelajar lelaki kepada wanita ialah semakin hampir kepada apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. 1 kepada 50. Jika berpandukan kepada peratusan pelajar tersebut, maka dapat kita simpulkan yang bagi setiap 10 orang graduan lelaki yang keluar dari IPT, maka akan lahir pula 40 orang wanita. Jadi cuba fikirkan apabila graduan-graduan wanita ini hendak berumahtangga. Pastinya mereka perlu mencari pasangan yang sepadan atau sekufu dengan mereka. Masalahnya, jumlah lelaki yang setaraf dengan mereka adalah sangat sedikit. Yang ramainya ialah golongan rempit dan lepasan sekolah dengan kelulusan yang cukup makan. Maka untuk mengubati sindrom tiada pasangan sekufu ini, remedi terbaiknya ialah poligami. Tetapi remedi ini pula yang ditentang habis-habisan oleh golongan yang merasakan akal mereka sangat bijak dan memperjuangkan hak-hak yang membuta tuli saja sondolannya. Maka akan lahirlah lebih ramai lagi golongan Spinster In Islam hasil tolakan kepada remedi hasil hasutan pengaruh barat ini. Jika remedi ini diterima, maka tiada masalah untuk memnuhi kuota. Cukuplah bercakap pasal poligami ini kerana rata-rata orang cukup tidak suka bila disentuh bab ini.

Berbalik kepada mereka-mereka dari golongan istimewa. Siapa cakap mereka ini tidak mampu untuk berjaya. Contoh Prof Ismail Md Salleh tadi sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka yang tiada keupayaan untuk melihat, tetapi dapat memberikan sumbangan yang amat luar biasa kepada Negara. Banyak lagi nama yang amat saya kagumi, antaranya Stephen Hawking yang terkenal dengan bukunya, A Brief History Of Time. Beliau lumpuh seluruh anggota badan, tetapi hasil kerjanya dalam bidang fizik dan sains kosmos melangkaui keupayaan kebanyakan mereka yang dilahirkan sempurna.


Bukankah ini menunjukkan bahawa Allah itu Maha Adil? Diambilnya sedikit nikmat, tetapi dihujankannya dengan jutaan rahmat dan nikmat lain sebagai pengganti. Cabaran saya kepada anda semua untuk membuktikan dengan mencari berita orang-orang buta mengalami kemalangan dimulakan sekarang. Carilah… tengok saja akhbar esok, lusa sehingga tamat tempohnya. Perhatikan apakah mangsa kemalangan yang dilaporkan itu buta atau celik seperti kita? Emailkan kepada saya nanti jika berjumpa. Wallahua’lam…

© 11 Oktober 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.


eNovel dari pemilik blog satuhala Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...



Dapatkan juda CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email