Thursday, October 4, 2007

Jika semua Nabi itu Islam, dari mana pula datangnya Yahudi dan Nasrani? Bahagian 1

0

Oleh Muhammad Ibn 'Az

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan Sekelian alam zahir, ghaib dan alam-alam yang tak pernah diketahui dan dikenali manusia. Selawat dan salam bagi baginda Rasulullah s.a.w. Rahmatan lil 'alamin yang tercinta dan doa kesejahteraan bagi semua Ahlul Bait, para sahabat, Tabi'in, syuhada, alim ulama', mereka-mereka yang disayangi, dicintai dan diberkati Allah s.w.t. termasuk semua makhluk-makhluknya yang sentiasa bertasbih dan patuh kepada semua perintah Allah.

Seorang dari pembeli eBook Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist yang menamakan dirinya sebagai Shahrul telah melontarkan komen dalam Shoutbox yang terdapat dalam blog ini. Komennya adalah berkisar kepada satu persoalan yang dijelaskan dalam eBook Syahadah tersebut iaitu apakah agama Nabi Muhammad s.a.w. sebelum baginda dilantik sebagai Rasul dan Nabi. Dalam eBook tersebut telah dihuraikan dengan jelas apakah agama Nabi Muhammad s.a.w. sebelum tempoh kerasulan baginda.

Persoalan yang ditimbulkan Sharul di sini ialah sekiranya semua Nabi dan Rasul terutamanya Nabi Musa a.s. dan Isa a.s. juga merupakan Muslim, dari mana pula datangnya Yahudi dan Kristian.

Pertama sekali sebelum memberikan penjelasan lanjut, ingin saya tegaskan bahawa fakta yang menyokong kenyataan yang dibuat dalam eBook tersebut diambil dari Al-Qur'an dan Hadis Sahih. Untuk memberi kejelasan dan kefahaman kepada mereka-mereka yang tidak mempunyai eBook tersebut, disini saya huraikan kembali siapa dia Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul ini. Nabi-nabi dan Rasul-Rasul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., merupakan pembawa amanah dan Risalah yang merupakan dalam bentuk wahyu dari Allah s.w.t., sebagai ingatan dan pengetahuan kepada kita umat jin dan manusia, supaya mengenali dan mengetahui untuk apa tujuan kita diciptakanNya. Wahyu-wahyu yang diterima para Nabi dan Rasul ini juga merupakan satu bentuk panduan kepada jin dan manusia tentang apa itu pengertian hidup dan cara terbaik untuk menjalani hidup di dunia ini dan dalam masa yang sama mengetahui dengan jelas ke mana kita akan pergi selepas dari kehidupan ini. Setiap manusia tak kira sama ada dia beriman atau tidak, akan tiba satu ketika sunyi dalam hidupnya akan mempersoalkan apa tujuan sebenar dia hidup. Apakah kehidupan itu hanya setakat hidup sehingga 60 tahun dan kemudiannya mati? Apakah segala susah payah dan jatuh bangun dalam hidup ini hanya semata-mata untuk mati dipenghujung usia? Apa yang terjadi kepada diri kita ini sesudah itu?

Beruntunglah kita dilahirkan sebagai orang Islam. Segalanya jelas di depan mata. Setiap satu persoalan dibentangkan dengan jelas di depan mata tanpa perlu kita teraba-raba mencarinya. Semua persoalan berkenaan asal usul kita, apa tujuan kita dan ke mana kita pergi selepas ini semuanya terjawab dengan wahyu-wahyu yang Allah s.w.t. berikan melalui wakil-wakilnya di dunia yang merupakan para Nabi dan Rasul yang dilantik.

Persoalannya, kenapa Allah s.w.t. memerlukan Nabi dan Rasul untuk menyampaikan risalah wahyu, kenapa tidak diajarkan saja kepada semua manusia secara langsung?
Baru-baru ini, negara kita telah melangkah setapak lagi dalam arena pertahanan. Sekumpulan anggota tentera dan pegawai pegawai terpilih telah dihantar ke Peranchis untuk mengikuti latihan pengendalian kapal selam Scorpene berenjinkan diesel dengan pihak yang membinanya di Peranchis. Latihan itu dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih yang sangat terlatih dan cekap dalam semua aspek pengendalian dan kejuruteraan kapal selam tersebut. Kemajuan yang dicapai oleh anggota-anggota pertama kapal selam ini dalam latihan mereka sangat membanggakan. Cukup sekadar dilatih oleh jurulatih-jurulatih terpilih, anggota-anggota tentera kita ini dapat mengendalikan kapal selam tersebut dengan amat baik. Mereka tidak pun diajar secara langsung dengan jurutera yang merangka pelan membina kapal selam tersebut. Mereka juga tidak langsung diajar oleh CEO pemilik syarikat yang membina kapal selam tersebut. Bukankah lebih baik bagi mereka untuk belajar dengan si pencipta kapal selam itu sendiri secara langsung?

Begitulah juga dengan Nabi dan Rasul yang dilantik Allah, mereka-mereka ini diumpamakan sebagai jurulatih-jurulatih yang akan membantu kita untuk membentuk akidah bagi mengenali cara untuk hidup di dunia ini. Di samping kita dikenalkan oleh mereka tentang siapa itu pemilik seluruh alam ini dan hubungan kita denganNya.

Cuba anda bayangkan jika anda dihadiahkan sebuah pesawat Airbus A 380 yang diberikan julukan 'Giant of the skies', bolehkah anda terus mengendalikannya dan membawanya terbang. Tentulah tidak kan? Jika diberikan pula kepada anda sebuah buku manual tentang cara-cara untuk mengendalikan pesawat tersebut, bolehkah anda mengendalikannya dengan hanya membaca saja manual tersebut? Tentunya tidak boleh kan? Untuk membolehkan anda mengendalikannya dan menerbangkannya, pihak yang membina dan mencipta Airbus A 380 tersebut kemudiannya menghantar beberapa orang pakar sebagai jurulatih yang akan mengajarkan anda cara-cara mengendalikannya berdasarkan manual lengkap yang ditulis oleh jurutera yang membinanya. Dan dari sini anda mula belajar mengenal apa itu enjin pesawat, fiuslaj, kokpit, butang-butang kawalan, gear pendaratan dan cara-cara untuk mengendalikan pesawat tersebut supaya tidak memudaratkan anda dan orang-orang yang menumpang pesawat tersebut bersama anda. Tetapi, apakah boleh anda terus saja menerbangkannya sesudah mendapat tunjuk ajar yang lengkap? Tentulah tidak kan? Anda perlu menjalani beberapa siri ujian bagi mengenalpasti serta memastikan anda memang sebenar-benarnya layak untuk menerbangkan pesawat tersebut. Setelah banyak ujian yang anda lalui, akhirnya anda mendapat kelulusan dari pihak yang menciptakan pesawat tersebut untuk menerbangkannya.

Begitulah juga dengan kehidupan di dunia. Jika kita tidak mendapat bimbingan dari Yang Menciptakannya, manakan dapat kita mengetahui apa itu tujuan sebenar kita hidup dan apa arah tujuan kita sebenarnya. Kita semua telah diberikan kitab Al-Qur'an yang menerangkan secara lengkap tentang perihal kehidupan dunia, cara bagaimana kita seharusnya hidup di dunia ini dan kemana kita akan pergi selepas ini. Samalah seperti contoh pesawat A 380 tadi. Al-Qur'an itu tidak akan difahami melainkan melalui contoh dan tauladan serta penerangan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. melalui akhlak dan perilaku baginda. Maka untuk melayakkan kita terus menuju kejayaan di alam berikutnya, kita akan diuji dengan berbagai ujian supaya memastikan kita benar-benar layak mewarisi samada syurga ataupun neraka.

Maka Allah s.w.t. sebagai Pencipta, tak perlu kepada Dia untuk mengajar semua manusia secara langsung. Cukup sekadar Dia menghantarkan contoh-contoh manusia terbaik yang boleh diikuti. Mereka-mereka inilah yang merupakan Nabi-nabi dan Rasul-Rasul yang diutus. Jika semua manusia diajar secara langsung olehNya, maka tentulah tidak akan ada manusia yang tidak beriman hidup di dunia kerana semuanya pasti takut kepadaNya. Jadi ini bukanlah iman namanya. Iman itu bernilai tinggi apabila meyakini sesuatu sepenuh hati dan jiwa tanpa pernah melihat dan merasakannya.

Semua Nabi dan Rasul membawa risalah yang sama

Bermula dengan Nabi Adam a.s., manusia pertama yang dicipta oleh Allah s.w.t., risalah mengenai Islam diberikan Allah s.w.t. sedikit demi sedikit kepada manusia melalui manusia-manusia yang dilantik. Setiap Nabi dan Rasul akan membawa sedikit-demi sedikit pengajaran dan peringatan yang bersesuaian dengan kemajuan akal dan fikiran manusia.

Allah s.w.t. menyatakan sendiri di dalam Al-Qur'an bahawa setiap dari Nabi dan Rasul yang dilantik membawa ajaran yang sama iaitu Islam. Sebagai contoh ayat-ayat yang dibentangkan dibawah ini menyebut mengenai Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu yang membawa ajaran Islam.

Agama Islam yang dilengkapkan pada zaman Rasulullah s.a.w. merupakan kesinambungan kepada agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.
Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya menjelaskan kepada pengikutnya bahawa agama Islam yang diamanahkan Allah s.w.t. kepadanya untuk disampaikan merupakan kesinambungan agama yang dibawa oleh Nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya.

Katakanlah lagi: "Bukanlah aku seorang Rasul pembawa ugama yang berlainan dari ugama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu), dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata" (Al-Ahqaf ayat 9)

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik" (Al An 'Aam ayat 161)

"Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik," (An Nahl ayat 123)

"Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman," (Ali Imran ayat 67 dan 68)

Ayat-ayat yang menyatakan juga Nabi Isa a.s. dan pengikut-pengikutnya beragama Islam

"Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)," (Ali Imran ayat 52)

"Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa): "Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab: "Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)" (Al Maidah ayat 111)

Ayat-ayat yang menyatakan juga Nabi Musa a.s. dan pengikut-pengikutnya beragama Islam
"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)" (Al A'raaf ayat 126)

"Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri kepada Allah)," (Yunus ayat 84)

Ayat-ayat yang menyatakan juga Nabi Sulaiman a.s. dan pengikut-pengikutnya beragama Islam
"Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (An Naml ayat 38)

"(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam" (An Naml ayat 44)

Ayat-ayat yang menyatakan doa Nabi Yusuf a.s. supaya Allahmengekalkannya dalam Islam sehingga akhir hayatnya
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".
(Yusuf ayat 101)

Ayat-ayat yang menyatakan juga Nabi Lut a.s. dan pengikut-pengikutnya beragama Islam
"(Sesudah diperiksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut)," Surah Adz Dzariyaat ayat 36.

Jadi melalui ayat-ayat Allah dalam Al-Qur'an, kita semua telah diperjelaskan bahawa agama yang Allah s.w.t. wahyukan kepada manusia semenjak Nabi Adam a.s. hanyalah satu agama yang dasar dan asasnya ialah mentauhidkan Allah serta berserah diri secara total kepadaNya.

Jika semua Nabi dan Rasul beragama Islam, dari mana pulanya datang Yahudi dan Kristian?
Yahudi merupakan nama bagi satu bangsa manusia yang berasal dari keturunan Nabi Yaa'kub. Nabi Yaa'kub a.s. mempunyai dua belas orang anak yang mana salah seorang dari anaknya ialah Nabi Yusuf a.s. Anak-anak Nabi Yaa'kub a.s. inilah yang membentuk 12 puak keturunan Yahudi yang wujud sehingga sekarang.

Keturunan Nabi Yaakub a.s. juga digelarkan sebagai Israil menurut Taurat dan nama yang digelarkan Allah s.w.t. kepada keturunannya di dalam Al-Qur’an. Menurut kitab Taurat (Torah atau lebih di kenali sebagai Five Book of Moses dalam kitab Perjanjian Lama Bible), gelaran diberi berdasarkan ayat dalam Genesis 32 : ayat 28.

32:28 And he said, Thy name shall be called no more Jacob, but Israel: for as a prince hast thou power with God and with men, and hast prevailed.

Terjemahannya, 32:28 Lalu kata orang itu: "Namamu tidak akan disebutkan lagi Yaakub, tetapi Israel, sebab engkau mengatasi Tuhan dan manusia dalam pergaduhan, dan engkau menang."

Kisah yang tersebut dalam Genesis 32 ini menceritakan mengenai Nabi Yaakub bergusti dengan Tuhan yang menjelma dalam bentuk manusia untuk mengujinya. Dalam pergaduhan tersebut yang berlangsung sepanjang hari, Nabi Yaakub berjaya menundukkan Tuhan dalam bentuk manusia tersebut dan berjaya mengalahkan Tuhan dalam ujian tersebut. Na’uzubillah... sanggup mereka mengada-ngadakan cerita dalam bentuk sedemikian berkenaan Allah dan Nabi mereka.

Islam menolak semua bentuk cerita yang tidak benar yang diperkatakan tentang perkara ini yang berkenaan dengan cerita Nabi Yaakub yang bergusti dengan Tuhan. Allah s.w.t. menggelarkan keturunan Nabi Yaakub dalam Al-Qur’an sebagai Bani Israil tanpa merujuk mana-mana peristiwa yang menceritakan sebab keturunannya digelarkan begitu.

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu - wahai Bani Israil - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.(Ali Imran ayat 93)

Ayat di atas menceritakan perihal nazar yang dibuat oleh Nabi Yaakub yang digelar Allah s.w.t. sebagai Israil. Ayat ini berkenaan cerita unta yang ditimpa penyakit urat nadi, yang mana Nabi Yaakub pada masa tersebut membuat nazar jika unta tersebut sembuh maka dia tidak akan memakan dagingnya sampai bila-bila, maka sesudah itu haramlah hukumnya bagi mereka. Ayat ini bagi memberikan kejelasan muktamad bagi pertikaian kalangan Yahudi yang mengatakan bahawa pengharaman daging unta ke atas mereka telah pun dibuat semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s. padahal ianya sebenarnya bermula dengan Nabi Yaakub a.s. sendiri. Maka dari ayat ini kita ketahui bahawa Israil juga merupakan nama bagi Nabi Yaakub a.s. dari sumber Al-Qur’an.

Bani Israil merupakan nama yang Allah s.w.t. gelarkan kepada keturunan Nabi Yaakub ini. Nabi Yaakub a.s. diriwayatkan mempunyai 12 orang anak. Salah seorang dari anaknya bernama Yusuf iaitu Nabi Yusuf a.s. Dalam Al-Qur’an surah Yusuf, diceritakan mengenai keluarga Nabi Yaakub a.s., perihal anak-anaknya sehingga ke kejayaan Nabi Yusuf a.s. mengatasi semua ujian Allah ke atasnya dan berjaya menjadi antara pembesar negeri Mesir. Setiap seorang dari 12 orang anak Nabi Yaakub a.s. ini melahirkan 12 puak Israil dan semua puak ini dinamakan bersempena dengan nama-nama anak-anaknya. 12 puak tersebut ialah Reuben, Simeon, Levi, Judah (Yehuda), Dan, Naphtali, Gad, Asher, Issachar, Zebulun, Joseph (Nabi Yusuf a.s., keturunan Nabi Yusuf a.s. kemudiannya dipecah kepada dua puak Israil iaitu Manasseh dan Ephraim) dan Benjamin (Bunyamin).

Asalnya Allah s.w.t. menghantar ramai dikalangan Nabi dan Rasul kepada bangsa Yahudi ini. Tetapi disebabkan sikap mereka yang takbur dan sombong, mereka ini tidak mempedulikan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutus kepada mereka. Malah ada diantara Nabi dan Rasul tersebut mereka bunuh dan cuba bunuh.

Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang - seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi. (Al Maidah ayat 70)

Perintah Allah kepada mereka sama seperti yang diperintahkan kepada semua Muslim.

Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul" (Al Maidah ayat 12)

Tapi kebanyakan dari mereka memilih jalan yang sesat. Pernah sekali sewaktu baru diselamatkan Allah s.w.t. dari tentera Firaun yang mengejar mereka dan dibantu Allah melalui mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s., mereka melalui sebuah wilayah manusia-manusia penyembah berhala. Apabila melihat saja penyembah berhala ini menyembah patung-patung yang dibuat mereka, lantas kaum Yahudi yang telah banyak menyaksikan mukjizat dengan mata kepala mereka sendiri membuat satu permintaan kepada Nabi Musa a.s. Mereka ini, kaum Yahudi, meminta Nabi Musa supaya dapat membuat kepada mereka tuhan seperti yang disembah oleh kaum penyembah berhala di wilayah tersebut.

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. (Al A’raaf 138)

Bersambung di bahagian 2.... klik sini!!


Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.



Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: