Wednesday, September 5, 2007

Tidak Jauh Perjalanan Ini....

Oleh Muhammad Ibn 'Az

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Jumaat September ini genaplah 30 tahun masa yang telah banyak dirugikan dengan amal sia-sia, yang mengosongkan kantung pahala dan menambahkan jutaan catatan 'audit' yang akan diperhalusi satu-persatu oleh Tuhanku nanti. Menurut Rasulullah s.a.w. majoriti umatnya hanya akan hidup sekitar 60 hingga ke 70 tahun. Jika ditakdirkan Allah s.w.t. aku mencapai apa yang dikatakan kekasihNya itu, maka hanya tinggal bagiku 30 tahun lagi untuk mengumpul saham akhirat. Itupun satu pertiga daripadanya pula akan kuhabiskan di atas tilam yang empuk yang melalaikan aku dari bangun bertahajud dan berterima kasih kepada yang mencukupkan aku. Bagaimana pula jika sebaik aku menaip perkataan seterusnya nyawaku terus direntap!!!? Memikirkannya membuatkan diriku tidak senang duduk. Apa yang telah aku lakukan selama ini? Apakah ikhlas dalam semua amal ibadatku?

Wahai Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sempurnanya aku sebagai manusia yang diciptakanMu hanyalah apabila aku berdosa. Bukan dosa yang dilakukan dengan sengaja. Tapi kerana terlupa atau alpa. Kerana itulah namaku sebagai manusia, yang sentiasa lupa dan yang sentiasa alpa. Wahai Allah Tuhanku, janganlah Engkau menghukumku kerana terlupa. Aku hanyalah anak muda yang teraba-raba dalam gelap gelita. Peluangku untuk menjadi satu dari tujuh golongan yang diampunkanMu tanpa hisab semakin hari semakin jauh dari menjadi nyata. Tapi rahmatMu dan serta kasihMu membuatku tidak berputus asa. Dunia ini mengalih perhatianku sebagaimana bulan purnama yang terang menghiasi langit malam. Kala ia bersinar seketika, langsung ia menutup keindahan yang lebih lama dengan hiasan langit dengan bintang-bintang berjuta. Aku teralpa kerana kecantikannya. Aku terlupa di sebalik sinarnya pada dua belas malam itu, terdapat lebih tiga ratus malam yang lebih indah dengan bintang yang berjuta.

Wahai Allah Tuhanku yang Maha Kaya, segala nikmat yang Kau berikan ini, tak termampu aku membayarnya. Setiap ikan yang aku makan, Kau telah sediakan lautan yang luas tempat ia berenang untuk hidup dan mencari makan. Kau sediakan matahari dan bulan bagi mengawal dan membolehkan semua pembiakan ikan dilakukan. Kau telah sediakan ikan-ikan kecil bagi ikan tersebut sebagai makanannya. Kau sediakan plankton-plankton halus supaya ikan-ikan kecil yang menjadi makanannya tidak kebuluran. Kau sediakan tempat ia berlindung dari semua pemangsa bagi membolehkan aku kenyang menikmatinya di meja makan. Kau hantarkan nelayan-nelayan meredah ombak untuk menangkapnya di tengah lautan. Kau hantarkan peraih dan mereka membawanya ke tempat aku bakal membelinya. Kau berikan aku pekerjaan supaya aku mampu membelinya. Kau berikan aku kenderaan supaya aku dapat bergerak ke tempat ia dijual. Kau berikan aku sepasang kaki, supaya aku dapat melangkah menuju ke sana. Kau gerakkan jantungku tanpa aku mengawalnya supaya aku dapat hidup untuk menikmatinya. Kau berikan aku mata, supaya aku dengan kesombonganku memilih-milih nikmat yang sudah tersedia di depan mata. Kau berikan aku tutur kata supaya aku dapat menawarkan harganya. Di kala aku menikmatinya, Kau anugerahkan aku lidah untuk merasa. Kau anugerahkan aku gigi untuk aku menghancurkannya. Kau anugerahkan aku trakea untuk menyalurkan nafas ketika aku menikmatinya. Kau ciptakan untukku hati untuk menghancurkannya. Kau anugerahkan aku usus untuk menghadamkannya. Kau berikan aku buah pinggang sebagai sepasang 'penapis' yang membuang semua toksin bagi mengelakkan aku mendapat kemudaratan dari ikan yang aku makan. Kau berikan aku saluran pembuangan, supaya aku tidak mendapat kemudaratan dihari-hari kemudian. Bagaimanakah mampu untuk aku berterima kasih kepadaMu Ya Tuhan? Segalanya tidak terbayar dengan apa saja amal yang aku kerjakan. Biar seribu tahun Kau berikan, hutangku kepadaMu tak terlangsaikan. Hanya aku mengharapkan rahmat dan keredhaanMu saja Ya Allah supaya aku tergolong dalam golongan yang bersyukur.…..

Apakah celaka menunggu aku kerana umurku telah disia-siakan? Wahai Tuhan Wahai Mu’id.. bimbinglah aku ke satu jalan, jalan yang menuju sebuah pengampunan. Wahai Rahim, Wahai Karim, Wahai Ghafur ampunilah aku dan keluargaku, begitu juga dengan mukminin dan mukminat diseluruh dunia. Janganlah dibiarkan kami teralpa dalam kenikmatan yang seketika ini… Amiin



Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email