Sunday, September 30, 2007

Pluralism : Apakah benar semua agama itu sama? Bhg. 2

0
oleh Muhammad Ibn 'Az

Artikel ini merupakan bahagian kedua dari artikel yang bertajuk Pluralism : Apakah benar semua agama itu sama? Bhg. 1 . Jika anda belum membacanya, sila klik sini untuk membacanya sebelum membaca sambungannya di sini..

Perbezaan Dari Segi Aspek Layanan Terhadap Wanita :

Bagi membuktikan Islam itu tinggi dan dari Tuhan Yang Maha Kuasa, saya memilih topik poligami untuk membuktikan yang terdapat perbezaan ketara antara langit dengan bumi antara Islam dan agama-agama lain. Mungkin ramai wanita yang tidak suka dengan cerita poligami sebegini. Yalah.. seringkali disogokkan oleh drama melayu meleleh yang membangkitkan prejudis dangkal berdasarkan nafsu suka hati mak bapak (pinjam perkataan Wan Kamaruddin, jika terlalu offensive saya memohon maaf...) saja skripnya seolah-olah menghina jalan keluar permasalahan sosial yang dihalalkan Allah s.w.t.

Tak boleh disalahkan wanita juga sekiranya mereka tidak suka akan topik sebegini, ini kerana kebanyakan yang mengamalkan poligami itu merupakan muslim aidilfitri yang saban tahun bersolat di sebelah tempat wuduk atau dibelakang rak kasut setahun sekali. Sunnah ini hendak sangat dilakukannya, perkara wajib habis berterabur ditinggalkan. Mereka-mereka inilah yang merosakkan pemberian dan anugerah Allah ini. Gilakah mereka ini yang berani mati berpoligami tanpa mengetahui tanggungjawab sebenar sebagai ketua keluarga? Ketua keluarga bukanlah bermaksud hanya sekadar memberi makan pakai yang cukup kepada ahli keluarganya, tapi tanggungjawab utamanya ialah memastikan bahawa semua dibawah tanggungjawabnya itu menyembah Allah dan menjadi mukminin dan mukminah yang diredhai Allah. Lebih ramai tanggungjawab, maka lebih banyaklah buku akaun yang dibuka di atas nama pengamal poligami tersebut yang akan diperhitungkan satu-satu butiran audit di hadapan Allah di akhirat nanti. Beranikah anda? Ramai sebenarnya terlupa akan kehadiran ‘juruaudit yang bertauliah’ yang sentiasa mencatat apa yang dilakukan mereka setiap saat dan masa.

Teringat pula cerita seorang artis Malaysia yang berkucupan mesra dengan pasangannya di sebuah pantai di luar negara. Yang mengagumkan ialah jawapannya yang mengemukakan dalil bahawa waktu itu merupakan waktu matahari terbenam yang sangat romantis, yang membangkitkan rasa keinginan dia untuk mengucup pasangannya. Setahu saya, bukankah matahari terbenam itu menandakan waktu maghrib dan ada tanggungjawab lain yang harus diutamakan? Beliau juga menyatakan bahawa dia tidak sedar kehadiran paparazzi yang memerhatikan gelagat mereka dan jika dia sedar akan kehadiran paparazzi tersebut, pastinya dia tidak akan melakukan perbuatan tersebut. Tapi lupakah dia dengan dua lagi ‘paparazzi’ yang bukan hanya setakat memerhatikan, tetapi juga mencatatkan perbuatan tersebut yang akan dipersembahkan di hadapan ‘sidang media’ yang lebih besar nanti. Cukuplah setakat ini.

Berbalik kepada persoalan poligami tersebut dan bukti yang akan dikemukakan bahawa semua agama tidak sama. Saya mulakan dengan ayat berkenaan poligami dalam Islam. Ayatnya ialah surah An Nisaa’ ayat 3:

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (An Nisaa' ayat 3)

Yang diutamakan dalam ayat ini ialah perkahwinan antara seorang lelaki dengan perempuan-perempuan yatim. Sebagai agama yang dinamakan sebagai selamat dalam berserah diri kepada Allah, maka Islam menegaskan bahawa perempuan-perempuan yatim itu sepatutnya menjadi calon utama untuk diperisterikan. Ini kerana mereka-mereka ini tiada tempat untuk bergantung harap dan mengadu nasib serta memerlukan perlindungan. Tanyalah kepada mana-mana isteri yang bersuami, pastinya mereka menyatakan mereka berasa selamat dan berkeyakinan tinggi apabila mempunyai seorang suami. Bagi yang berasa seksa dalam hidup bersuami itu, tengok-tengoklah samada suami tersebut benar-benar seperti yang Islam mahukan. Apakah dia bertanggungjawab dengan amanah dia kepada Allah? Apakah dia benar-benar seorang Islam? Seorang Islam dapat dikenali dan dianggap Islam apabila dia bersolat, berpuasa dan menunaikan zakat. Jika dia tidak membuat perkara yang diwajibkan ke atasnya, maka janganlah disalahkan Islam di atas segala kebobrokan yang dilakukan oleh si suami. Oleh sebab itu golongan perempuan-perempuan yatim inilah yang harus diutamakan kerana mereka merupakan golongan yang memerlukan perlindungan. Tapi sekiranya lelaki yang ingin mengahwini hatta seorang pun perempuan yatim, dan dia pula tidak mampu berlaku adil ke atas mereka, maka hendaklah dia membatalkan hasrat itu dan memilih perempuan-perempuan biasa sebagai teman hidupnya. Ini kerana jika ketidakadilan dia lakukan terhadap mana-mana perempuan yatim yang dikahwininya, perempuan tersebut tiada tempat lain untuk mengadu dan meminta perlindungan sekiranya dia dianiayai suaminya. Berlainan dengan perempuan biasa di mana mereka masih mempunyai bapa dan adik abang sebagai wali yang bertanggungjawab di atas keselamatan mereka.

Sekiranya si lelaki tadi merasakan dia tidak mampu untuk berlaku adil dengan perempuan yatim yang dikahwininya, maka bolehlah dia mengahwini perempuan biasa seorang dahulu. Untuk melayakkan dia berpoligami, seharusnya dia melihat semua tanggungjawabnya ke atas isteri pertama dahulu untuk dinilaikan. Dia seharusnya memastikan apakah semua tanggungjawabnya dalam menyediakan makan, pakai, tempat tinggal, nafkah zahir dan batin, perhubungan yang baik antara dirinya dan isterinya, keluarga mertuanya serta tanggungjawabnya dalam memastikan isterinya dan anak-anaknya dapat dibentuk menjadi insan-insan yang diredhai Allah. Dan jika dia mampu melakukannya dan mampu juga melakukan perkara yang sama dalam satu lagi perkahwinan yang baru dengan tidak mengabaikan perkara yang sama dalam perkahwinan sebelumnya, maka dia bolehlah meneruskan hasratnya untuk berpoligami. Tapi perlulah diingat bahawa amat sukar untuk menjadi seorang suami yang adil dan Allah s.w.t. sendiri menyatakan dalam Al-Qur'an surah An Nisaa' ayat 129 :

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Walaupun sukar untuk mencapai tahap keadilan sepenuhnya, poligami tetap dibenarkan Allah dengan syarat mestilah bersungguh sungguh dalam berlaku adil dan jangan langsung ada kecenderungan yang berat sebelah kepada seorang isteri dan seorang lagi dibiarkan terkapai-kapai. Allah menyatakan dengan jelas dalam surah An-Nisaa' ayat 3 tadi, sekiranya tak mampu untuk berlaku adil, cukuplah seorang saja isteri. Dalam ayat ini juga Allah s.w.t. meletakkan had jumlah isteri yang boleh dikahwini oleh seorang muslim. Had yang ditetapkan ialah empat orang maksimum. Lebih dari itu adalah diharamkan. Hanya Islam satu-satunya agama dalam dunia yang kitab sucinya mengenakan had dan jumlah maksima isteri yang boleh dikahwini. Mungkin ramai yang tidak tahu, semua aga yang terdapat di dunia ini menghalalkan poligami.

Perlu difahami bahawa terdapat dua bentuk poligami yang ada. Yang pertama ialah polygyny iaitu seorang lelaki memiliki lebih dari seorang wanita sebagai isteri. Yang kedua pula ialah polyandry di mana seorang isteri memiliki labih dari seorang suami. Hanya polygyny berhad dihalalkan di dalam Islam, manakala polyandry adalah diharamkan oleh Allah sama sekali. (bab ini ada dikupaskan dengan panjang lebar dalam eBook Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist).

Polygyny diamalkan dan dihalalkan juga dalam semua agama lain dengan tiada syarat dikenakan. Jika Islam mengutamakan keadilan harus ditegakkan dalam berpoligami, dalam agama lain ketidakadilan boleh dilakukan. Dan tiada had bilangan isteri disebut dalam kitab-kitab agama lain. Jika ingin beristerikan seramai tujuh ratus orang pun dibolehkan. Tiada masalah dan sekatan dikenakan. Polyandry juga ada diamalkan dalam sesetengah agama dan masyarakat yang menganutinya.

Polygyny tanpa had diamalkan dan disebut pada banyak tempat dalam Bible. Tiada had isteri dikenakan.

11:1 But king Solomon loved many strange women, together with the daughter of Pharaoh, women of the Moabites, Ammonites, Edomites, Zidonians, and Hittites: 11:2 Of the nations concerning which the LORD said unto the children of Israel, Ye shall not go in to them, neither shall they come in unto you: for surely they will turn away your heart after their gods: Solomon clave unto these in love. 11:3 And he had seven hundred wives, princesses, and three hundreds concubines: and his wives turned away his heart. 11:4 For it came to pass, when Solomon was old, that his wives turned away his heart after other gods: and his heart was not perfect with the LORD his God, as was the heart of David his father. (1 Kings 11 : 1 -4)

terjemahannya, 11:1 Adapun Raja Sulaiman mencintai banyak perempuan asing. Di samping anak Firaun ia mencintai perempuan-perempuan Moab, Amon, Edom, Sidon dan Het, 11:2 padahal tentang bangsa-bangsa itu TUHAN telah berfirman kepada orang Israel: "Janganlah kamu bergaul dengan mereka dan merekapun janganlah bergaul dengan kamu, sebab sesungguhnya mereka akan mencondongkan hatimu kepada tuhan-tuhan mereka." Hati Sulaiman telah terpaut kepada mereka dengan cinta. 11:3 Ia mempunyai tujuh ratus isteri dari kaum bangsawan dan tiga ratus gundik; isteri-isterinya itu menarik hatinya daripada TUHAN. 11:4 Sebab pada waktu Sulaiman sudah tua, isteri-isterinya itu mencondongkan hatinya kepada tuhan-tuhan lain, sehingga ia tidak dengan sepenuh hati berpaut kepada TUHANnya, seperti Daud, ayahnya.

Ini merupakan ayat yang dipetik dari kitab Bible yang menunjukkan bahawa King Solomon (Nabi Sulaiman) mempunyai 700 ratus orang isteri dan 300 gundik. Dalam ayat seperti yang tersebut di atas juga, menunjukkan bahawa King Solomon pada penghujung usianya murtad dan menjadi kafir. Na'uzubillah.. sanggup mereka ini menyatakan sesuatu yang tidak benar mengenai Nabi mereka. Sedangkan kita sebagai umat Islam beriman dengan Nabi Sulaiman a.s. dan meyakini dia adalah Rasul yang maksum dan kekal beriman sehingga akhir hayatnya.

14:2 And David perceived that the LORD had confirmed him king over Israel, for his kingdom was lifted up on high, because of his people Israel. 14:3 And David took more wives at Jerusalem: and David begat more sons and daughters. (1 Chronicles 14 : 2 -3)

Terjemahannya, 14:2 Lalu tahulah Daud, bahwa TUHAN telah menegakkan dia sebagai raja atas Israel, sebab martabat pemerintahannya terangkat tinggi oleh karena Israel umat-Nya. 14:3 Daud mengambil lagi beberapa isteri di Yerusalem, dan ia memperanakkan lagi anak-anak lelaki dan perempuan. (1 Chronicles 14 : 2 -3)

Dalam ayat di atas yang di petik dari Bible menunjukkan Nabi Daud juga mengamalkan polygyny. Beza amalan polygyny dalam Kristian dan Islam ialah, di dalam Islam, amalan ini perlu mengutamakan keadilan kepada semua isteri. Tetapi di dalam Bible, keadilan itu bukanlah satu kemestian.

21:15 If a man have two wives one beloved, and another hated, and they have born him children, both the beloved and the hated; and if the firstborn son be hers that was hated: 21:16 Then it shall be, when he maketh his sons to inherit that which he hath, that he may not make the son of the beloved firstborn before the son of the hated, which is indeed the firstborn: 21:17 But he shall acknowledge the son of the hated for the firstborn, by giving him a double portion of all that he hath: for he is the beginning of his strength; the right of the firstborn is his. (Deuteronomy 21 : 15 -17)

Terjemahannya, 21:15 "Apabila seorang mempunyai dua orang isteri, yang seorang dicintai dan yang lain tidak dicintainya, dan mereka melahirkan anak-anak lelaki baginya, baik isteri yang dicintai maupun isteri yang tidak dicintai, dan anak sulung adalah dari isteri yang tidak dicintai, 21:16 maka pada waktu ia membagi warisan harta kepunyaannya kepada anak-anaknya itu, tidaklah boleh ia memberikan bagian anak sulung kepada anak dari isteri yang dicintai merugikan anak dari isteri yang tidak dicintai, yang adalah anak sulung. 21:17 Tetapi ia harus mengakui anak yang sulung, anak dari isteri yang tidak dicintai itu, dengan memberikan kepadanya dua bahagian dari segala kepunyaannya, sebab dialah kekuatannya yang pertama-tama: dialah yang empunya hak sebagai anak sulung."

Sangat jelas dalam ayat ini, ketidak adilan wujud dalam memberikan kasih sayang kepada isteri-isterinya yang dikahwini. Begitu juga dengan cara pembahagian harta, wujud ketidak adilan dengan memberikan hak yang lebih kepada anak sulung lelaki.

Pastinya akan ada yang menyatakan bahawa umat Kristian pada hari ini tidak mengamalkan polygyny kecuali beberapa pecahan dari mereka seperti dari mazhab Latter-Day Saint (atau dikenali sebagai golongan Mormon). Benar, mereka tidak mengamalkan polygyny, itu pun hanya apabila sekatan terhadap amalan polygyny ini dikenakan oleh gereja-gereja mereka beberapa ratus tahun dahulu. Amalan polygyny ini diharamkan dari diamalkan masyarakat Kristian sedangkan kitab Bible membenarkannya. Maka di sini terbuktilah ayat-ayat Al-Qur'an itu benar apabila menceritakan yang golongan Yahudi dan Nasrani merupakan umat-umat yang dengan sesuka hati mereka meminda ayat-ayat dari Allah s.w.t. Mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah kepada mereka dan mereka mengharamkan apa yang dihalalkan Allah kepada mereka.

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Al Baqarah : 79)

Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka). (Al-Baqarah : 79)

(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)? (Al Baqarah : 75)

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al Baqarah : 174)

Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar. (Al Maidah : 41)

Banyak lagi ayat dalam Al-Qur'an yang menunjukkan golongan ini yang suka mengubah hukum-hukum serta ayat-ayat Allah dalam kitab yang diberikan kepada mereka. Mereka ini mengubah ayat sesuka hati mereka tanpa memikirkan kesan yang akan diterima nanti. Dalam surah 1 Corinthians 7 dalam Bible, ada dinyatakan bahawa bersentuhan antara lelaki dan perempuan mestilah dielakkan dan dan untuk mengelakkan perzinaan daripada berlaku, maka setiap wanita haruslah bersuami. Persoalannya, bagaimanakah setiap wanita yang ada di muka bumi ini hendak bersuami jika amalan polygyny yang dihalalkan Allah s.w.t. diharamkan mereka? Menurut Cencus Bureau Amerika Syarikat, jumlah penduduk wanita mereka mengatasi bilangan jumlah penduduk lelaki sebanyak 4,460,162 orang. Kiraan ini dibuat berdasarkan nisbah penduduk wanita kepada lelaki yang dicatat dalam laman web mereka iaitu 97.1 orang lelaki bagi setiap 100 orang wanita. Begitu juga dengan sebuah lagi negara maju iaitu United Kingdom, mereka mempunyai lebihan penduduk wanita sebanyak 1,629,456 orang. Taburan yang dicatatkan diseluruh dunia juga menyaksikan trend yang sama iaitu peningkatan jumlah penduduk wanita berbanding lelaki semakin meningkat kecuali di India, China, Arab Saudi dan Iraq. Di India dan China, bilangan penduduk wanita amat berkurangan kerana di sana terdapat satu amalan yang dipraktikkan, iaitu dengan menggugurkan kandungan jika jantina anak yang dikandung itu ialah perempuan. Ini kerana bagi mereka anak perempuan bukanlah menjadi pilihan disebabkan oleh pentingnya keluarga diwarisi oleh anak lelaki yang dapat membantu ekonomi keluarga di masa depan. China yang terkenal dengan polisinya satu keluarga seorang anak juga mengalami masalah ini kerana rata-rata keluarga hanya mahukan anak lelaki supaya dapat membantu ekonomi keluarga pada masa hadapan. Bila saja bayi perempuan dikandung oleh ibu-ibu di sana, maka pasangan tersebut akan membuat pilihan untuk menggugurkan kandungan tersebut. Hasilnya demografi masyarakat di sana menjadi kucar-kacir dan kini mereka mengalami masalah lebihan lelaki berbanding wanita. Iraq pula mengalami masalah ini di sebabkan oleh peperangan yang dilancarkan oleh seekor syaitan anak beranak ke atas mereka semenjak 1992.


Dalam bancian yang dilakukan pada tahun 2001, United Kingdom mencatatkan jumlah populasi wanita melebihi lelaki sebanyak 1,629,456 orang.



Peta Amerika Syarikat di atas menunjukkan taburan nisbah penduduk lelaki berbanding wanita di sana. Semakin pudar warna hijaunya, semakin ia menunjukkan bahawa negeri tersebut mempunyai nisbah wanita yang melebihi lelaki. Secara total di seluruh Amerika Syarikat, nisbah penduduk lelaki kepada wanita bersamaan dengan 97.1 lelaki berbanding 100 orang wanita.


Klik gambar di atas ini untuk melihat sendiri taburan nisbah lelaki berbanding wanita di seluruh dunia, semakin gelap warna biru maka semakin ramai wanita berbanding lelaki di negara tersebut. Semakin pudar warna biru tersebut, maka ia menandakan nisbah lelaki kepada wanita semakin hanpir sama. Warna merah menunjukkan nisbah lelaki melebihi wanita bagi negara yang terlibat.

Dalam sebuah laporan berkenaan Taburan Demografi Bagi Bekas Negara Kesatuan Soviet, dicatatkan bahawa jumlah penduduk Russia akan jatuh sebanyak 10% dalam tempoh 4 dekad akan datang. Dalam situasi sekarang, kadar peratus kelahiran penduduk adalah berada di bawah paras negatif, kecuali bagi negeri-negeri dalam Rusia yang penduduknya beragama Islam. Jumlah mereka yang beragama Islam dan kadar kelahiran dalam masyarakat Islam di Russia sahaja yang naik mendadak berbanding agama lain terutamanya Kristian Ortodoks. Jika cara hidup Kristian Ortodoks itu benar, maka mengapakah terdapat kadar kelahiran negatif bagi Kesatuan Soviet?

Cuba bayangkan jika sesuatu yang dihalalkan Allah s.w.t. diharamkan pula oleh manusia yang cuba bertindak bijak. Jika semua lelaki di Amerika Syarikat berkahwin dengan semua wanita yang ada disana dengan cara monogami, apa pula nasib lebihan 4 juta wanita di sana? Itu belum dikira golongan homoseksual lagi, jika dikira golongan ini, maka akan lebih banyaklah wanita yang tak bersuami disana. Jadi bagaimanakah mereka hendak mengelakkan perzinaan sebagaimana yang disebut dalam kitab Bible seperti yang disebut dibawah ini:

7:1 Now concerning the things whereof ye wrote unto me: It is good for a man not to touch a woman. 7:2 Nevertheless, to avoid fornication, let every man have his own wife, and let every woman have her own husband. (1 Corinthians 7 : 1 -2)

Terjemahannya, 7:1 Berkenaan dengan perkara kamu tuliskan kepada ku, adalah baik bagi seseorang lelaki tidak menyentuh mana-mana perempuan. 7:2 Dan lagi, untuk mengelakkan perzinaan, biar setiap lelaki memiliki isterinya sendiri, dan biar setiap wanita memiliki suaminya sendiri. (1 Corinthians 7: 1 – 2)

Jika menurut kepada ayat ini, maka dimana lojiknya saranan tersebut jika polygyny diharamkan oleh gereja mereka? Dengan siapa lebih 4 juta wanita ini hendak berkahwin? Maka di sini kita sendiri boleh melihat mengapa masalah perzinaan dan kelahiran anak luar nikah sangat berleluasa di sana. Bukankah bersentuhan antara lelaki dan wanita di larang dalam Bible itu sendiri, tapi lihat saja dengan budaya sosial mereka di sana. Bukankah ini menggambarkan mereka hanya mengikut apa yang mereka suka berkenaan agama dan membuang apa yang mereka tak suka dalam beragama.

Itu cerita mengenai Nasrani, kita tengok pula apa bentuk poligami yang dibenarkan dalam kitab-kitab Hindu. Dalam Kitab-kitab agama Hindu, banyak personaliti yang diceritakan di dalamnya berkahwin lebih dari seorang isteri. Sebagai contoh, Raja Dashrat, bapa kepada Rama berkahwin lebih dari seorang. Begitu juga dengan Krishna yang mempunyai lebih dari seorang isteri. Benar, ramai pasti akan menyatakan bahawa penganut Hindu hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang saja pasangan. Tapi seharusnya kita tahu bahawa garis panduan yang digunakan oleh penganut Hindu kini bertitik tolak daripada termeterainya satu undang-undang yang bernama Hindu Marriage Act yang digubal di India pada 1954 yang mengehadkan jumlah isteri yang boleh dikahwini oleh seorang lelaki kepada hanya seorang. Hanya dalam undang-undang ini had bilangan isteri dihadkan, kitab-kitab suci Hindu menyatakan sebaliknya.

Dalam kitab-kitab Hindu juga terdapat ayat-ayat yang menceritakan perkahwinan dari jenis polyandry iaitu seorang isteri memiliki lebih dari seorang suami diamalkan oleh Tuhan-Tuhan mereka. Sebagai contoh di sini, satu cerita mengenai perlumbaan yang disertai oleh dua kembar Asvin bagi memenangi Surya, anak kepada Tuhan Matahari yang disebut dalam Rig Veda 1 Hymn : 119 ayat 5 :

Asvins, the car which you had yoked for glorious show your own two voices urged directed to its goal. Then she who came for friendship, Maid of noble birth, elected you as Husbands, you to be her Lords.(Rig Veda 1 Hymn 119 : 5)

Terjemahannya, Wahai Kembar Asvin, kenderaan yang kamu gunakan dalam kejayaan ini, menggambarkan suara kamulah yang memberi arahan sehingga ia mencapai sasarannya. Kemudian dia (Surya) yang datang menhulurkan persahabatan, anak gadis kepada kelahiran yang mulia, memilih kamu berdua sebagai suami-suaminya, dan kamu sebagai Tuhan-Tuhannya. (Rig Veda 1 Hymn 119 : 5)

Dalam kitab yang sama juga ada di sebut mengenai Tuhan-Tuhan Marut, iaitu Tuhan-Tuhan Ribut Taufan, yang berkongsi Rodasi sebagai isteri bersama mereka.

Far off the brilliant, never weary Maruts cling to the young Maid as a joint possession. The fierce Gods drave not Rodasi before them, but wished for her to grow their friend and fellow. (Rig Veda 1 Hymn 167 : 4)

Terjemahannya, Melangkaui kebijaksanaan, Marut-Marut yang tidak pernah letih kekal terikat kepada si gadis muda (Rodasi) yang menjadi milik bersama. Tuhan-tuhan yang bengis ini tidak pernah memaksakan Rodasi tunduk kepada mereka, tetapi berharap yang dia (Rodasi) menambahkan kepada mereka handai dan taulan. (Rig Veda 1 Hymn 167 : 4)

Dalam cerita di atas yang digambarkan melalui metafora yang menggambarkan Marut-Marut sebagai Ribut dan Taufan manakala Rodasi isteri mereka bersama pula ialah Halilintar. Polyandry juga di sebut lagi dalam Rig Veda 7 Hymn 33 : 11 sperti di bawah :

Born of their love for Urvasi, Vasistha thou, priest, art son of Varuna and Mitra; And as a fallen drop, in heavenly fervour, all the Gods laid thee on a lotus−blossom. (Rig Veda 7 Hymn 33 : 11)

Terjemahannya, Dilahirkan diatas cinta mereka kepada Urvasi, Kamu Vasitha, si pendita, adalah merupakan anak kepada Varuna dan Mitra, dan sebagai titisan yang jatuh, dengan kehendak Syurga, kesemua Tuhan-Tuhan membaringkan kamu di atas teratai yang mengembang. (Rig Veda Hymn 33 : 11)

Cerita di atas menjelaskan mengenai Vasitha yang mempunyai seorang ibu (Urvasi) dengan dua orang bapa iaitu Varuna dan Mitra. Ada beberapa ayat lagi dalam Rig Veda, Atharva Veda yang menceritakan mengenai amalan polyandry yang diamalkan di dalam veda-veda terawal. Cuma pada bahagian veda-veda terakhir, iaitu kedua-dua Taiterya Samhita dan Aitarya Brahmana, amalan polyandry ini diharamkan. Mereka menyatakan bahawa seorang wanita hanya boleh memiliki seorang sahaja suami, manakala seorang suami boleh memiliki lebih dari seorang isteri. Dalam Islam, amalan polyandry sebegini diharamkan samasekali. (Dapatkan eBook Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist untuk huraian panjang lebar mengapa polyandry diharamkan di dalam Islam. Jika hendak dihuraikan disini, maka siri dalam tajuk ini akan mencecah lebih sepuluh siri...).

Jelas di sini, polyandry bukanlah sesuatu yang asing dengan kitab-kitab Hindu yang berautoriti. Kini amalan sedemikian hanya diamalkan secara meluas dalam puak Toda di India. Itu baru amalan polyandry dalam kitab-kitab Hindu. Saya kupaskan pula di sini mengenai perihal polygyny yang di sebut dalam kitab Hindu dan perbezaannya dengan amalan polygyny dalam Islam. Dalam Kitab Mahabharata di sebut kata-kata Raja Yudhishthira mengenai syarat untuk berpoligami (polygyny). Ayatnya seperti berikut.

The Mahabharata, Anusasana Parva Section XLIV:

Addressing King Yudhishthira
Bhishma said: A Brahmana can take three wives. A Kshatriya can take two wives. As regards the Vaisya, he should take a wife from only his own order. The children born of these wives should be regarded as equal. Of the three wives of a Brahmana, she taken from his own order should be regarded as the foremost. Similarly, of the two wives permitted to the Kshatriya, she taken from his own order should be regarded as superior. Some say that persons belonging to the three higher orders may take, only for purposes of enjoyment, wives from the lowest or the Sudra order. Others, however, forbid the practice. The righteous condemn the practice of begetting issue upon Sudra women. A Brahmana, by begetting children upon a Sudra woman, incurs the liability of performing an expiation. That girl who has no brother nor father should not be wed, O chief of Bharata’s race, for she may be intended as Putrika of her sire.

(Raja Yudishistra menyatakan:
Kata Bishma : Seorang dari kasta Brahmana dibolehkan mengambil tiga orang isteri. Seseorang dari kasta Kshatriya boleh mengambil dua orang isteri. Manakala Kasta Vaisya, dia hanya dibolehkan mengambil seorang isteri dari kastanya sendiri. Anak-anak yang dilahirkan dari isteri-isteri ini seharusnya dilayan sebagai samarata. Daripada tiga orang isteri bagi seorang lelaki dari Kasta Brahmana, isterinya dari Kasta yang sama dengannya (iaitu Kasta Brahmana) haruslah diberi keutamaan. Begitu juga dengan dua orang isteri yang dibenarkan kepada Kasta Kshatriya, isteri yang dikahwini dari Kasta yang sama haruslah dilayan sebagai isteri yang lebih tinggi darjatnya. Sesetengah orang menyatakan yang lelaki-lelaki dari tiga Kasta teratas hanya boleh mengambil isteri dari Kasta terendah atau dari Kasta Sudra, hanya untuk bersuka-suka. Bagaimana sesetengah yang lain melarang perbuatan seumpama itu. Mereka yang bijaksana mengutuk perbuatan mempunyai anak dengan perempuan dari Kasta Sudra. Seorang dari Kasta Brahmana, jika mempunyai anak dengan mana-mana perempuan dari Kasta Sudra, dihukum dengan tanggungjawab untuk menebus dosanya. Dilarang berkahwin dengan perempuan-perempuan yang tidak mempunyai abang dan bapa, wahai ketua kaum Bharata, berkemungkinan perempuan tersebut dijadikan Putrika bagi keturunannya.),
petikan ayat dari kitab Mahabharata, Anusasana Parva Section XLIV.

Jelas dalam ayat yang dicatatkan di atas, keadilan ke atas isteri yang dikahwini tidak ditekankan langsung, malah layanan terhadap isteri-isteri yang dikahwini mestilah mengikut kedudukan mereka dalam masyarakat iaitu menurut kasta mereka. Jika si isteri itu dari kalangan kasta yang tinggi, maka layanan terbaik seharusnya diberikan kepadanya. Manakala isteri dari kasta yang lebih rendah boleh dianggap sebagai pemuas nafsu sahaja. Dalam ayat di atas juga di sebut bahawa mereka dilarang untuk berkahwin dengan mana-mana perempuan yang tiada abang dan bapa. Jika perempuan-perempuan yatim sebegini diharamkan berkahwin dengan mereka, maka kepada siapa mereka hendak bergantung harap nanti, sudahlah tidak berbapa, malah abang juga tiada. Ke mana mereka hendak mengadu nasib? Sedangkan mereka inilah yang sepatutnya dilindungi kerana tiada tempat bergantung. Dalam Al-Qur’an surah An-Nisaa’ ayat 3 seperti mana yang saya catatkan tadi, perempuan-perempuan yatim sebeginilah yang sepatutnya menjadi keutamaan bagi seseorang lelaki untuk dijadikan isteri kerana mereka ini memerlukan tempat bergantung dan perlindungan. Bukankah Al-Qur’an itu lebih elok dan cantik cara poligaminya berbanding apa yang disebut di atas? Keadilan itu sesuatu yang mesti dalam poligami dalam Islam, tetapi dalam Bible dan kitab-kitab Hindu, keadilan itu boleh diketepikan malah tidak langsung disentuh.

Ini baru perbezaan dari satu bentuk amalan, sudah ketara perbezaan antara Islam dan bukan Islam dalam cara hidup yang dianjurkan. Belum lagi dikupaskan banyak lagi cabang-cabang lain yang lebih besar. Bukankah sangat berbeza Islam dengan agama-agama mereka?

Benar, agama-agama lain juga menyeru penganutnya membuat kebaikan dan menjauhi perbuatan jahat supaya masyarakat dapat hidup secara harmoni tanpa mengalami rasa takut. Tapi arahan-arahan sedemikian hanya terhenti setakat itu sahaja. Jika dalam Bible dan Veda terdapat arahan jangan berzina, dalam Islam pula ada di sebut juga jangan mendekati zina dan diberikan beberapa cara bagaimana untuk mengelakkan diri dari terjebak dengannya. Bermula dengan menundukkan pandangan, memelihara aurat, membataskan pergaulan lelaki dan perempuan bukan mahram, fungsi wali yang menjaga serta mengambil berat mengenai tanggungjawab mereka sehinggalah kepada hukuman bagi menakutkan para penzina daripada melakukannya. Kitab-kitab lain hanya terhenti setakat arahan tersebut, tapi cara untuk melaksakannya tiada. Maka praktikaliti arahan tersebut yang di sebut dalam kitab-kitab mereka mati setakat arahan itu saja tanpa mampu diamalkan kerana tiada jalan dan cara untuk melakukannya.

Saudara Sulaiman, pengunjung laman blog ini telah meletakkan komen yang saya kira tepat sebagai penutup dua siri artikel ini, dia menyatakan ayat 33 surah At Taubah tepat bagi menunjukkan Islam itu yang teragung. Terima kasih saudara...

Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (At Taubah ayat 33)

Maka bagi yang cuba meletakkan Islam sama dengan semua agama lain, renunglah sedikit dalam apa yang cuba diluahkan disini. Islam itu agung dari Yang Maha Agung, bandingkan apa saja dalam Al-Qur’an dengan mana-mana kitab sekalipun termasuk buku-buku sains, nescaya mukjizat teragung ini akan kekal teragung sehingga kiamat. Persoalannya, sudahkah kita sebagai orang Islam yang beriman kepadanya, sudah habis membacanya dan memahaminya? Terpulanglah.... Buruknya muslim hari ini kerana Al-Qur’an ditinggalkan... kebangkitan kita akan bermula bila rukun iman yang nampak ini kita fahami dan praktikkan... semoga artikel ini memberi manfaat kepada saya dan saudara-saudari semua.

Wallahua’lam...

Kepada Shahrul, posting pasal Yahudi masih belum habis saya karang.. mungkin sepanjang artikel ini juga, begitu juga dengan cerita Imam Mahadi dan Al-Qur’an yang sempurna persoalan yang dikemukakan Johan, InsyaAllah saya akan post kan satu persatu..

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.

Sebahagian dari kupasan dalam artikel di atas di petik dan di olah dari eNovel Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, sila KLIK SINI>>


Ayat-ayat dari kitab Bible dan Veda dalam artikel di atas di petik dari World Religious Scriptures Vol 1. Jika anda ingin mengkaji kitab-kitab agama dunia sepertimana ayat-ayat yang tercatat dalam artikel di atas, klik banner di bawah ini untuk membeli CD-ROM Wold Religious Scriptures Vol 1 tersebut.....

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: