Monday, September 24, 2007

E-mail Berantai : Mempertaruhkan akidah dengan hanya satu klik!

0
oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamualaikum saudara dan saudariku semua, harap semuanya dalam keadaan sihat dan mendapat rahmat dan pelindungan Allah pada setiap saat masa. Pastinya ramai Muslimin dan Muslimat di luar sana pernah mendapat surat atau pun email dalam bentuk sebegini…. Sila baca kandungan email ini di bawah.

Allahu Akbar !
Saya tidak pernah menyangka-nyangka bahwa dengan meneruskan kalimat ini
ke rakan dan saudara sekalian, Allah memberikan saya rezeki yang tidak
disangka-sangka...
Memang tidak sampai 12 jam setelah saya kirimkan pesan itu... tapi
limpahan kurniaNya kepada saya sungguh diluar pemikiran saya...
Subhanallah ! Alhamdulillah....
kirim kalimat ini ke 12 orang yang kamu anggap baik di hidupmu dan
posisi kewanganmu akan bertambah dan buktinya dalam 12 jam kamu harus
percaya akan keajaiban bulan ini
AL-QAYYUM, AL-MAJID, AL-WAJID, AL-WAHID, AL-AHAD, AL-SAMAD, AL-KADIR,
AL-MALIK, AL-RAHMAN, AL-RAHIM
ALLAH SWT TIDAK PERNAH TIDAK DAPAT MENYEMPURNAKAN PESANNYA, KALA KAMU
MENGHANTAR BERITA INI KEPADA 9 ORANG INSYAALLAH KAMU AKAN MENDAPATKAN
BERITA BAIK ESOK.

Pernah menerimanya bukan..? Persoalannya di sini, benarkah apa yang dikatakan oleh email tersebut? Apakah benar kesan yang dinyatakan itu benar-benar berlaku atau pun sebaliknya? Setelah membuat sedikit analisis dengan cara email tersebut dihantar dan kandungannya, memang benar apa yang dikatakan oleh pengirim email tersebut. Si pengirim email akan mengalami kesannya tidak sampai 12 jam selepas dihantar, malah kesannya juga akan berlaku serta-merta setelah email tersebut dihantar. Kesannya pula sesuatu yang langsung si penghantar email ini tidak jangkakan akan berlaku ke atas dirinya, kesan yang dialaminya nanti teramat besar sehingga bakal mengejutkan dirinya sebagai seorang Muslim.

Sebenarnya email sebegini sudah berpuluh tahun dalam pengedaran.... dulu dalam bentuk surat, sekarang dalam bentuk email pula... pertama sekali kita kena kaji dulu apa kandungan dan banyak aspek lagi untuk dibuat penilaian. Sekiranya kandungan tersebut mempunyai kata-kata nasihat dan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kat org yang membacanya nanti, memang patut kita forwardkan supaya dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan.

Tapi dalam kes surat berantai dan yang terkini email berantai ni, terdapat sesuatu yang amat tidak kena dengannya. Surat-surat dan email-email sebegini sebenarnya memberikan kesan mudarat secara langsung kepada pembacanya dan juga kepada penyebar-penyebarnya. Kenapa begitu?

Sebabnya

1. Mempercayai dan seterusnya meyakini yang email sebegini boleh mendatangkan kebaikan, rezki, kemudaratan dan sebagainya merupakan salah satu daripada berbagai bentuk syirik kepada Allah. Samalah juga dengan mempercayai tangkal yang boleh melindungi rumah seseorang dari sebarang pencerobohan dan kecurian. Bukankah tangkal itu tak berdaya hatta untuk menghalau seekor lalat yang hinggap ke atasnya. Padahal dalam Islam telah pun diajarkan amalan-amalan menurut Rasulullah s.a.w. yang perlu selalu diamalkan seperti membaca Al-Qur'an dalam rumah dan membaca doa-doa tertentu mengharapkan Rahmat dan Keselamatan dari Allah s.w.t.. Maka mempercayai email sebegini boleh mendatangkan rezeki adalah sangat menyesatkan.

2. Perkara seumpama ini merupakan satu perbuatan manusia yang malas. Cuba mencari kesenangan dan mengharapkan rezeki datang tanpa usaha. Sedangkan Allah s.w.t. menyuruh setiap manusia itu berusaha. Tapi sebelum berusaha itu perlulah manusia itu berdoa memohon kepadaNya supaya dimudahkan usaha itu. Selepas berusaha hendaklah bertawakkal juga kepada Allah s.w.t.. Saya tak nampak pun semua ciri-ciri ni ada dalam email tersebut. Tiada unsur doa kepada Allah supaya dipermudahkan rezeki dan sebagainya. Yang ada cuma menyatakan beberapa nama Allah kemudian forwardkan email dan kemudiannya rezeki akan datang melimpah-limpah. Bukankah itu satu bentuk atau cara yang memusnahkan? Jika 1 orang menghantar kepada 9 org yang lain dan 9 org tersebut melakukan perkara yg sama, maka pada peringkat atau tingkat ke tujuh email tersebut dihantar, ia telah sampai ke tangan atau kotak email seramai 4,782,969 orang. Apa maksud semua ini? Ini membawa maksud, yang seramai hampir 4.8 juta orang muslim berjaya disesatkan dan melakukan perbuatan syirik dengan email sebegini. Yang lebih malang lagi, seramai 4.8 juta orang muslim yang menerima email sebegini telah berjaya 'dinasihatkan' supaya menjadi malas dan tak perlu berusaha dan bertawakkal kepada Allah. Kesannya pula ialah kemunduran ekonomi umat Islam dalam tempoh jangka masa panjang kerana suka mempercayai segala perkara mengarut sebegini.

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Al Hajj ayat 77)

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Al Baqarah ayat 45)

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (Al Baqarah 153)

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Al Jumu'ah ayat 10)

Dalam ayat-ayat di atas dan banyak lagi dalam Al-Qur'an, Allah s.w.t. menyatakan dengan jelas bahwa kalau manusia ingin mendapat kejayaan di dunia dan akhirat, hendaklah manusia itu bersolat, berdoa, berusaha bersungguh-sungguh dan bersabar. Masalahnya, tiada satu pun formula kejayaan dunia dan akhirat ini disarankan dalam email tersebut, yang ada cuma forwardkan saja dan kejayaan akan dimiliki. Bukankah itu bertentangan dengan apa yang Allah s.w.t. sarankan seperti dalam ayat di atas.

3. Satu lagi kemudaratan yang akan datang bersama perbuatan mempercayai dan meyakini email sebegini ialah, bakal terhakisnya kepercayaan, keimanan serta keyakinan kita kpd Allah s.w.t.. Kenapa begitu? Ini akan terjadi apabila si penghantar email dan org yg meyakininya tidak menerima imbuhan serta rezeki yang diharapkan seperti mana yang dikatakan dalam email tersebut, perasaan tidak percaya dan kecewa kepada Allah s.w.t. akan timbul, padahal sedari awal tadi tiada pun satu doa dikemukakannya kepada Allah. Percayalah, tiada apa pun yang akan diperolehi melainkan kesesatan belaka bertopengkan mempromosikan nama-nama Allah.

4. Email sebegini merupakan satu bentuk rasuah kepada si penerima supaya melibatkan diri dalam menyebarkan email dengan dakyah tersebut. Menjanjikan habuan dunia semata-mata. Padahal kan lebih elok diseru kepada semua penerima email tersebut supaya memahami apa maksud-maksud disebalik nama Allah tersebut dan kenapa Allah s.w.t. memperkenalkan dirinya dengan nama-nama Indah tersebut. Sebagai contoh spt. dibawah ini:

...Salah satu daripada nama Allah ialah Ar-Rahman yang bermaksud Yang Maha Pemurah. Allah s.w.t. bersifat Maha Pemurah kepada semua makhlukNya tidak kira samada makhlukNya itu beriman atau tidak, menyintaiNya atau pun tidak. Dia akan tetap memurahkan rezeki kepada semua makhlukNya. Sebab itulah kita dapat melihat semua manusia di muka bumi ini tidak kira Islam atau pun bukan, mendapat rezeki yang cukup serta mendapat nikmat kesihatan dan kehidupan. Di atas sifatNya Yang Maha Pemurah inilah, kita selaku muslim yang beriman kepadaNya dan RasulNya, hendaklah memohon doa kepada Allah dengan menyebut nama-namaNya yang sesuai dengan doa dan permintaan kita supaya hajat dan doa kita tadi dimakbulkan. Berzikirlah sebanyak-banyaknya dengan memohon doa kepada Allah dengan penuh pengharapan dengan memanggilNya dengan nama-nama ingahNya yang sesuai dan berusahalah. Kejayaan itu hanya akan dimiliki oleh mereka yang solat dan sabar..

email seumpama contoh ini adalah lebih baik kerana ia mendekatkan kita dalam mengenali Ar Rahman, Tuhan seluruh alam Yang Maha Pemurah dan apa bentuk harapan yang boleh disandarkan kepadaNya dengan menyebut namaNya sebegini tanpa mengharapkan habuan dunia dengan kerja senang tanpa berusaha.

atau seperti contoh email seperti yang dihantar oleh seorang pengunjung blog ini, umie-safa, yang diemailkan kepada saya. email tersebut seperti di bawah:

Mohon >pertolongan Allah -forward

Alhamdulillah, kita jauh dari peperangan yang melanda di Asia Barat.
Tetapi, hati meronta- ronta mengenangkan saudara-saudara kita di sana .
Mungkin ada yang berkata
"Kalau lah aku ada sebuah jet pejuang , akan ku bedil kafirun Yahudi".

saya mohon tuan tuan berdoa kepada Allah memohon bantuan.

RAHSIA MUKJIZAT AL QURAN
Mari kita berdoa, Dengan penuh keyakinan, fahami terjemahan dan maksud
surah Al-Fil.............
Bacakan surah tersebut dibibir de ng an hati me ng i ng ati peristiwa kehancuran
tentera Bergajah.
KEMUDIAN BERDOALAH BEGINI:-

>

Ya Allah!! Sebagai man a Engkau Pernah menghantar burung -burung ababil
me ng hancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya
Allah........ turunkan lah bantuan mu kali ini kepada orang orang Islam di Lubnan, hancurkanlah rejim zionis......... amin...
." (kemudian dibaca
>surah Al Fil sambil membaya ng kan kehancuran tentera Yahudi - dihancurkan
>de ng an Izin Allah)

>
"Ya Allah, selamatkanlah umat Islam yg sedang sengsara di Palestin , Afghanistan , Iraq , Chechnya serta diseluruh pelosok dunia akibat dari angkara mungkar dan kekejaman musuh musuh Mu. Peliharakanlah mereka, lindu ng ilah mereka, kasihanilah mereka dan berikanlah rahmatMu ke atas mereka.

Amin, ya Rabbal A'lamin."

walaupun email ini hanya menyarankan umat Islam yang menerimanya berdoa kepada Allah tanpa berusaha, sekurang-kurangnya email tersebut masih lagi berada dalam landasan yang tidak tergelincir iaitu mengharapkan rahmat dan bantuan terus dari Allah. (Saya sudah mengupaskan bab Ababil ini dalam sebuah artikel saya bertajuk Ababil Sunnatullah Yang di Perlekehkan, untuk membacanya KLIK SINI). Sekurang-kurangnya, dalam kita umat Islam yang berjuta, mungkin akan ada salah seorang dari kita ini yang doanya lebih cepat dimakbulkan Allah. Maka peluang doa itu untuk didoakan oleh mereka yang tiada masalah hubungan dengan Allah akan menjadi lebih besar jika diforwardkan dengan cara begini.

5. Dengan menghantar email berantai sebegini (email yg menyatakan habuan dunia akan diperolehi), 'profit sharing' dalam hal menyesatkan ummah akan kita dapat. Bayangkan sembilan org yang menerima email dari kita itu tadi meyakininya dan seterusnya melakukan perkara yang sama dengan forwardkan email tersebut kepada sembilan orang lagi, maka akhirnya kita telah berjaya menyesatkan serta merosakkan akidah 4.8 juta umat Islam pada peringkat ketujuh dan berjaya menyesatkan lagi 387,420,489 orang Islam dengan hanya satu klik pada butang forward dalam browser email kita. Mahukah kita menanggung dosa merosakkan akidah serta memundurkan seramai 387 juta orang umat Islam?

6. Perbuatan menghantarkan email sebegini juga samalah seperti melacurkan nama-nama Allah yang indah ini untuk kepentingan sendiri. Pasti kalau saya mengatakan sebegini, ramai yang akan marah dengan saya. Tapi kebenaran itu harus dinyatakan walau pun pahit kesannya. Kenapa pula mesti disamakan seperti melacurkan nama-nama Allah? O.k. disini diterangkan supaya jelas. Seorang lelaki yang melanggan seorang pelacur, dia hanya berniat atau berhajatkan kepada memuaskan hawa nafsunya sahaja. Mungkin nama pelacur tersebut akan ditanyanya bagi memudahkan komunikasi, tapi latar belakang, siapa ibu bapanya, kenapa dia melacurkan diri, apa masalahnya, dari mana asal usulnya tak pernah ditanyakan atau diambil peduli oleh si lelaki tersebut. Apa yang dimahukannya ialah kepuasan nafsunya saja. Pelacur tersebut cuma menjadi alat bagi mencapai motif utamanya. Samalah juga dengan email sebegini yang hanya menyebut nama-nama Allah yang indah tersebut tanpa memperkenalkan apa maksud disebalik nama-nama indah itu. Yang ditekankan dalam email tersebut ialah ganjaran dunia yang menanti bila menghantar email sebegini. Langsung tak disarankan dalam email sebegini untuk menyebut nama-nama Allah yang indah ini melalui mulut dan lidah sebagai zikir, yang ada cuma forwardkan kepada sembilan orang dan kemudian habuan dunia menanti anda! Bukankah ini sama dengan situasi lelaki yang melanggan pelacur tadi, siapa pelacur tersebut yang dilangganinya dia tak pernah peduli, janji habuan kepuasan nafsu dunianya tercapai.

Kesimpulannya di sini ialah, janganlah membuang masa melayan email sebegini kerana ianya memudaratkan serta merosakkan ummah.Adalah lebih baik menghantar email yang mengandungi cerita-cerita, peringatan-peringatan serta nasihat yang boleh memberi manfaat kepada sesama manusia dan mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t. tanpa menjanjikan sesuatu yang tak pasti seperti email dibawah. Mungkin niat si pengirim asal email itu baik, tapi cara pelaksanaannya agak membawa banyak kemudaratan dari kebaikan. Harapan saya jangan lagi terpedaya dengan emai-email dalam bentuk sebegini. Letakkan pengharapan tunggal hanya kepada Allah s.w.t. dan berusaha serta bersabar untuk berjaya. Jika tiada kesabaran dan tawakkal, kejayaan itu tak akan boleh dimiliki hatta menghidunya sekalipun. Berusahalah, kerana bantuan Allah hanya datang apabila kita berusaha dan bersabar dalam usaha kita.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al Asr ayat 1- 3)

Semoga kita semua tergolong dalam kumpulan manusia yang tidak dalam kerugian. Wallahua'lam..

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: