Wednesday, June 6, 2007

Helmet, serban dan rempit...

Pasti kita seringkali terpandang akan kelibat segolongan mukmin yang seringkali ke masjid dengan motosikal memakai serban tanpa topi keledar dalam perjalanan menuju atau pun pulang dari masjid.

Apa yang seringkali dilihat ini merupakan satu fenomena yang biasa bagi negara kita ini. Kesedaran tentang keselamatan diri bukan hanya dipandang enteng oleh golongan muda di sini, malah lebih teruk lagi golongan yang dekat dengan masjid juga seakan-akan alpa dengan tanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri. Padahal Allah s.w.t. sendiri menyatakan dalam surah At Taubah ayat 18:

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Golongan mukmin ini sepatutnya menjadi satu contoh ikutan bagi muslimin yang lain. Mungkin pada benak fikiran mereka jarak antara rumah dan masjid yang tidak berapa jauh itu merupakan satu perjalanan yang tidak membahayakan langsung. Jadi untuk menjimatkan masa, mereka ini lebih suka memilih untuk tidak memakai topi keledar dan hanya berserban atau berkopiah ke masjid. Tanpa mereka sedari pahala sunnah yang dicari mereka itu sendiri telah dengan secara tidak langsung bercanggah dengan tanggungjawab serta kewajipan menjaga keselamatan diri.

Punca kepada perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk akal yang sihat menggarapnya. Puncanya merupakan satu penyakit iman yang menjangkiti sebahagian besar dari kita tanpa kita sedari. Penyakit malas yang telah lama berakar umbi dalam majoriti umat Islam inilah yang menyebabkan kejatuhan empayar Islam di seluruh dunia. Biarpun perkara topi keledar ini kecil kemaslahatannya di mata mereka yang malas memikirkan perkara-perkara menyusul susulan dari tindakan mereka itu, tetapi haruslah mereka ingat bahawa ramai yang memerhatikan setiap tindakan mereka. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja tanpa apa-apa petanda. Malang memang tidak berbau.

Ironinya pula, apabila melontarkan pandangan terhadap golongan mat-mat rempit diluar dari lingkungan ‘ahli-ahli masjid’, kata-kata nista dilemparkan tentang ketidakpekaan golongan mat-mat dan minah-minah rempit tentang keselamatan diri sendiri apabila merempit dijalanraya, tanpa mereka sedari golongan lebai-lebai dan haji-haji dimasjid juga setiap kali pergi dan pulang dari masjid ‘merempit’ dengan keselamatan diri mereka sendiri.

Menjadi ironi lagi pula apabila setiap kali dalam sembahyang jemaah, apabila habis sahaja tahiyyat akhir, para muslimin pasti memberikan salam ke kanan dan ke kiri. Salam yang diberikan itu sendiri merupakan satu doa kesejahteraan dan keselamatan bagi semua mukmin yang berada dikiri dan kanan bagi yang bersolat. Apalah guna mendoakan jika yang didoakan itu sendiri tidak pernah merasa bertangungjawab di atas keselamatan diri mereka sendiri.

Jadi tidak hairanlah mengapa sukar bagi orang Islam menarik orang bukan Islam untuk mendekati Islam jika semua yang diajarkan serta dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. itu sendiri tidak lebih dari hanya menjadi retorik yang keluar dari mulut-mulut ‘ahli-ahli masjid’ ini. Jika mereka ini tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menunjukkan kesempurnaan Islam kepada bukan Islam, maka siapa lagi yang boleh dijadikan rujukan. Tetapi tidak semua ahli masjid sedemikian rupa, cuma majoriti (bukan minoriti, perhatikan dan anda akan setuju) daripada mereka ini semua yang bertindak sedemikian rupa. Percayalah, kalau sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup di zaman sekarang, pastilah diwajibkannya memakai topi keledar dan baginda sendiri yang akan menunjukkan contoh terbaik bermula dengan diri baginda. Maka, golongan pewaris nabi kini bertanggungjawab bertindak sebagaimana baginda bertindak. Janganlah memalukan golongan ustaz dengan perilaku-perilaku songsang dari pekerti Islam yang diajar.

Allah s.w.t. menyatakan didalam Al-Qur’an surah Al Anbiyaa’ ayat 80 :

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur? (Al Anbiyaa’ : 80)

Allah s.w.t. dalam ayat yang tersebut diatas mengingatkan umat Islam dalam Al-Qur’an bahawa Dia mengajar Nabi Daud a.s. teknologi membuat baju besi supaya setiap mereka yang ikut serta dalam peperangan dengan Nabi Daud mendapat keselamatan diatas RahmatNya dengan memakainya. Ayat di atas disudahi dengan pertanyaan Allah s.w.t. dengan soalan “maka adakah kamu sentiasa bersyukur?

Begitu juga dengan ayat 81 dari surah an Nahl. Petikannya seperti berikut :

Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya. (An Nahl ayat 81)

Setiap jenis pakaian diberikan Allah idea penciptaannya bagi mana-mana manusia bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat-ayat di atas. Sepertimana baju tebal untuk melindungi dari hawa sejuk dan baju besi untuk pakaian di waktu perang bagi tujuan perlindungan diri dan menjamin keselamatan diri. Maka bagi golongan yang sentiasa bersyukur, nikmat Allah ini akan sentiasa digunakan dengan sebaik mungkin sebagai tanda bersyukur kepada Allah dan nikmat yang diberikannya serta beriman kepadaNya.

Begitulah juga dengan teknologi pembuatan helmet yang Allah s.w.t., di atas nikmat kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya, menganugerahkan ilmu-ilmu pembuatan helmet itu kepada hamba-hambaNya yang terpilih supaya dapat membantu sesama manusia dalam menjaga keselamatan diri sepanjang dalam perjalanan. Maka setelah nikmat yang diberikan itu tidak digunakan dengan cara yang sepatutnya, maka dengan secara tidak langsung juga kita pastinya akan termasuk dalam golongan yang sentiasa tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t.

Maka tiada apa lagi garisan atau ruang yang boleh memisahkan antara ketidaksyukuran mat-mat rempit dengan lebai-lebai rempit ini melainkan kedua-duanya sama sahaja membahayakan diri sendiri, merosakkan imej Islam dan menyusahkan orang lain apabila terlibat dalam kemalangan. Islam bukan sekadar beriktikaf dalam masjid dan bersembahyang sunat, Islam itu sebenarnya tanggungjawab individu yang perlu dimainkan dan ditegakkan sebagai amanah dari Allah s.w.t. kepada umat Islam itu sendiri supaya menjalankan fungsi mereka dalam komuniti ke arah membentuk umat yang hebat pencapaiannya dan berpaksikan kepada kecintaan kepada Allah s.w.t. dan RasulNya. Jadi tidak hairanlah mengapa isu tandas masjid kotor kini mula terdedah didada-dada akhbar, dan media sehingga melemparkan imej Islam yang suci ke tong sampah paling busuk. Apa yang nak dihairankan, keselamatan diri pun tidak pernah dipeduli, inikan pula tandas yang jijik untuk diperhati. Maaflah jika tulisan menyinggung sesiapa, tapi lebih menyayatkan hati lagi setelah terlihat paparan tandas masjid kotor dalam berita-berita utama di Malaysia ini. Sia-sialah kerja dakwah yang dilakukan jika kita sendiri yang menghancurkan kembali dengan sikap kita yang pemalas. Berubahlah, kerana Islam itu suci dan janganlah kerana tindakan yang kita lakukan membuatkan maruah Islam terhina lagi.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email